saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 19/05/2013

Alif Ba Ta

DIA hanya seorang pemuda kumuh yang lurus bendul. Matanya jernih seperti matahari, walaupun warna kulitnya sedikit hitam. Di kampung kami yang dipisahkan sebuah sungai, dia selalu menjadi bahan jenaka, walaupun untuk suatu perkara yang dilakukannya dengan penuh keikhlasan. Jika ada sesiapa yang hendak mencarinya di kampung kami, orang selalu menghalakan jari telunjuk ke arah sebuah masjid, tidak jauh dari rumah Imam Rawatib yang hampir setiap malam memeriahkan masjid dengan kelas mengaji al-Quran kepada anak-anak muda yang masih mencari cahaya di kampung kami.

Adakalanya dia membersihkan kawasan masjid sepanjang hari. Memotong rumput yang mula meliar di sekeliling halaman masjid, atau mengutip dedaun yang gugur dari sebatang pohon hanya beberapa meter sahaja jaraknya di sebelah kanan masjid, betul-betul tumbuh melangit dan merimbun di pertengahan jalan antara masjid dan rumah Imam Rawatib yang sentiasa di sinari cahaya sepanjang malam.

Dia selalu mengutip dedaun itu sehelai demi sehelai sebaik sahaja selesai solat subuh, ketika semua jemaah meninggalkan masjid kecuali Imam Rawatib yang selalu mengingatkannya supaya menutup lampu yang biasanya masih menyala di tengah ruang masjid. Kemudian dia mengunci pintu pagar masjid apabila hendak meninggalkan masjid. Dia mengutip dedaun itu dengan penuh pasrah dan ketulusan seolah-olah seorang hamba yang membersihkan rumah tuannya dengan segala ketaatan dan curahan kasih sayang.

Biasanya juga, dia mengutip dedaun itu dan membersihkan sekeliling masjid sehingga matahari mulai meninggi, kemudian turun di pangkal senja dan bayang-bayang pohon menutupi kubah masjid yang sederhana besar itu. Jika angin kuat bertiup kencang sepanjang hari, dedaun kering yang terlepas dari pangkal dahan biasanya melayang-layang dan sebahagiannya jatuh betul-betul di bahagian hadapan halaman sebelah kanan masjid. Lalu pemuda itu seperti biasa membersihkannya selepas solat zuhur, dan sekali lagi selepas solat asar sehinggalah hari merapat pada gerbang malam.

Kata Imam Rawatib, dia sebenarnya seorang pemuda yang baik. Jauh lebih baik daripada semua pemuda yang ada di kampung kami yang dipisahkan oleh sebatang sungai yang sentiasa mengalir tenang sepanjang musim. Walaupun dia sering menjadi bahan gurauan, terutama dalam kalangan pemuda yang sebaya atau orang-orang tua, termasuk Imam Rawatib kampung kami, tetapi kebaikannya mengambang seperti bulan penuh atau seperti permaidani lembut yang terhampar di sekeliling masjid kampung kami.

"Kamu ni Osama," kata Imam Rawatib pada suatu hari berbaur tawa, ketika tidak dapat menahan geli hatinya, "Hanya tahu membaca alif, ba, ta saja. Itu saja yang kamu tahu" sambung Imam Rawatib bila pemuda itu tergagap-gagap membaca ayat al-Quran yang diajarkannya.

Pemuda itu tersengih polos, sambil menggaru kepala yang tidak gatal, tetapi itulah yang berlaku hampir setiap hari. Entah mengapa mulutnya begitu sukar menyebut ayat al-Quran yang diajarkan Imam Rawatib pada setiap pangkal malam. Mungkin keupayaan kognitifnya sangat rendah, atau mungkin ada sebab musabab lain yang dirahsiakan Tuhan kepada pengetahuan semua orang. Namun demikian, semua orang tahu, bukan pemuda itu tidak mencuba hendak membaca dengan betul. Dia sudah mencuba, berpuluh-puluh kali, hingga menjangkau ratusan, ribuan, puluhan ribu, dan ratusan ribu tetapi setakat itulah sahaja kemampuannya. Alif Ba, Ta dan itulah takdir Tuhan yang sukar diterima dan makin membekas dalam hatinya.

