saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 23/12/2012

Ke negeri impian

DIA ingat lagi pagi Isnin itu, semuanya masih jelas dalam bayangannya. Pagi Isnin itu dia dibangunkan oleh emaknya terlalu awal; kokokan ayam bersahut-sahutan di kiri kanan jelas kedengaran di telinga, beriringan dengan bunyi enjin bot menderum dari kejauhan di pangkalan, dan terang juga bisikan emaknya, “Bangun, ayuh bangun. Ingat pagi ini pagi apa? Bangun." Beberapa kali dia menggosok mata.

“Pagi Isnin, hari sekolah," jawabnya.

“Bukan, hari kita akan ke negeri impian,"balas emaknya.

Dia ingat selepas itu dia berjalan berpimpin tangan emak menuruni tangga kayu bulat di dapur untuk ke perigi. Tanah belum jelas kelihatan ketika kakinya memijak petak-petak batu yang mengelilingi telaga. Kedinginan bayu laut lembut menghembus menaik bulu roma, serta mengirim bau pengap air longkang yang tersumbat, dan nyamuk pun datang menghurungi, hanya kain tuala dikibas-kibas buat seketika sebelum dia duduk mencangkung menunggu air dicurah dari kepala ibu turun membasahinya. Dalam dadanya jantung kuat mengepam kerana pagi itu hari penting buatnya, ibunya dan ayahnya, hari baru sudah pun bermula. Ayam masih berkokok seperti mengiakan. Nyamuk juga menyanyi-nyanyi di telinganya. Dan suara azan pun memanggil-manggil segenap ceruk kampong nelayan yang rumah berhimpit-himpitan ini.

Mana boleh dia lupa, dua beg guni bersegi empat, berjalur merah biru berisi penuh menunggu masa untuk diangkat. Semalaman dia bersama emak melipat lalu menyusun baju, seluar, kain sarung, tuala dan dua helai selimut ke dalam beg kecuali pakaian sekolahnya. “Sekolah di sana tidak sama, mak?" Emak mengangguk kepala.

Dia soal lagi,“Jadi, mak akan beli yang baru?" Mak angguk lagi. Dia tidak puas hati, dia mahu tahu,“Beza? Warna?" Matanya meluas ke muka emak.

Tangan emak menjamah pipinya. Anak mata emak bersinar-sinar, “Cepat pergi tidur. Kita sama-sama tunggu. Kita sama-sama tengok pakaian sekolahnya nanti. Cepat tidur. Esok sedang tunggu kita. Hari baru. Tidur."

Masih jelas lagi di matanya, malam itu, di tempat tidur yang hanya beralas tikar mengkuang, dia merenung ke arah pakaian sekolahnya tergantung; bajunya putih berlengan pendek mencekik labu lengan; skirtnya berwarna hitam melabuh melepas sejengkal dari kepala lutut dengan beberapa alun lurus ke bawah. Malam itu dia rasa sangat sebak kerana tak akan memakai lagi pakaian sekolah Siam. Dalam rasa sebak itu dia rasa teruja kerana akan memakai pakaian sekolah baru di negeri impian nanti.

Pagi itu selepas dibedaki emaknya, dia yang sudah berpakaian seluar panjang, berbaju lengan panjang memeriksa kembali apa yang ada di dalam beg sandang sekolahnya. Dia sudah bersedia ke negeri impian.

Pagi itu kesibukan kampung nelayan sudah pun bermula. Jiran-jiran sekeliling rumah telah membuka jendela, bayi menangis, si emak meleter, hulu lesung menumbuk, anak ayam bercit-cit lapar, air telaga dijirus dan macam-macam bunyi serta bau orang menggoreng ikan kering melatari sekeliling. Orang-orang lalu lalang di halaman rumahnya dengan perempuan menjinjing bungkusan di kepala, ada juga beberapa lelaki tua memikul tong yang memuat udang kecil, ada yang mengandar anak ikan hasil tangkapan malam tadi dan ramai yang bertangan kosong, berbual kosong. Mereka semua menegur ayah yang sedang menyandar di beranda. Ayah perlahan menyahut. Tidak lama, anak-anak sekolah berlari-lari. Dia memanjang tengkuk di jendela. Matanya mengekori anak-anak sekolah itu melompat-lompat, menari-nari di lorong yang melurus menuju ke sekolah.

