saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 05/06/2013

Kehalusan seni tanjak

AHLI komuniti Keris Warisan yang aktif dalam aktiviti memartabatkan warisan dan tradisi Melayu khususnya yang berkaitan dengan seni busana serta permainan tradisional.

DALAM alam busana Melayu, pemakaian tanjak memainkan peranan yang cukup penting. Selain mempamerkan kehalusan berpakaian, tanjak juga menceritakan pelbagai kisah dan latar belakang si pemakainya.

Pada zaman dahulu, pemakaian tanjak yang juga dipanggil tengkolok atau destar merupakan simbol yang melambangkan status sosial dalam masyarakat. Lipatan dan gubahannya dianggap 'pengenalan' kepada pemakainya.

Tanjak Ketupat Makasar dan Anak Gajah Menyusu misalnya menceritakan darjat dan kedudukan seorang pembesar. Lipatan seumpama itu pula tidak sesekali dipakai oleh orang-orang kebanyakan.

Apatah lagi jika tanjak tersebut dipadankan bersama dengan set persalinan pakaian yang dianugerahkan dari istana. Kekemasan dan kehalusan tenunan diraja sahaja sudah cukup untuk menceritakan kedudukan pangkat dan kebesaran yang dimiliki.

Selain melambangkan status, bentuk gubahan hiasan kepala itu juga banyak menceritakan asal-usul si pemakai. Lipatan Ayam Patah Kepak, Lang Menyongsong Angin dan Getam Budu merupakan sebahagian daripada jenis lipatan tanjak dari Pahang.

Di Perak pula, gubahan Mahkota Alam, Balong Ayam dan Nakhoda Trong adalah gubahan yang sering diketengahkan manakala Belalai Gajah dan Lang Melayang pula mewakili keunikan gaya Terengganu.

Pengerusi Persatuan Destar Alam Melayu (Perdam), Wan Ahmad Fariz Wan Mat Alli berkata, bukan sekadar lipatan, seni mengikat tanjak tidak dilakukan secara sembarangan. Sebaliknya dihasilkan mengikut kesesuaian sifat si pemakai.

Jelas beliau, antara seni paling 'halus' dalam penggubahan tanjak adalah keupayaannya menampilkan watak dan sifat si pemakai serta kebolehannya menepati kesesuaian pada majlis-majlis tertentu.

Menurut Wan Ahmad Fariz, tanjak biasanya digubah berdasarkan lima prinsip utama iaitu duka, tegas, teguh, megah dan garang dalam mencerminkan perwatakan pemakai.

"Bagi majlis kahwin kita guna gubahan berbunga. Untuk majlis kematian pula yang bersifat duka manakala untuk bertempur kita pakai yang nampak kuat dan garang.

"Ada juga gubahan yang direka untuk menaikkan watak seseorang berdasarkan permintaan mereka sendiri, kerana bentuk tanjak sangat mempengaruhi 'watak' pemakainya," katanya kepada Mega baru-baru ini.

Melihat pada fizikalnya, tanjak jelas membuktikan kehalusan cara orang Melayu berpakaian. Namun, kemahiran yang sudah lama luntur itu jarang dikuasai oleh generasi masa kini.

Bagi Khairul Hafiz Abd. Rahman, minat beliau terhadap seni menggubah tanjak yang dipelajari sejak tiga tahun lalu bukan sesuatu yang sia-sia bahkan kemahiran yang dimilikinya itu sudah membuahkan hasil.

Berbekalkan daya ingatan dan kreativiti yang tinggi, beliau kini mampu menghasilkan lebih 100 jenis ikatan tanjak tradisional yang dihafal berdasarkan bentuk dan lipatan.

Selain jenis-jenis ikatan yang dihafal beserta namanya, Khairul Hafiz juga berkebolehan menghasilkan sendiri ikatan tanjak yang ditempah oleh pelanggannya dari blog beliau www.kronikeltanjakmelayu.blogspot.com.

"Bagi memastikan jenis ikatan tidak dilupakan saya memberanikan diri untuk mengambil upah mengikat tanjak secara atas talian.

"Sambutan setakat ini sangat memberangsangkan kerana tidak ramai yang menyediakan perkhidmatan seperti ini," katanya selaku Timbalan Pengerusi Perdam.

Khairul Hafiz berkata, cabaran untuk menghasilkan tanjak yang kemas dan sesuai dengan perwatakan si pemakai bagaimanapun menuntut pengorbanan masa yang agak lama.

"Tempoh untuk menyiapkan tempahan tidak menentu kerana ada masanya kita kekeringan idea untuk memenuhi kehendak pelanggan.

"Kadang-kala untuk hasilkan tanjak yang berperwatakan garang, kita kena buat dalam keadaan marah," ujarnya.

Sementara itu, Nur Afifi Mohamad Taib selaku Yang Dipertua Persatuan Busana Melayu berkata, usaha mendokumentasi pakaian tradisional Melayu kini sedang dilakukan bagi memastikan warisan itu tidak luput.

"Salah satu usaha kita adalah untuk mengumpul seberapa banyak bahan berkaitan dengan busana Melayu.

"Setakat ini bahan banyak diperolehi daripada bukti-bukti bergambar dan secara lisan daripada orang-orang lama," katanya yang juga Pensyarah Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Usaha itu menurut Nur Afifi penting kerana peredaran zaman banyak mempengaruhi perubahan pakaian tradisional Melayu seperti baju Melayu, baju kurung dan baju kebaya.

"Kita sebenarnya sudah hampir hilang identiti berpakaian. Kalau kita lihat sekarang berapa kerat sahaja generasi muda yang memiliki set persalinan pakaian Melayu yang lengkap dengan tanjak," katanya.

Perdam yang bernaung di bawah komuniti induknya iaitu Keris Warisan merupakan salah sebuah daripada persatuan yang giat memartabat adat dan warisan tradisional Melayu.

Selain Persatuan Destar Alam Melayu, komuniti Keris Warisan yang ditubuhkan sejak Januari lalu turut dianggotai oleh beberapa buah persatuan yang dipecahkan secara khusus iaitu persatuan busana Melayu, silat, memanah, muzik, permainan dan makanan tradisional.

Komuniti yang disertai oleh golongan muda dari seluruh negara itu kini mempunyai kira-kira 600 ahli. - ABD. HALIM HADI

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:58
Zohor 1:20
Asar 4:21
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.