Adakalanya dia hendak menangis kerana tidak dapat membaca al-Quran seperti orang lain. Apabila mendengar orang lain membaca ayat al-Quran dengan baik, dia selalu menjadi sebak dan malah, mengalirkan air mata. Begitu tinggi hasrat dan cita-citanya hendak membaca ayat al-Quran, tapi apakan daya. Kadang-kadang selepas penat memotong rumput di halaman masjid, dia membersihkan diri di tempat berwuduk dan kemudian duduk seketika di hujung tangga masjid, sebelum masuk ke dalam ruang masjid, mengambil kitab suci al-Quran yang selalu diletakkan di sebuah almari kaca di sebelah kanan tidak jauh dari mimbar masjid.

Dia akan merenung kitab suci al-Quran itu dengan satu pandangan yang tidak berkelip. Membelek-beleknya satu persatu, dengan hati berbunga ketika jari telunjuknya menyentuh ayat al-Quran itu dari satu ayat ke satu ayat yang lain. Malangnya dia memang tidak dapat menyebutkan, apatah lagi membaca ayat al-Quran itu dengan baik. Mulutnya terkumat-kamit, tetapi hanya setakat itu sahaja kemampuannya dan ketika itulah air mata jernih tergenang di kedua kelopak matanya.

Dia kemudian meletakkan semula kitab suci al-Quran itu di tempat asalnya, lalu berdiri dan melangkah ke bahagian luar masjid, melihat halaman masjid yang sudah dibersihkannya, kemudian melihat sungai yang berjarak hampir satu meter dari sebatang jalan yang memanjang di hadapan masjid dan memisahkan kampung kami dengan warga yang tinggal di seberang sungai.

Jika ada sesiapa hendak menyeberangi sungai itu, biasanya mereka menggunakan perkhidmatan perahu penambang yang berulang alik beberapa kali setiap hari dan adakalanya perkhidmatan perahu itu berakhir sebelum solat maghrib dan kebiasaannya sebelum solat isyak. Tidak ada lagi perkhidmatan perahu penambang yang menghubungkan penduduk kampung kami dengan penduduk kampung seberang, selepas waktu itu, kecuali atas sebab-sebab kecemasan atau sebab lain, misalnya berkaitan lawatan wakil rakyat di kampung kami, yang biasanya semakin kerap menjelang pilihan raya.

Wakil rakyat ini jarang muncul jika tidak ada pilihan raya, malah kebiasaannya beberapa bulan sebelum ura-ura Dewan Undangan Negeri dibubarkan, maka datanglah wakil rakyat ini atau sesiapa sahaja yang hendak mencalonkan dirinya untuk menjadi wakil rakyat mempamerkan wajah manis, dan lebih manis daripada wajah pemuda lurus bendul yang hanya tahu mengucapkan alif ba ta serta rajin membersihkan kawasan masjid kampung kami itu.

Dia masih merenung sungai itu sambil mengesat sisa air matanya. Dia kemudian turun kembali ke kawasan halaman masjid, mengutip lembar dedaun yang luruh di kawasan masjid. Setiap hari ada sahaja dedaun yang luruh di kawasan halaman masjid, malah tidak pernah, walau sehari pun, dedaun tidak berguguran di kawsan halaman masjid kampung kami. Walau pun angin tidak bertiup kencang, atau tidak bertiup langsung, tetapi sentiasa ada dedaun tertanggal dari tangkainya dan berpisah abadi dari pohon yang menghadiahkan kehidupan sementara bagi jasad hijau mudanya. Tidak ada kehidupan yang abadi, dan dedaun itu adalah perlambangannya.