Berapa saudara-mara mula mendatangi mereka. Suara emak saudaranya seakan-akan memujuk bersuara di luar, “Dok rok duk Malay. Bukan senang tinggal di Malaysia." Diam sejenak. “Di sini pun, ikan, udang, ketam sedang menunggu kita, di sana." Ayahnya diam membisu. Ayah nekad ke negeri impian. Masa itu dia sudah pun berada dalam pelukan emak saudaranya. “Setiap kali hari raya, ajak ayahmu balik." Emak saudaranya menepuk belakangnya lembut. “Janji, setiap hari raya pulang ke kampung ya," kata emak saudaranya lagi. Kedua-dua belah tangan emak saudara di bahu kiri dan kanannya. Emak saudaranya mendakap kembali.

Dia, emak, dan ayah pada pagi itu sudah berada di atas motosikal roda tiga. Ia pengangkutan utama untuk memunggah barangan termasuk manusia ke bandar. Perlahan-lahan motosikal roda tiga itu bergerak meninggal kampong. Dia lihat emaknya sebak, hatinya tersentuh dalam pelukan ibunya. Setiap kali motosikal roda tiga memasuki lopak-lopak jalan hatinya ikut berkocak. Tetapi ayah tetap keras membatu wajahnya, seolah-olah dia mahu cepat meninggalkan kampung ini, kampung tumpah darahnya.

Entahlah , dia tidak tahu atas sebab apa ayahnya berkeras mahu meninggal kampungnya pada masa itu, sepuluh tahun dahulu. Ibu sendiri tidak pernah cerita. Sejak hari Isnin itu, dia tak pernah pulang ke sana. Apa yang dia ingat, ayahnya pernah dikelilingi dan dibawa naik trak oleh soldadu Siam. Dia hanya merenung jauh di tebing sungai Golok sebelah Malaysia di menara kompleks Imigresen Pangkalan Kubur . Di sinilah tempatnya duduk bersendirian jika ada kelapangan terutama pada setiap petang selepas tamat sesi persekolahan dengan uniform sekolah masih dipakainya. Di menara Kompleks Imigresen Pangkalan Kubur, dia membuka sepucuk surat berwarna ungu yang diberi seorang lelaki yang juga jirannya. Dia membaca perlahan-lahan seakan-akan lelaki itu sedang berbicara dengannya;

“Awak, pertama kali saya tertarik pada awak ketika awak mula-mula sekolah rendah dulu. Awak menjadi perhatian semua orang di sekolah. Ramai orang mengejek awak kerana loghat Patani awak yang pekat. Orang juga gelar awak pendatang tanpa izin. Saya perasan awak banyak diam, banyak menunduk ketika di sekolah. Sejak itulah rasa kesihan tumbuh dalam dari saya pada awak. Saya mahu jadi pelindung awak, jadi hero awak. Awak sudi tak?"

Selepas membaca surat itu, dia menggumpalnya dan membuang dalam tong sampah. Aku tak perlu orang kasihan padaku, tegasnya dalam hati.

ii.

Dia duduk dalam kelas dengan perasaan bercampur-campur, cikgu silih berganti, dia tak dapat menumpu perhatian, fikirannya melayang ketika mula-mula kakinya menapak di bumi Malaysia di pangkalan haram di Pangkalan Kubur yang dipanggil ‘Pangkalan Mara’ suatu petang sepuluh tahun dahulu, saat itulah kali pertama ia melihat pakaian sekolah di sini. Dia mula membiasakan diri menyebut “uniform sekolah". Tiba-tiba menggelojak dalam hatinya mahu segera memakai baju kurung putih itu. Dia menyangka esok atau lusa dia boleh memakai uniform sekolah itu dan seterusnya berjalan masuk ke sekolah, ke kelas untuk belajar dalam bahasa Melayu. Sebaliknya dia hanya mampu melihat dan mendengar keriuhan sebuah sekolah tidak jauh dari rumah baharunya yang kecil itu. Beberapa kali dia bertanya emaknya bila dia akan masuk sekolah Malaysia. Emak kelihatan sedih dengan soalan itu, hanya menjawab, “Tunggu saja dan berdoa." Beberapa minggu kemudian ia bertanya lagi, emak agak marah dengan soalan itu. “Kita bukan anak negeri ini! Kita tak ada hak untuk bersekolah!" Saat itu juga air matanya mengalir. Air mata emaknya juga meleleh turun. Dua beranak itu berpelukan menahan rasa sebak. Dia menahan air mata kenangan supaya tidak gugur ketika cikgu matematik sedang memberi tugasan rumah yang perlu disiap esok. Masa cikgu matematik itu pun tamat. Dia menanda muka surat yang ditugaskan itu ketika rakan sekelasnya mula membuat bising, bercakap itu ini macam itik.

