saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 07/10/2012

Kanibal hutan seberang

AKHIRNYA, mereka tiba. Setelah menghitung, dia menyedari, perjalanan mereka mengambil masa hampir 16 jam - sepuluh jam berhibernasi dalam pesawat, lima jam perjalanan menaiki kereta pacuan empat roda dan selebihnya hanya dengan berjalan kaki. Sedang kru lain memasang khemah dan menyalakan unggun api, dia tidak dapat menahan kantuk lagi.

Kalau bukan kerana arahan ketua editor, tidak mungkin dia menyertai misi itu. Dia masih menimbang-nimbang untuk menjejak kaum kanibal pada hari esok. Dalam kantuk yang amat itu, fikirannya disawangi rasa gusar yang padat sekali. Dia membayangkan sebarang nasib buruk yang mungkin ditempuhinya pada hari esok.

"Sharifah, khemah sudah siap dipasang."

Dalam separa lelap dia terdengar suara Delaila, satu-satunya rakan wanita setugasnya.

"Angkat barang-barangmu, bawa masuk dalam khemah."

Suara Delaila menyapa lagi. Setelah lelap seketika tadi, dia terasa segar sekali seperti sudah tidur enam jam di atas katil yang empuk, sedangkan hanya beralaskan tanah, rumput, batu. Dia mengangkat masuk beg galasnya ke dalam khemah.

Beberapa orang rakan setugas yang lain juga sudah mula melelapkan mata dalam khemah masing-masing. Dari kawasan khemah hanya kelihatan Ajmain, jurukamera yang sedang ralit memeriksa perkakas fotografinya di hadapan unggun api.

"Eh, awak tak mahu tidur lagi?" Sapa Ajmain sambil membundarkan mata, saat melihatkan Sharifah muncul tiba-tiba.

"Saya mahu berjaga hingga matahari terbit."

Angin liar menderu tiba-tiba. Beberapa helai daun gugur ke tanah. Kedinginan malam menyapu tubuh mereka berdua. Mereka memerhatikan ungun api yang meliuk-liuk.

Sharifah tiba-tiba menguji, "Ajmain, kaufikir, kita benar-benar harus meneruskan misi ini?"

"Ya, semestinya. Kalau bukan kerana arahan ketua editor, aku barangkali tidak akan ke sini. Kau mahu mengalah di pertengahan jalan, Sharifah?"

Sharifah mendengus. Dia tidak pasti sama ada soalan yang dilontar kembali oleh lelaki itu mahu menguji keyakinannya atau sekadar perlian halus. Baginya, membuat liputan tentang kanibal adalah kerja paling gila yang akan dilakukannya. Dia tidak dapat membayangkan dirinya mewawancara makhluk yang sama spesies dengannya, tetapi punya nafsu buas pemakan daging seperti harimau dan singa.

Sudah tentu, itu liputan paling menggusarkan, menggerunkan dan mencabar baginya sebagai seorang wartawan wanita berbanding tugas liputan yang pernah dilakukan di pelbagai lokasi luar negara sebelum ini. Dia pernah membuat liputan tentang mangsa kebuluran di Mogadishu, Somalia. Sebagai seorang yang asing di sana, sepanjang bertugas dia terdedah dengan pelbagai ancaman tembakan dan serangan memandangkan keadaan politik yang bergejolak.

Terbaharu, dia telah menyertai pasukan media antarabangsa membuat liputan tentang bencana tsunami yang melanda kawasan timur Jepun. Kala itu, dia menyedari bahawa radiasi nuklear berbahaya boleh saja meresap masuk ke dalam tubuhnya lalu menjadi pembunuh senyap. Setiap lokasi yang ditugaskan kepadanya punya risiko yang berlainan.

Namun, tugasnya untuk kali ini ternyata berbeza. Dia ditugaskan untuk membuat liputan tentang cara hidup kanibal di hutan seberang yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tempat mereka bermalam. Ya, mewawancara sang kanibal. Saat menerima arahan ini daripada ketua editor, dia begitu sukar mempercayainya. Dia tahu, betapa tugas kali ini tidak ubah seperti merempuh sarang lebah atau menggerak ular yang sedang nyenyak tidur.

Menjelang pagi esok, segalanya bakal bermula. Dia masih ragu-ragu untuk mendekati manusia pemakan manusia itu. Sekalipun dia punya kekuatan menghampiri manusia misteri itu, dia tidak tahu, bahasa apakah yang harus digunakan atau soalan apakah yang harus ditanyakan ketika wawancara nanti.

Sesudah diam yang panjang, Ajmain menegur Sharifah yang diusap lamunan.

"Pernah kau dengar kisah kanibal atau, pernah kau bersemuka dengannya?"

