saya nak baca ..

SABAH & SARAWAK


ARKIB : 30/08/2013

Keenakan nasi goreng dabai

NASI goreng dabai menjadi menu istimewa masyarakat di Sarawak.

SANTUBONG 29 Ogos - Seorang pekerja Restoran Saif BBQ & Steamboat (RSBS) di Pasir Panjang di sini mempelawa penulis mencuba 'nasi goreng dabai' ketika mengunjungi premis itu baru-baru ini.

Bagi sesetengah pihak, nama 'dabai' kedengaran agak asing.

Namun, siapa sangka, kebanyakan pengunjung terutama warga tempatan yang ingin menjamu selera di situ pasti memesan hidangan tersebut.

Malah, nasi goreng dabai yang dijual pada harga RM7 sepinggan itu sebenarnya antara hidangan paling popular dalam kalangan penduduk tempatan di kawasan ini.

"Nasi goreng dabai mungkin tidak begitu popular dalam kalangan warga Semenanjung. Rata-rata mereka hanya mengenali laksa Sarawak dan mi kolok.

"Walau bagaimanapun, jangan terkejut jika anda mengidam dan mahu menikmatinya sekali lagi selepas kali pertama merasa hidangan ini," kata Pengurus RSBS, Ahmed Ezi Firhan.

Bercerita lanjut, Ahmed Ezi, 21, memberitahu, walaupun nampak ringkas, memasak nasi goreng dabai sebenarnya agak rumit.

Katanya, jika tidak dilakukan secara teratur mengikut resipi, nasi goreng yang dihasilkan itu menjadi kurang enak.

"Warna nasi goreng dabai yang bagus sepatutnya keunguan hasil daripada ekstrak buah dabai. Untuk mendapatkan hasil itu, ada beberapa langkah penting perlu dilakukan.

"Mula-mula, buah dabai segar perlu direndam dengan air panas selama 10 hingga 15 minit. Kemudian, buah itu akan disiat-siat menjadi kepingan kecil dan dimasukkan ke dalam kuali berisi perencah serta nasi yang sudah siap ditumis.

"Selepas warna nasi bertukar menjadi keunguan, masukkan pula beberapa biji buah dabai jeruk. Buah dabai jeruk ini akan bertindak sebagai perasa tambahan kepada nasi goreng," katanya.

Tambah Ahmad Ezi, untuk menghasilkan nasi goreng dabai yang enak, nasi yang digunakan perlulah kering dan tidak melekat.

"Sebaik-baiknya sebelum menyediakan hidangan ini, simpan nasi yang ingin digoreng semalaman di dalam peti sejuk. Jika mahu sedikit kelainan, anda juga boleh memasukkan kacang panjang ke dalam masakan.

"Namun, elakkan mencampur bahan yang memiliki bau atau rasa yang kuat kerana dikhuatiri menjejaskan rasa buah dabai," katanya yang mula mengusahakan restoran milik keluarga itu sejak tiga tahun lalu.

Buah dabai atau nama saintifiknya Canarium odontophyllum merupakan sejenis buah hutan berbentuk seperti kurma.

Buah yang telah masak mempunyai kulit gelap kehitaman dengan isi berwarna kuning tua serta mempunyai tekstur lembut manakala rasanya pula sedikit masam.

Pokoknya yang tumbuh liar di kawasan hutan hanya berbuah dua kali setahun iaitu sekitar Mei dan Disember.

"Dabai tidak terdapat di Semenanjung. Di Sarawak, mudah diperoleh di sekitar Sibu, Kapit dan Sarikei dengan harga antara RM10 hingga RM30 sekilogram.

"Sifatnya yang bermusim menjadikan hidangan nasi goreng dabai itu istimewa kerana hanya boleh dinikmati pada waktu-waktu tertentu," kata Ahmed Ezi.

Sementara itu, seorang pengunjung, Ahmad Zulfardi Abdullah, 29, berkata, nasi goreng dabai yang menggunakan buah segar agak sukar diperoleh.

Kebanyakan peniaga, katanya, hanya menggunakan buah dabai jeruk.

"Hidangan ini jarang dijual, namun jika ada kedai yang menawarkannya ia pasti laris bak pisang goreng panas.

"Di RSBS, tukang masaknya menyediakan nasi goreng dabai yang diadun dengan buah segar dan jeruk. Rasanya amat enak," katanya.

Rozana Mostama, 28, pula memberitahu, meskipun tidak begitu popular, dabai mempunyai khasiat tersendiri.

"Dabai merupakan buah yang mempunyai kandungan antioksida yang tinggi sebagaimana buah zaitun. Malah, buah ini turut digelar buah zaitun Sarawak.

"Kalau makan nasi goreng dabai, pinggan saya memang licin, kalau boleh mahu tambah lagi," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.