Kebisingan itu mengingatkan ia pada hari pertama dia masuk bersekolah rendah di Malaysia. Suasana cukup haru biru setiap kelas. Murid-murid bertempik, melompat dari meja ke meja, bermain kapal kertas, suara murid perempuan menjerit, bola kertas disepak dan ada juga yang memandangnya ketika dia berjalan ke pejabat sekolah; semua itu bermain di ingatannya yang ia anggap pada masa itu adalah keriangan. Dan dia tak sabar-sabar mahu bersama-sama dengan keriangan itu.

Setiap kali kakinya melangkah menuruti langkah-langkah pakcik tukang kebun sekolah, dan emak ke pejabat sekolah, hati sangat berdebar-debar meskipun dia juga teruja dengan suasana keriangan itu. Dia berdebar kerana bahasa yang dia dan emaknya tuturkan. Ia berbunyi lain berbanding murid-murid yang sedang bercakap, bertempik, dan berteriak di sana sini. Malam sebelumnya emak memberi ingatan kepadanya, “Esok masuk sekolah, berhati-hati bila berkecek, jangan kecek macam orang Tani, cuba kecek macam orang Kelate. Kalau tak, orang sini akan pandang rendah pada kita." Beberapa tahun kemudian barulah dia faham betapa orang Patani atau orang Melayu sebelah Siam dianggap orang Melayu kelas kedua di sini mengikut persepsinya.

Ketika menunggu guru besar yang sedang bermesyuarat dengan para guru di pejabat , pakcik tukang kebun itu memberi harapan kepadanya, kepada emaknya juga. “Pakcik yakin adik boleh sekolah hari ini."

Pakcik tukang kebun itu sangat baik orangnya. Ayah dan emak mengambil upah mengerja sawahnya. Suatu pagi, dia ingat, dia duduk di tepi bendang, di bawah pohon kerian besar berdekatan dengan pagar sekolah melihat ayah dan emak di tengah sawah. Tiba-tiba datang pakcik tukang kebun itu di tepi pagar. “Adik mahu sekolah?" tanyanya. Dia angguk. Selepas itu emak bercakap dengan pakcik tukang kebun itu di tepi bendang. Dia dengar emaknya berkata;

“Saya hanya mahu anak saya ini tahu membaca, tahu baca papan tanda, supaya dia senang nak naik bas."

Itulah hasrat emaknya, supaya anaknya tidak sesat dalam perjalanan jika pandai membaca, sederhana saja, tahu bas mana perlu dinaiki. Dia rasa lega ketika itu, dan rasa mahu berlari-lari bersama dengan murid-murid seusia dengannya di padang sekolah. Di tepi pagar sekolah berdekatan dengan bendang padi, harapannya untuk bersekolah kembali mekar bak bunga-bunga pohon senduduk yang tumbuh mengelilingi pagar-pagar sekolah meski tak mewangi.

Dan dia, emak, dan pakcik tukang kebun berhadapan dengan seorang guru besar perempuan, mukanya redup dan suara kedengaran keibuan. Emak mencerita serba sedikit tentang penghijrahan ke Malaysia. “Kalau boleh kami mahu kekal di sana tapi ayahnya tetap mahu ke sini, cari kehidupan di sini. Ini sudah takdir." Dan emak mengulangi hasrat untuk menyekolahkannya, supaya dia pandai membaca, tahu baca papan tanda, tahu nak naik bas supaya dia tak sesat. Dia jadi malu mendengar hasrat utama emaknya itu. Tapi itulah hasrat yang jujur dari seorang emak yang tak pernah bersekolah supaya anaknya tak sepertinya yang perlu bertanya orang contohnya membaca tiket keretapi. Guru besar itu merenungnya. Dia membalas dengan mengukir senyuman.

“Ketika saya bertugas di Sabah dulu, saya benarkan anak-anak pelarian Filipina bersekolah, jadi mengapa saya tak boleh membenarkan anak Patani bersekolah di sini," kata guru besar itu sambil kepalanya berpaling ke muka pakcik tukang kebun. Lalu dia dibenar bersekolah. Setahun kemudian barulah dia faham, anak orang asing sebenarnya boleh bersekolah di Malaysia dengan syarat ia memiliki pasport. Masalahnya dia tak memiliki pasport, dia adalah pendatang tanpa izin hingga kini dari sekolah rendah sampai ke sekolah menengah. Waktu persekolahan tamat, dia menahan bas, dan membawa diri ke sempadan, ke Pangkalan Kubur.

iii.