Sharifah menggeleng perlahan. "Kau pernah bertemu mereka?"

"Mestilah tidak. Sebab itu aku mahu sertai krew ini." Jawab lelaki itu bersemangat.

Sharifah berasa aneh melihatkan reaksi lelaki jurukamera itu seperti dia benar-benar mahu bersemuka dengan kanibal yang dikhabarkan tinggal di hutan seberang. Dia tidak mengesani langsung kegusaran pada mata lelaki itu. Meskipun tidak lama dia mengenali Ajmain, dia tahu lelaki itu seorang jurukamera yang menggilai dunia fotografi. Barangkali tangkapan foto kanibal punya nilai yang mahal bagi seorang jurukamera sepertinya, fikir Sharifah.

Angin liar bertiup lagi. Kali ini lebih kencang. Unggun api hanya menunggu masa terpadam menjadi bara.

"Ceritakan, ceritakanlah padaku tentang kanibal," Sharifah membuat permintaan.

"Kanibal itu pelakunya. Kanibalisme itu perlakuan satu makhluk memakan makhluk sejenisnya. Kau sedia maklum bukan? Aku pernah terbaca dalam sebuah ensiklopedia. Menurut penulis tersebut, kanibal dalam sesetengah kes melakukannya kerana terpaksa."

"Apa yang dimaksudkan dengan terpaksa?"

Ajmain menyambung lagi, "Suatu ketika dahulu, terdapat satu kes sebuah pesawat terhempas di kawasan terpencil. Dalam kejadian itu, sebahagian daripada kru penerbangan merasakan bahawa mereka tiada pilihan selain membunuh salah seorang rakan mereka lalu memakannya. Jika tidak mereka akan mati."

"Menjijikkan!" Tekak Sharifah tiba-tiba terasa loya.

Fikiran Sharifah mengapung jauh. Dia membayangkan dirinya dan rakan setugas yang terperangkap dalam hutan ini menghadapi insiden yang sama seperti diceritakan Ajmain. Setelah beberapa lama, tiada sebarang bantuan kunjung tiba baik dari darat mahupun udara. Dalam hutan tebal itu, barangkali mereka tiada sebarang pilihan selain.... Selain menjadi kanibal, menjadi mangsa kanibalisme, atau mati kebuluran. Namun baginya, pilihan menjadi kanibal itu terlalu menjelikkan.

"Itu dalam keadaan terpaksa. Di kawasan tertentu, kanibalisme dianggap sebagai upacara ritual. Dalam kes selebihnya, mungkin pelakunya tidak waras lalu menjadi kanibal," seloroh Ajmain.

MeratahKali ini tanpa angin liar yang datang mengacah atau meratah, unggun api terpadam tiba-tiba. Sharifah yang termenung sejak tadi tersentak. Suasana bertukar kelam.

"Sharifah, api sudah terpadam. Eloklah awak masuk dalam khemah. Bahaya gelap begini. Entah ada serangga berbisa, atau tiba-tiba kanibal datang menyerang," Ajmain cuba menakutkannya.

Dia meluru masuk ke dalam khemah, merebahkan tubuh di sebelah Delaila yang sedang nyenyak. Namun, sebelum masuk waktu subuh, dia tidak dapat melelapkan mata kerana terbayangkan perbuatan kaum kanibal.

Setelah matahari naik separuh di langit, kru liputan mula berkemas. Ajmain dan seorang lagi rakannya sudah siap sedia dengan kamera beresolusi tinggi. Delaila pula sedia dengan alat perakam suara, nota poket dan sebatang pen. Manakala Sharifah seperti semalam, masih termenung jauh.

Kawasan penempatan kanibal yang dikatakan terletak kira-kira tiga kilometer dari tapak itu, mereka jejaki. Menurut maklumat yang diperoleh, penempatan tersebut seperti sebuah perkampungan asing dalam hutan tebal.

Benarlah seperti yang diperkatakan. Tatkala hampir tiba, kelihatan seperti sebuah perkampungan yang begitu terpencil di tengah belantara. Mereka meneka, itulah kawasan penempatan kaum kanibal yang didakwa kebanyakan orang yang pernah berekspedisi ke sana. Ia kelihatan seperti sebuah kampung yang sempurna, tenang dan mendamaikan. Namun hakikatnya, ia umpama sebuah tahanan yang cukup mengerikan.

Mereka bersembunyi di sebalik busut dan semak-samun. Dari celah-celah daun, mereka memerhatikan gerak-geri kanibal itu.

"Aku tidak tahu apa kategori kanibal-kanibal di sini." Ujar Ajmain.

"Maksudmu?"

"Aku tidak tahu sama ada kanibal di sini jenis yang melakukan kanibalisme kerana terpaksa atau kerana upacara ritual."