Namun pemuda itu selalu berduka mengenangkan hidupnya. Dia selalu berfikir, bagaimana dia harus mengisi kehidupan yang sangat sementara itu dengan sesuatu yang bermakna jika dia tidak tahu membaca al-Quran walau pun seayat? Bagaimana? Dadanya kembali sebak. Ketika itulah dia mengimbangi sebak yang menyesak dalam dadanya dengan mengutip dedaun yang berhamparan di halaman masjid kampung kami, lalu mengumpulnya di suatu tempat khas di luar kawasan halaman masjid, membakarnya seminggu sekali seperti arahan Imam Rawatib kepadanya. Dia tidak pernah mengingkari arahan itu, sehingga Imam Rawatib semakin menyayanginya, walaupun adakalaya dia tergelak mendengarkan pemuda itu membaca ayat al-Quran dengan sebutan dan pelat lidah yang sama sekali lari daripada hukum tajwid dan lagu nahwan atau resam othmani yang diketahuinya.

"Kamu ni Osama," sekali lagi dia menyembunyikan geli hati di bawah lidah, sambil matanya berair menahan tawa, "bukan begitu cara bacaannya" sambungnya.

Rakan lain pemuda itu yang sama-sama mengaji al-Quran di masjid kampung kami turut ketawa. Malah ketawa mereka selalu tidak berakhir di situ, sebaliknya muncul semula di tempat lain, di luar halaman masjid atau ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing. Biasanya pemuda itu diejek, dan dipermainkan sepanjang jalan pulang, sehingga adakalanya dia berjalan lambat-lambat, sengaja meninggalkan diri jauh di belakang.

"Alif Ba Ta. Alif Ba Ta. Alif Ba Ta!" ejek rakan-rakannya beramai-ramai bersulam tawa yang penuh penghinaan, dan dia terus mendengar usikan itu sepanjang jalan. Namun ironinya, dia tidak pernah berkecil hati dengan usikan dan ejekan mereka. Sebaliknya dia hanya tersenyum polos, seolah-olah usikan dan ejekan itu tidak berbekas sedikit pun di hati dan wajah malaikatnya.

"Dia benar-benar malaikat, yang lahir di dunia ini dengan segala kedunguan" bisik hati Imam Rawatib pada suatu hari, apabila mendengarkan pemuda itu bersungguh-sungguh membaca ayat al-Quran sambil duduk di hadapan mimbar seorang diri dan tanpa menyedari kehadirannya. Lama Imam Rawatib memerhatikan pemuda itu dari satu sudut masjid dan akhirnya hatinya luruh seperti hendak menangis ketika mendengarkan sebutan dan pelat lidah pemuda itu yang tergagap-gagap dan sukar dibetulkan sewaktu menyebutkan huruf "Alif Ba Ta,". Dia menyebutkan dengan nada suara keras yang sumbang.

Walau bagaimana pun hanya itulah yang dapat dilakukannya sesuai dengan pemberian Allah terhadapnya. Hanya itu sajalah!

Namun demikian, suatu hari pemuda itu seolah-olah tidak percaya apabila Imam Rawatib mendekati pemuda itu dengan tangan seperti memegang sesuatu tetapi disembunyikan di belakangnya. Dahi pemuda itu berkerut. Dia pelik dengan tingkah lakunya yang tidak pernah dilihat pemuda itu selama dia mengenali imam yang selalu mengimami solat berjemaah di masjid kampung kami itu. Pemuda itu kemudian tersenyum polos dan menggaru kepalanya.

"Hari ini, hari jadi kamu bukan?" soal Imam Rawatib itu.

Pemuda itu tersengih jujur.

"Hari jadi kamu bukan, Osama?" soalnya lagi.

Pemuda itu mengangkat kedua belah bahunya, menunjukkan isyarat bahawa dia tidak mengetahuinya. Imam Rawatib itu tersenyum ramah.

