saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 22/07/2012

Karya Usman Awang tergadai?

APABILA Istana Budaya menawarkan slot teater karya Sasterawan Negara, ada pula sebuah yayasan yang setuju menjadi penaja utama, dia sebagai anak kepada Sasterawan Negara Usman Awang menerima dengan hati terbuka untuk mementaskan naskhah karya ayahnya, Muzikal Uda dan Dara.

Dalam fikirannya hanya satu iaitu mementaskan karya agung ayahnya. Dia tidak pernah terfikir untuk mendapat keuntungan daripada pementasan muzikal itu kerana baginya, berdirinya watak-watak yang dicipta ayahnya di Istana Budaya, itu adalah puncak gembiranya.

Tetapi yang berlaku di luar muzikal ini berbeza daripada apa yang diharapkan. Pementasan ini membuatkan dia terpaksa menggadai sebuah rumah. Lebih tragis lagi kini bukan sahaja rumahnya bakal dilelong tetapi semua karya-karya ayahnya akan tergadai kepada bank sekiranya tidak dapat membayar Dana Industri Kreatif di bawah Kementerian Penerangan Kebudayaan dan Komunikasi.

Dia sanggup kehilangan rumah tetapi sama sekali tidak sanggup kehilangan hak cipta karya-karya Usman Awang. Apa lagi hanya dia menerusi syarikatnya UA Enterprise yang memegang semua hak cipta karya itu. Tujuan asal untuk mementaskan karya ayahnya tetapi kini semua karya pula akan bertukar tangan.

Itulah saat-saat getir yang didepani oleh Haslina Usman anak sulung Usman Awang apabila bank yang mengeluarkan Dana Industri Kreatif memburunya untuk mendapat balik dana (sebenarnya pinjaman) sebanyak RM900,000.

Rupa-rupanya Dana Industri Kreatif yang digula-gulakan kononnya inilah tanda sokongan kepada warga seniman adalah pinjaman.

"Saya rasa macam mimpi terperangkap dalam situasi ini. Tak percaya sama sekali suatu hari saya kehilangan rumah kerana mementaskan karya ayah saya," demikian tutur Haslina dengan sebak yang ditahan-tahan. Berulang kali Haslina berkata dia tidak menyesal mementaskan Muzikal Uda dan Dara tetapi kalau tahu begini akhirnya, dia sama sekali tidak akan melakukannya.

"Saya tidak ada pengalaman dalam soal mencari penaja bagi projek sebesar ini. Tetapi apabila ada pihak yang menawarkan sokongan untuk jadi penaja, saya pun terima tawaran Istana Budaya mementaskan muzikal ini," jelasnya yang mendapat pinjaman bank itu pada hari terakhir pementasan. Ini bermakna dia terpaksa menggadai rumahnya untuk mendahulukan duitnya.

Katanya, kalau tidak ada pihak yang menawarkan diri menjadi penaja utama, dia tidak terkilan kalau tidak dapat mementaskan Muzikal Uda dan Dara. Ini bukan bidangnya dan tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk dilaburkan dalam bidang yang tidak diarifinya. Tetapi Haslina terperangkap, sebelah kakikya di dalam, sebelah lagi di luar.

YayasanPada saat-saat akhir yayasan yang menawarkan diri jadi penaja menarik diri, sedangkan dia telah memulakan sesi latihan dan membayar pelakon-pelakon. Wangnya telah banyak dibelanjakan. Kalau membatalkan pementasan ini sudah tentu mendatangkan kerugian dan dia masih berharap ada penaja yang boleh membantu meringankan beban kewangannya.

Walaupun Istana Budaya menaja tempat pementasan tetapi Haslina terpaksa membayar kerja lebih masa pekerja produksi Istana Budaya sebanyak RM100,000.

Muzikal Uda dan Dara merupakan karya agung Usman Awang yang mengkritik sistem sosial dalam masyarakat Melayu yang menindas golongan yang tidak berkemampuan. Usman Awang mengkritik sistem "padi kunca" iaitu penindasan terhormat oleh golongan kaya terhadap golongan marhaen. Naskhah ini telah banyak kali dipentaskan termasuk di Auditorium DBKL lebih 20 tahun lalu.

Pementasan di Istana Budaya pada Julai 2010 diarahkan oleh Datuk Rahim Razali dan dilakonkan oleh Razali Hussein dan Misha Omar. Pementasan ini sebagai menggantikan slot teater Salina karya Sasterawan Negara A. Samad Said. Selain Muzikal Uda dan Dara, Usman Awang juga menghasilkan naskhah Tamu Bukit Kenny yang banyak kali dipentaskan.

Haslina menjelaskan, pada mulanya pinjaman yang diluluskan ialah RM1.5 juta. Bagaimanapun dia hanya menerima RM900,000 sahaja tetapi terpaksa menanggung kos guaman bagi pihak bank sebanyak RM25,000 mengikut kadar pinjaman RM1.5 juta.

"Kalau saya tidak boleh melangsaikan hutang RM900,000 itu, syarikat saya UA Enterprise akan muflis dan karya-karya ayah akan tergadai kepada bank," kata Haslina yang hampir tenggelam punca untuk mencari wang membayar pinjaman sebanyak itu.

Haslina bagaimanapun tidak menuding jari menyalahkan mana-mana pihak yang menjerumuskan dia dalam tragedi ini. Sebaliknya semuanya kerana tidak ada pengalaman dalam penganjuran pementasan menelan belanja besar. Walaupun terpaksa menanggung hutang yang banyak Haslina tidak berhutang dengan pekerja produksi dan pelakon-pelakonnya.

Kesimpulan daripada tragedi yang menimpa Haslina, kita wajar bertanya apakah sebenarnya Dana Industri Kreatif yang digambarkan seolah-olah bantuan kewangan untuk mengembangkan seni budaya tempatan? Dana ini menjadi sebutan "wajib" dalam banyak ucapan kononnya itulah tanda prihatin kepada golongan seniman. Apa bezanya Dana Industri Kreatif dengan pinjaman bank? Barangkali Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi wajar memberi penjelasan supaya persepsi serong terhadap dana ini dapat diperbetulkan.

Kepada seniman lain, berhati-hatilah kerana di negara kita penghargaan kepada golongan seniman dan pemikir terlalu rendah. Banyak pula pihak yang cuba meraih perhatian dengan menunjuk simpati dan sokongan kepada seniman. Janganlah terpengaruh dengan slogan demi slogan kerana realitinya sangat berbeza. Kalau karya Usman Awang tergadai, kitalah yang malu bukan birokrat.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.