Ajmain mengangkat kamera. Dia menyorotkan lensa ke arah sekumpulan kanibal yang sedang berlibur.

Tiba-tiba sahaja, kedengaran teriakan aneh kanibal itu. Dua orang mengetuk gendang dan selebihnya membentuk bulatan. Perbuatan tersebut diiringi ucapan bahasa yang tidak pula difahami.

Perhatian kru liputan terarah kepada perbuatan misteri kanibal-kanibal itu. Salah seorang daripada mereka ditolak ke tengah bulatan. Dia lantas dibaringkan. Kedua-dua belah tangan dan kakinya dirempongkan pada kayu yang dipacak empat penjuru. Bermulalah upacara ritual kanibalisme.

Mangsa makan tengah hari kanibal-kanibal serakah itu menjerit-jerit sebaik sahaja parang, kapak dan beliung dihalakan tepat ke wajahnya.

Sharifah dan Delailah memalingkan muka kegerunan sebaik sahaja manusia kanibal itu mengawangkan parang dan kapak. Upacara itu terlalu mengerikan dan memualkan sehingga dua orang wanita itu tidak sanggup menyaksikannya. Manakala Ajmain dan beberapa kru lain mengambil peluang untuk merakamkan detik itu. Tatkala suara jeritan mangsa kanibalisme yang terseksa itu tidak lagi kedengaran, kulitnya dilapah-lapah dengan gelojoh sekali. Kemudian, tanpa sebarang perasaan belas kasihan, daging dan organ dalamannya dipotong halus, lalu diratah-ratah saat itu juga.

Ajmain turut berpaling. Perbuatan kanibal-kanibal itu serasa terlalu menjijikkan. Dia tidak sanggup lagi merakamkan insiden kanibalisme itu. Setiap orang yang melihat gambar yang diambilnya itu pasti akan berasa loya sehingga rasa seperti mahu muntah. Begitulah jijiknya kanibalisme.

Dia memandang Sharifah yang sejak tadi menutup muka dengan dua telapak tangan. Melihatkan wajahnya yang pucat dia bertanya, "Sharifah, aku perhatikan sejak malam semalam, kau hanya diam membisu. Ada apa-apa menganggu fikiranmu?"

"Aku bukan memikirkan nasib nyawa kita di tangan kanibal-kanibal zalim itu. Setiap kali membayangkan perbuatan meloyakan kanibal-kanibal itu, aku menyesali kelemahan diriku sendiri yang selalu mengabaikan peringatan daripada Tuhan."

Sharifah membacakan perlahan sepotong ayat daripada surah al-Hujurat ayat 12, "Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya..."

Delaila memandang wajah mulus Sharifah. Ajmain mendengar setia.

MengumpatKemudian, Sharifah menyambung lagi, "Dalam ayat yang sama, Allah melarang kita berprasangka buruk, mencari kesalahan dan keaiban seseorang serta mengumpat. Saya tiba-tiba mengenang kembali semua tulisan saya yang pernah tersiar di akhbar. Saya bimbang, adakah antara tulisan saya yang tersiar selama ini berunsur umpatan atau pernah membuka aib seseorang."

"Mengapa kau begitu gusar, sedangkan tugasmu hanya sebagai seorang wartawan dan penyampai berita?" Ajmain terkebil-kebil merenung wajah Sharifah.

"Kerana tanggungjawabku sebagai penyampai beritalah aku runsing memikirkaannya. Sebagai wartawan, berita yang disampaikan seharusnya benar-benar belaka dan tidak mengaibkan orang lain. Ketika Rasulullah menerangkan apa itu perbuatan mengumpat, baginda bersabda: "Mengumpat adalah ketika engkau membicarakan mengenai saudaramu sesuatu yang dia benci." Kemudian, ada sahabat yang bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana kalau yang kami katakan itu benar-benar ada pada dirinya?" Baginda menjawab, "Jika yang kalian katakan itu benar, bererti kalian telah mengumpatnya. Namun jika apa yang kalian katakan itu tidak benar, bererti kalian telah memfitnahnya." Jelas Sharifah. Dia menghela nafas panjang-panjang.

Mereka, kru liputan itu akhirnya membuat keputusan yang dipersetujui bersama; keputusan muktamad untuk tidak menghampiri manusia pemakan manusia itu. Bukanlah niat mereka mahu mengabaikan tugasan yang diamanahkan oleh ketua editor untuk kali ini tetapi, mereka tidak sanggup menyaksikan, apatah lagi menghampiri atau memberitakan perihal kejijikan yang dianggap suatu kebiasaan oleh kaum-kaum kanibal.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zuhur 1:11
Asar 4:33
Maghrib 7:07
Isyak 8:22



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.