saya nak baca ..

SABAH & SARAWAK


ARKIB : 15/06/2012

Tajau lambang kekayaan Iban

Mujan Mambang memegang salah sebuah tajau berukiran naga yang diwarisi lebih daripada empat generasi di rumahnya di Rumah Panjang Ngindang Entili, Niah, Miri, Sarawak, baru-baru ini.

MIRI 14 Jun - Tempayan atau tajau dalam kalangan masyarakat Iban lazimnya dijadikan alat menyimpan beras bagi kegunaan harian.

Bagaimanapun suatu ketika dahulu, ia pernah menjadi barang yang terlalu berharga dan memainkan peranan penting dalam kehidupan orang Iban khususnya yang tinggal jauh di hulu sungai.

Ia merupakan barangan warisan dalam masyarakat Iban dan diwarisi secara turun-temurun dari satu generasi ke generasi yang lain.

Sukar untuk menentukan usia sebenar sesebuah tajau, namun lazimnya setiap keluarga mewariskan sekurang-kurangnya sebuah tajau untuk ahli keluarga mereka.

Tajau pernah mempunyai kedudukan yang begitu eksklusif, malah lebih berharga daripada emas dan beberapa kelengkapan lain seperti tabak, chapak, pinggan dan mangkuk lama, bedil, bebendai dan gong.

Memiliki tajau juga dikaitkan dengan kekayaan dan kemurahan rezeki - semakin banyak tajau terutama berisi beras, maka pemiliknya dianggap kaya-raya dan berharta.

Terdapat tujuh jenis tajau paling tinggi nilai dalam masyarakat Iban iaitu guchi, sergiu, ningka petanda, menaga, rusa, salang-salang dan alas.

Semakin berusia tajau tersebut, maka semakin tinggilah nilainya.

"Dulu, jika orang berani dan berhuma pun mendapat hasil padi yang banyak serta mampu membeli tajau, orang itu digelar Raja Berani," kata Mujan Mambang, 79, ketika ditemui Utusan Malaysia di Rumah Panjang Ngindang Entili, Niah, dekat sini baru-baru ini.

Menurut Mujan, dia mempunyai lebih 10 tajau yang diwarisi daripada nenek-moyang, sebahagiannya diberikan kepada ahli keluarga lain kerana pembahagian harta manakala sebahagian lagi masih disimpan di rumah.

"Saya masih ingat semasa kecil, emak saya akan pastikan sekurang-kurangnya lima tajau mesti diisi dengan beras.

"Dulu beberapa buah tajau disusun di satu sudut bilik, kesemuanya berisi beras. Pada masa itu, semakin banyak tajau disusun, semakin kayalah keluarga itu," katanya.

Mujan berkata, dia tidak pasti di mana nenek-moyangnya mendapat tajau tersebut, namun percaya tajau dibeli melalui saudagar yang datang ke kepulauan Borneo pada zaman dahulu.

"Ada juga diperoleh dari Kalimantan, Indonesia dan sebahagiannya hasil upah ayah saya sebagai penyair pada masa itu," katanya.

Menurutnya, orang Iban tidak membuat tajau, sebaliknya dibeli daripada saudagar China dan orang Melayu selain dibeli atau ditukar dengan orang Iban dan suku kaum lain di Borneo sejak beratus-ratus tahun lampau.

Tajau diperbuat daripada tanah liat dan setiap tajau mempunyai keunikan tersendiri dari segi ukiran, bentuk, ketinggian, saiz dan warna.

Selain mengisi beras dan melambangkan kekayaan, tajau sebenarnya mempunyai banyak fungsi termasuk digunakan semasa kematian dan upacara ritual.

Demon Pagan, 100, berkata, orang Iban pada zaman dahulu menyifatkan tajau sebagai kelengkapan hidup dan mati mereka.

"Semasa hidup, tajau digunakan untuk menyimpan beras manakala semasa mati pula, tajau dijadikan barang yang dibawa si mati atau 'baiya' yang akan dikuburkan bersama.

"Dulu kami percaya tajau akan membawa kesenangan kepada roh si mati di dunia lain," katanya.

Malah, katanya, ada juga orang Iban menjadikan tajau yang sederhana besar sebagai keranda untuk menyimpan mayat bayi atau kanak-kanak sebelum dikebumikan.

Namun, tajau untuk keranda bayi atau kanak-kanak berbeza daripada tajau biasa kerana 'mulutnya' lebih besar dan tidak berwarna-warni atau diukir.

"Semasa masih mengamalkan kepercayaan lama, ada menyimpan tajau berisi mayat itu dalam tanah dan ada juga di atas pokok yang tinggi. Namun, tradisi itu tidak meluas dan hanya diamalkan di perkampungan tertentu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tradisi menyimpan mayat dalam tajau dan menjadikan tajau sebagai barang pembawaan si mati tidak dipraktikkan lagi terutamanya generasi baru.

Tambah Demon, tajau juga digunakan untuk membayar hukuman dalam adat Iban, digunakan semasa perayaan tertentu seperti Gawai Tajau dan Gawai Kenyalang dan upah kepada dukun.

"Orang Iban dulu suka mengembara dari satu tempat ke satu tempat dan mengumpul barangan lama dan berharga.

"Hampir setiap keluarga di rumah panjang mempunyai pinggan mangkuk antik dan gong, namun tajau mengatasi semuanya dan sentiasa mendapat tempat istimewa di hati masyarakat Iban," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.