saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 26/05/2013

Ketandusan penulis bukan Melayu

USAHA memperkasa sastera kebangsaan telah dirintis oleh penulis bukan Melayu sebelum negara memperoleh kemerdekaan. Usaha itu dimulakan oleh Nagalingam yang berasal dari Parit Buntar, Perak. Dengan tersiarnya cerpen berjudul Cerita Orang Yang Tiada Menerima Syukur secara bersiri dalam Bahtera pada 17 Mei dan 24 Mei 1932, Nagalingam menjadi perintis dalam kalangan generasi bukan Melayu terkemudian yang berkarya dalam bahasa kebangsaan. Meskipun sumbangan Nagalingam agak kecil, namun demikian jalan yang dirintis oleh Nagalingam telah membuahkan hasil selepas enam dasawarsa.

Persuratan kebangsaan mencapai puncak kegemilangan pada dekad 90-an melalui sumbangan gemilang penulis bukan Melayu. Dalam dekad itu, bilangan penulis bukan Melayu yang menyuburkan persuratan kebangsaan ialah seramai 87 orang dan daripada 87 orang yang berkarya, sebanyak 43 orang telah memenangi Hadiah Cerpen Maybank- DBP (Tunas Cipta, Oktober 2012 :4).

Sayang sekali, kegemilangan yang telah digapai dalam dekad 90-an tidak kekal dan bilangan penulis bukan Melayu yang berkarya dalam bahasa kebangsaan terus merosot dan merudum. Daripada 87 orang dalam dekad 90-an, angka itu menurun kepada 63 pada tahun 2000 dan merudum kepada 23 orang pada tahun 2012 (Tunas Cipta, Oktober, 2012: 6).

Dalam kalangan 23 orang penulis bukan Melayu, hanya ada empat penulis kaum India dan empat penulis keturunan Tionghua. Hanya lapan penulis dalam kalangan kaum India dan keturunan Tionghua yang masih berkarya secara konsisten sehingga kini. Penulis bukan Melayu, Chu E Liang misalnya terus berkarya dalam bahasa Melayu hingga kini. Suatu angka yang dianggap sangat kritikal dan wajar diberi perhatian oleh semua pihak. Ini adalah kerana kemerosotan bilangan penulis bukan Melayu akan membantutkan hasrat kerajaan untuk mengintegrasikan kaum melalui bahasa dan sastera.

Penulis bimbang dengan kemerosotan sumbangan penulis bukan Melayu, cinta akan bahasa dan sastera kebangsaan akan turut luntur dan timbul suatu tanggapan negatif bahawa sastera kebangsaan adalah milik bangsa Melayu sahaja dan bukan milik warga Malaysia. Jika ini berlaku, maka usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia melalui bahasa dan sastera tidak akan menjadi kenyataan dan jurang prasangka antara kaum akan menjadi lebih lebar.

Memandangkan pembabitan penulis bukan Melayu dalam persuratan kebangsaan berada pada tahap runcing dan kritikal pada masa kini, maka penulis mencadangkan agar subjek sastera dijadikan subjek wajib di sekolah rendah. Semua murid wajib mempelajari sastera Melayu dan murid-murid yang belajar di sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan dan sekolah persendirian juga tidak terkecuali dalam hal ini.

Dalam konteks ini, penulis bersetuju dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh Dr. Aminudin Mansor dalam (Mingguan Malaysia, 19 Mei 2013) agar sastera perpaduan diberi keutamaan dalam kurikulum kebangsaan. Pendedahan terhadap sastera perpaduan pada usia muda dapat memupuk perpaduan dalam kalangan generasi muda warga Malaysia.

Untuk merealisasikan hasrat tersebut, penulis bukan Melayu yang setia menyuburkan persuratan kebangsaan wajib dilibatkan dalam penulisan dan penerbitan karya sastera perpaduan. Dengan perkataan lain, penulis keturunan Tionghua dan penulis kaum India yang ingin menerbitkan karya sastera perpaduan yang mendukung gagasan 1 Malaysia wajar dipertimbangkan.

PerpaduanPenterjemahan karya juga membantu memupuk perpaduan dalam kalangan warga Malaysia. Warga Malaysia yang memiliki bahasa, budaya, adat resam dan pantang larang yang berbeza boleh diintegrasikan melalui karya terjemahan. Dalam konteks ini, peranan yang digalas oleh Perspektif (Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia) wajar disanjung kerana usaha mereka membantu kita untuk memahami budaya dan adat resam mereka. Pemahaman terhadap pantang larang dan budaya kaum lain dapat mengelakkan prasangka antara kaum dan mempercepat proses pengintegrasian kaum.

Penulis amat berharap agar penulis kaum India yang berkarya dalam bahasa Melayu dan bahasa Tamil akan mengikuti jejak langkah mendiang N. S Maniam, mendiang G. Soosai, Joseph Selvam, P. Palanaiappan, A. Nagappan, Ignatius Dev dan T. Anna Mary yang telah mengalihbahasa sastera Tamil ke sastera kebangsaan. Joseph Selvam yang menggunakan nama samaran Elili dan Yusuf S telah mengalihbahasa 30 cerpen dan tujuh antologi puisi dari bahasa Tamil ke bahasa kebangsaan. Usaha murni para penterjemah telah memperkukuh perpaduan kaum dalam dekad 70-an dan 80-an. Dalam konteks ini, kenyataan Amir Tan (Pelita Bahasa, September 2003 : 19) bahawa sastera terjemahan telah mendekatkan masyarakat bukan Melayu kepada sastera dan budaya Melayu amat bertepatan kerana dalam dekad 70-an dan 80-an, semangat patriotisme dalam kalangan warga Malaysia amat tinggi. Semangat patriotisme yang tinggi dalam diri mereka dapat dikesan dalam karya yang diterbitkan dalam dekad tersebut.

Semua pihak wajar menggalas peranan dan tanggungjawab untuk merealisasikan gagasan 1 Malaysia. Dalam konteks ini, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan penulis wajar mencontohi usaha yang diambil oleh Gapena, Pena, Aswara dan NUMERA, Dewan Bahasa dan Pustaka dan ITBM yang tidak alpa untuk membabitkan penulis bukan Melayu dalam semua program anjuran mereka.

Malah kesudian Pena (Persatuan Penulis Nasional Malaysia), PPS (Persatuan Penulis Selangor) dan PKBM (Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia) menerima penulis untuk menganggotai barisan kepemimpinan mereka sebagai AJK merupakan suatu pengiktirafan kepada semua penulis bukan Melayu di Malaysia.

Sesungguhnya, usaha penulis bukan Melayu dalam memperkaya khazanah sastera negara melalui karya asli atau karya terjemahan wajar dihargai kerana mereka berjuang melalui kalam untuk mendaulatkan bahasa dan sastera kebangsaan dan kemerosotan penyertaan mereka tidak boleh dipandang enteng kerana akan menyukarkan pengintegrasian kaum dan pencapaian gagasan 1 Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.