"Nah!" katanya kemudian sambil menghulurkan sesuatu kepada pemuda itu, "Hadiah saya, sempena hari jadi kamu. Hari ini hari jadi kamu" Imam Rawatib memberitahunya ikhlas.

Pemuda itu menghulurkan tangan menyambut hadiah yang diberikan Imam Rawatib dengan wajah selamba. Dia kemudian merenung hadiah itu. Dibukanya perlahan-lahan bungkusan kertas yang menyembunyikan sesuatu yang tidak diketahuinya. Namun sebaik-baik sahaja yang terserlah daripada bungkusan itu adalah senaskah al-Quran yang cantik, wajah pemuda itu tiba-tiba berubah hiba. Dia hendak menangis. Dia tidak pernah menerima hadiah seindah dan semahal itu dalam kehidupannya. Apakah yang lebih berharga di dunia ini selain daripada senaskah al-Quran? Dia tahu itu dan meyakininya, walau pun dia hanya tahu membaca Alif, Ba Ta.

Imam Rawatib pernah memberitahunya, al-Quran adalah pedoman hidup manusia sepanjang hayat. Dalam al-Quran itu termeterai hikmah kasih sayang, pengajaran dan tamsil, hukum dan syariat. Dia tahu semua itu, walaupun dia tidak tahu membacaanya, kerana Imam Rawatib selalu mengajarkan fadilat dan hikmah kitab suci itu hampir pada setiap pangkal malam sebelum sesi mengaji al-Quran atau sekali lagi semasa majlis tazkrah selepas solat subuh setiap hari Jumaat yang dianggap sebagai penghulu segala hari itu. Dia tahu. Sebab itu dia sentiasa berazam hendak mempelajari atau membaca al-Quran. Dia mesti tahu, meski pun sentiasa mendapat ejekan dan usikan kawan-kawannya.

"Alif Ba Ta!"

Dia tersenyum.

"Alif Ba Ta!"

Dia ketawa polos.

"Alif Ba Ta!"

Dia tetap riang memotong rumput yang memanjang atau membersihkan dedaun kering yang bertaburan di halaman masjid, meski pun kawan-kawannya asyik mentertawakannya.

"Ah! Pemuda ini," seperti kata Imam Rawatib suatu hari kepada jemaah tazkirahnya, "malaikat dungu, yang tidak pernah menyimpan di hatinya walau sekelumit rasa benci, atau marah atau sebutir pasir dendam sekali pun. Tidak pernah! Dia hanya tahu tentang kebaikan dan kasih sayang. Dia tahu al-Quran itu adalah imamnya, walau pun dia tidak tahu membacanya. Pemuda ini adalah contoh yang terbaik apabila bercakap tentang kecintaan seorang hamba terhadap wahyu-Nya yang terhebat kepada manusia" sambungnya.

Semua orang yang menghadiri tazkirah Imam Rawatib tertunduk malu, dan tersipu-sipu, kerana tidak ada seorang pun antara mereka yang mencintai al-Quran lebih daripada cinta Osama terhadap wahyu dan mukjizat Allah yang tidak ada tolok bandingnya itu.

Sehingga suatu malam, ketika dingin meruap di seluruh wilayah perkampungan kami, Osama mendapat tahu daripada Imam Rawatib bahawa suatu majlis khatam al-Quran akan dilangsungkan di rumah ketua kampung tanah seberang. Osama benar-benar teruja menghadiri majlis khatam al-Quran di kampung tanah seberang itu. Dia mesti menghadirinya. Dia bertekad dalam hati. Walau apa pun halangannya dia mesti pergi ke tanah sebarang. Melihat dan mendengar dari dekat majlis khatam al-Quran itu, tetapi entah bagaimana dia terlambat menaiki perahu penambang terakhir ke kampung seberang. Tidak ada lagi perahu penambang berikutnya ke kampung seberang. Sebabnya ialah dia disekat dan diusik kawan-kawannya sepanjang jalan, tetapi dia tidak berputus asa. Tekadnya hanya satu hendak mendengar orang khatam al-Quran. Dia juga sudah berazam, jika dia sudah tahu membaca al-Quran, dia juga hendak khatam al-Quran seperti anak perempuan ketua kampung di kampong tanah seberang itu. Mesti!.

