saya nak baca ..

RENCANA SUKAN


ARKIB : 14/09/2014

Fokus cara Josiah

WALAU jauh di perantauan, Josiah dan Kim masih bersemangat patriotik yang tinggi.

RAMAI yang masih ingat tentang kemalangan ngeri yang dihadapi jaguh pelumba basikal trek negara, Josiah Ng, 34, ketika sedang bertanding pada kejohanan Basikal Trek Piala Dunia di Aguascalientes, Mexico pada Disember tahun lalu.

Kejadian itu berlaku sewaktu saringan kedua dalam pusingan pertama apabila secara tiba-tiba pelumba New Zealand menghimpitnya menyebabkan dia terjatuh sebelum dilanggar pelumba Itali dari belakang.

Kemalangan itu menyebabkan jaguh kebangsaan itu patah tulang selangka dan tertusuk ke paru-paru.

Dia tidak sedarkan diri di tempat kejadian akibat hentakan kuat di kepala selain patah tulang bahu. Dengan segera dia dikejarkan ke hospital.

Tiga bulan kemudian, Josiah bangkit dan memulakan latihan kembali di sebalik kecederaan parah yang dihidapi dan seterusnya berjaya menyertai final keirin di Sukan Olimpik Athens, hanya empat bulan selepas kemalangan ngeri tersebut dan kemudian menjuarai acara keirin di Grand Prix Trek Asia Tenggara di Malaysia.

Jika orang lain, mungkin kemalangan sedemikian dijadikan alasan untuk berehat sementara, tetapi tidak bagi Josiah kerana dia punya misi dan sasarannya sendiri.

"Sasaran terbesar saya ialah mengharumkan nama negara di Sukan Olimpik Rio pada tahun 2016.

"Saya akan memberi sepenuh jiwa dan raga terhadapnya.

"Saya yakin dan mampu melakukannya dan apabila tiba hari itu (Olimpik Rio 2016), saya akan berikan yang terbaik untuk mencapai sasaran saya," ujarnya yang kini menetap dan menjalani latihan di Melbourne, Australia bersama isteri tercinta, Kim Ong.

Cerita Josiah, walaupun ketika masih di hospital, dia sudah memulakan latihan dengan nasihat doktor untuk membantu paru-parunya yang terjejas.

Sokongan keluarga dan rakan-rakan membuatkan dia pulih cepat daripada dijangkakan selain mengekalkan minda positif dan mental yang kuat.

Impian

Imbas Josiah, dia memiliki basikal lumba pertamanya ketika berusia 14 tahun iaitu sebuah basikal lumba terpakai yang dibelinya dengan harga AS$250.

Josiah merupakan seorang yang begitu bersemangat dengan setiap apa yang dilakukan dan apabila dia mula belajar tentang lumba basikal, dia begitu fokus dan terus memasang impian untuk mengungguli sukan tersebut satu hari nanti.

Enam tahun kemudian, dia mewakili Malaysia untuk pertama kalinya ketika di Kejohanan Asia di Shanghai.

Kini dia mencapai impiannya semasa kecil itu dengan menjadi antara pelumba basikal trek yang hebat di dunia.

"Jika tidak menjadi pelumba basikal, kerjaya impian saya ialah pelumba F1!" Ujarnya yang ternyata amat ghairah dengan kelajuan.

Isteri

Di sebalik kejayaan seorang lelaki, pasti ada wanita hebat di belakangnya. Begitu juga dengan Josiah yang mana isterinya, Kim Ong merupakan peniup semangat dan tunjang utama kepada setiap kejayaannya.

Cinta mereka berdua dihubungkan dengan Internet. Cerita Josiah, dia mengenali isterinya menerusi Internet selepas Kim meninggalkan komen pada laman webnya dan dia membalasnya dengan ucapan terima kasih atas sokongan.

Mereka kemudian menyambung salam perkenalan dengan saling membalas e-mel, mesej dan panggilan telefon lewat 2006 sebelum mereka bertemu di Kuala Lumpur pada Januari 2007.

"Apa yang menangkap perhatian saya ialah cahaya di matanya, perawakan yang indah dan sikapnya yang sentiasa positif. Saya tahu dengan sekelip mata yang dia adalah terbaik untuk saya.

"Kim merupakan isteri yang mengagumkan dan kami saling menyokong minat masing-masing. Kami juga banyak persamaan seperti melancong dan mencuba aktiviti baru.

"Saya boleh berkata dengan bangganya, Kim merupakan rakan baik serta cinta hati saya," ujarnya bangga dengan isterinya.

Peranan Kim bukan sahaja sebagai isteri, tetapi seorang penyokong nombor satu Josiah bagi semua aspek termasuk menjadi seorang pakar pemakanan dan psikologi untuk Josiah walau Josiah mempunyai pakarnya sendiri.

Setiap hari, Kim akan menyediakan makanan yang betul mengikut panduan untuk atlet dan juga bertindak sebagai pegawai perhubungan awamnya.

Sibuk

Josiah memulakan rutin harian dengan ke gim seawal 8 pagi selama dua jam. Selepas bersenam, ahli sukan yang amat mementingkan kesihatan ini akan menikmati makan tengah hari yang dimasak sendiri atau oleh isterinya.

Seterusnya, hari Josiah dihabiskan dengan latihan seperti di trek atau jalan raya sebelum pulang untuk makan malam dan berehat.

Walau sesibuk mana Josiah dengan latihan dan pertandingan, dia tetap menyeimbangkannya dengan kehidupan seharian untuk masa bersama isterinya.

Bila mempunyai waktu lapang, Josiah akan sentiasa mengisinya dengan pelbagai aktiviti bersama Kim dan perkara wajib mereka ialah 'melepak' di kafe kopi sekitar Melbourne kerana budaya menikmati kopi di sana memang popular.

Josiah yang turut mengusahakan perniagaan mesin pengisar berkuasa tinggi Spectablend bersama Kim, juga gemar bersiar-siar menaiki Vespa GTV250 kesayangannya terutama pada musim panas dan berbeku bersama rakan-rakan.

Dia juga gemar menyaksikan persembahan orkestra kerana minatnya yang mendalam terhadap alat muzik terutamanya biola atau menonton pertunjukan balet yang amat diminati Kim.

Tahun lalu, pasangan suami isteri ini mendaki puncak Gunung Kinabalu bersama-sama.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zuhur 1:07
Asar 4:15
Maghrib 7:09
Isyak 8:18



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.