Di sekolah rendah, dia dapat menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bila dia didaftar sebagai murid yang kehilangan surat beranak. Keputusannya sederhana. Tamat sekolah rendah, hasrat emaknya sudah tercapai, dia sudah pandai membaca dalam Bahasa Melayu dengan baik dan juga memahami Bahasa Inggeris secara merangkak. Terlanjur bersekolah rendah di Malaysia, emaknya dengan berat hati membenar dia bersekolah menengah dengan bantuan seorang ahli politik berpengaruh tempatan. Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) berjaya dijalaninya, bila dia didaftar dengan mengguna kad pengenalan sementara yang dikeluarkan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Keputusannya adalah cemerlang. Ketika memasuki tingkatan empat, dia memahami apa itu diskriminasi mengikut pemahamannya. Dia tidak dibenar memasuki kelas aliran sains. Kata-kata seorang cikgu masih berdengung di telinganya, “Kelas sains hanya untuk rakyat Malaysia saja. Takut nanti awak akan kecewa besar bila tak dibenar duduki SPM selepas belajar bersungguh-sungguh. Baik masuk kelas aliran sastera saja."

Ingauan buruk hampir menjadi kenyataan. Dia tak boleh didaftar untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana tak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri. Dia memberontak, dan dia mengutuk dalam hati akan sikap ayahnya yang tak berusaha mendapatkan pasport Thailand untuknya. Sejak sekolah rendah lagi emaknya memujuk ayahnya pulang ke Thailand untuk mengusaha dokumen tersebut buatnya. Bukan sahaja pasport, kad pengenalan Thailand pun dia tak miliki. Dari setahun ke setahun, dari tingkatan ke tingkatan, ayahnya tak mengendah pujukan emaknya itu. Hinggalah pada awal tingkatan lima, iaitu pagi semalam, dia pulang sekolah dengan menangis, dan memberitahu masalah yang akan dihadapi jika tak memiliki pasport kepada emaknya. Pada malam itu berlaku pertengkaran antara emak dan ayahnya. Ayah enggan pulang. Dan ayah menyuruh emak saja yang pulang mengurus dokumen pengenalannya. Dia menangis hingga pertengkaran itu berakhir pada tengah malam.

Esok mungkin hari terakhir buatnya bersekolah. Tak ada gunanya lagi dia bersekolah jika tak dapat mengambil peperiksaan SPM. Dia merenung ke seberang, ke Thailand. Mengapalah aku tak membesar di sana? Dia akui bahasa Thainya makin teruk. Dia mengalih pandangan semula ke bendera Malaysia yang sedang berkibar-kibar, dia merasa meskipun dia tak memiliki kad pengenalan Malaysia, hatinya telah anggap dirinya sebagai warganegara Malaysia. Aku bukan pendatang tanpa izin, itu selalu ditegaskan. Dia sedar emaknya telah berusaha mendapatkan kewarganegaraan untuknya tapi masih gagal. Hanya satu-satu caranya untuk dia mendapat kewarganegaraan adalah dengan berkahwin dengan orang Malaysia. Kembali ia merenung gumpalan surat cinta yang dilemparnya sebentar tadi, diambilnya semula surat itu yang ditulis anak lelaki pakcik tukang kebun. Dia tahu, dia sekeluarga terhutang budi yang besar kepada pakcik tukang kebun. Dia melipat kembali surat itu ketika bas bergerak meninggalkan Pangkalan Kubur menuju ke Kota Bharu dan menyimpan ke dalam beg sekolah. Azan Asar pun kedengaran.

Ketika bas berhenti di pemeriksaan polis tak jauh dari sempadan, saat itu dia berharap polis yang sedang melakukan pemeriksaan kad pengenalan penumpang segera datang menangkapnya. Tangkaplah aku, tangkaplah aku, tangkaplah aku, begitulah dia kata batinnya. Semoga dengan penangkapanya, derita kewarganegaraan yang ditanggungnya ini berakhir. Sebaliknya seperti selalu, polis yang memeriksa kad pengenalan penumpang hanya berlalu tanpa memeriksanya. Dia hanya pelajar sekolah yang lengkap beruniform dalam bas itu, langsung tak kelihatan sebagai seorang pendatang tanpa izin.

Ayah dan emak kelihatan di tangga. Bila mendekat, ayah sudah pun berkata-kata dengan mata berkaca-kaca. “Esok, kita akan pulang ke Tani. Buat pasport, buat kad pengenalan Siam."

Malam itu dia menulis surat balasan kepada anak pakcik tukang kebun itu. Dia mahu bersekolah lagi, tak mahu berkahwin awal, dan diharap jangan patah hati. Itulah inti suratnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:18
Asar 4:31
Maghrib 7:24
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.