"Aku mesti pergi ke kampung tanah sebarang dan menghadiri majlis khatam al-Quran yang menjadi penghulu dan ibu kepada segala kitab itu" bisik hati Osama sendiri, seolah-olah hanya dirinya sahaja yang dapat memberikan motivasi kepada kehendaknya yang meluap-luap dalam mencintai al-Quran itu.

Malangnya, ketika dia sampai di pangkalan, perahu penambang terakhir yang hendak dinaikinya sudah pun berlepas. Cahaya lampu suram di pangkalan, sesuram hatinya. Buat pertama kali dalam hidupnya dia merasa perasaan kecewa yang amat sangat dalam dirinya. Dia memandang perkampungan sebarang yang berkilauan dengan cahaya menerobos keluar dari jendela dan pintu rumah yang terbuka.

Dia mundar mandir di sepanjang pangkalan, dengan harapan dapat melihat sebuah perahu penambang menghampiri pangkalan. Ketika itu juga kawan-kawan yang mengejek dan mengusiknya sebelum itu tiba-tiba muncul di kawasan pangkalan dan menghampirnya.

"Alif Ba Ta, kamu terlepas perahu ke kampung seberang?" Tanya mereka masih bersulam ejekan.

"Ya, aku hendak ke seberang" dia menjawab polos seolah-olah tidak ada apa yang berlaku di antara dia dan kawan-kawannya.

"Bagaimanakah aku hendak pergi ke seberang?" soalnya lagi.

Kawan-kawannya ketawa.

"Senang sahaja" jawab kawan-kawannya.

"Apa dia?" soalnya sungguh-sungguh dengan wajah yang bercahaya.

Kawan-kawannya terus ketawa, sarat ejekan.

"Sebut sahaja, Alif Ba Ta, kamu mesti boleh berjalan di atas air ke kampung seberang"

Mereka ketawa lagi.

"Ya?"

"Ya, betul cubalah. Kamu mesti boleh berjalan di atas air"

Wajah Osama bercahaya dan cahaya itu seolah-olah menghiasi malam di perkampungan kami. Dia betul-betul yakin dan percaya bahawa dengan menyebut Alif Ba Ta sahaja, dia akan dapat berjalan di atas air ke kampung tanah seberang.

Dia gembira, meski pun kawan-kawannya terus mentertawakan.

"Si bodoh dungu dan lurus bendul itu pasti tenggelam ke dalam sungai" bisik salah seorang kawannya, kepada kawannya yang lain. Kemudian mereka kembali ketawa. Sehingga bau busuk ketawa mereka mengitari kawasan pangkalan perahu di perkampungan kami.

Osama kemudian perlahan-lahan melangkah turun ke pangkalan. Dengan penuh keyakinan mulutnya tidak putus-putus menyebutkan Alif Ba Ta. Pada ketika yang sama dia terus melangkah. Melangkah dan melangkah, sehingga kaki kanannya mula mencecah air. Dia terus melangkah ketika itulah kawan-kawan yang mengejek dan mengusiknya berhenti ketawa. Ada sesuatu yang aneh berlaku di permukaan sungai. Seluruh kawasan pangkalan perahu di perkampungan kami itu sunyi sepi, seperti disambar garuda. Senyap sepenuhnya.

Ketika itu juga, Osama terus melangkah semakin pantas di permukaan air, seolah-olah dia berjalan di atas tanah ke tanah seberang. Maha Besar Allah terhadap semua kejadian yang dikehendaki-Nya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.