saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 07/07/2013

Manfaatkan pemikiran Sasterawan Negara

SEBAGAI bangsa yang bertamadun, kita seharusnya membaca dan memanfaatkan pemikiran Sasterawan Negara yang kita angkat. Sudah 12 tokoh yang dinobatkan sebagai sasterawan yang mempunyai pemikiran sejajar dengan perkembangan tamadun bangsanya. Kebanyakannya menyentuh dengan mendalam berkaitan isu budaya, bahasa dan sastera dalam masyarakat.

Sasterawan adalah pemikir bangsa yang mencetuskan pemikirannya melalui karya-karyanya, tidak kira dalam bentuk novel, cerpen, drama, puisi dan esei. Malangnya kebanyakan daripada kita tidak serius menghayati dan mendalami hasil-hasil karya mereka.

Generasi muda kita lebih mendalami filem dan lagu-lagu yang dinyanyikan berbanding mendalami dan menghayati pemikiran Sasterawan Negara.

Hasil karya Sasterawan Negara kita sarat dengan pemikiran. Ini wajar dibukukan agar dapat dikongsi oleh seluruh rakyat negara ini. Semua bahan ini sangat berguna sebagai buah fikiran yang boleh ditinggalkan kepada generasi akan datang.

Hal-hal yang berkaitan seperti politik, ekonomi, sastera, budaya, pendidikan dan sosial juga merupakan perkara yang selalu dibangkitkan oleh Sasterawan Negara kita. Semuanya mempunyai gaya cara dan pandangan tersendiri berkaitan perkara ini yang menjurus kepada kemajuan dan pembangunan bangsa. Mereka sewajarnya menjadi pendorong utama yang menggerakkan kepada kemajuan bangsa.

Ilmu sangat penting kepada manusia. Semua manusia memerlukan ilmu untuk memandu dan membangunkan kehidupan secara individu, berkeluarga, bermasyarakat dan negara. Namun demikian masih ramai dalam kalangan kita tidak berusaha meningkatkan ilmu dan membangunkan dirinya, keluarganya atau negara dan tamadun bangsanya secara keseluruhan. Ini disebabkan ilmu adalah ketibaan maklumat yang banar dan bermakna dalam diri insan.

Terdapat beberapa faktor kenapa hasil karya Sasterawan Negara kita kurang dibaca dan dimanfaatkan dalam kehidupan. Antaranya, sikap malas membaca dan meneroka apa yang tersirat dan ketinggian pemikiran tidak dapat dihayati oleh pembaca. Rasa takut untuk membaca novel, cerpen, drama dan puisi yang dianggap sukar difahami.

Sebagai contoh pemikiran Sasterawan Negara ketiga, Usman Awang yang memancarkan kecintaan kepada kebudayaan serta perpaduan dengan kaum-kaum lain di negara ini.

Sebagai contoh beliau pernah berkata: " Keinginan perlu dipandu oleh kearifan. Tanpa arif bestari, kebijaksanaan tidak ada. Tanpa bijaksana penyelesaian akan menjadi mentah, atau penyelesaian tanpa kebijaksanaan akan menimbulkan mudarat yang lebih besar." (Sukma Angin, 1999).

Baginya, puisi adalah kemanusiaan dan masa depannya. Katanya: " Salam, tanpa visa/pasport/golf/warna/kemanusiaan rakyat/seluruh benua." Sumber ilhamnya adalah rakyat terbanyak iaitu para petani, buruh dan nelayan.

Begitu juga sebagai contoh, Sasterawan Negara keenam, Muhammad Haji Salleh, adalah pencari dan pemikir yang mahukan generasi muda mengembara ke seluruh dunia untuk mencari ilmu dan kembali ke negaranya untuk dimanfaatkan kepada bangsa dan negaranya. Hal ini terdapat dalam tulisan buku Sohaimi Abdul Aziz, Muhammad Haji Salleh ; Pencari dan Pemikir.

KreatifJusteru, hebatnya insan dalam mengharungi kehidupannya adalah kerana memiliki ilmu yang benar dan bermanfaat. Dengan ilmu manusia mampu melakukan perubahan diri dan persekitarannya. Dengan kata lain, manusia boleh berkarya, kreatif dan melakukan pelbagai aktiviti dengan ilmu dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Sasterawan Negara ke-10, Anwar Ridhwan lewat dalam karya-karyanya menyentuh isu-isu budaya, bahasa dan sastera kebangsaan yang menjadi bukti kepada kejayaan bahasa kebangsaan, integrasi kaum, kebebasan bersuara serta demokrasi sosiobudaya negara ini. Hal ini juga disuarakan melalui tulisannya dalam kolum di akhbar. Pandangan beliau dapat dilihat dalam Kata Pengantar Buku Sastera Kebangsaan, Pendidikan Sastera dan Pembinaan Negara Jilid 111 (2008) tulisan Chew Fong Peng.

Menurutnya, dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, kemajmukan itu datang bersama-sama kepelbagaian kepercayaan agama, budaya, bahasa, sastera serta pandangan sarwa masyarakat. Malaysia ketika bersemuka dengan hakikat kemajmukan, tampaknya lebih bersikap demokratis dan agak terbuka kerana sungguhpun unsur-unsur kebangsaan yang berpaksikan pada kebudayaan Melayu dan pribumi itu cuba dikekalkan, tetapi dalam masa sama anggota masyarakat dari kelompok yang lain itu tetap bebas mempraktikkan sesuatu yang amat tinggi dan sakral - iaitu kepercayaan agama. Hal ini diikuti dengan kebebasan melaksanakan aktiviti kehidupan berdasarkan budaya, bahasa dan sastera masing-masing.

Bagi, Sasterawan Negara ke-11, Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), setiap manusia yang dilahirkan adalah khalifah Allah dan mempunyai tanggungjawab yang harus dipikul. Melalui bakat, pendidikan dan pengalaman penyair-penulis seharusnya melaksanakan tanggungjawab kepada bangsa dan masyarakatnya. Ini dijelaskan melalui tulisannya dalam Kata Pengantar Puisi Baharu Melayu 1961-1986 (1990) terbitan Dewan bahasa dan Pustaka (DBP).

Menurutnya, rasa tanggungjawab ini bukan hanya untuk diri sendiri sahaja, tetapi untuk kemanusiaan, alam dan Tuhan. Beliau yakin bahawa sebagai penyair atau penulis sudah menyedari hakikat kesenimanan yang mempunyai fungsi dari sudut lahiriah dan rohaniah. Penyair juga adalah pemikir bagi kehidupan manusia lain. Inilah yang pernah diungkapkan oleh penyair besar seperti Muhammad Iqbal. Beliau menganggap dirinya adalah penyair-pemikir dan menjadi 'mata' kepada bangsanya.

Manakala menurut Sasterawan Negara ke-12, Baharuddin Zainal (Baha Zain), sebagai penyair dan penulis juga mempunyai tanggungjawab kemanusiaan. Lontaran pemikirannya dalam Monolog Kecil Dewan Sastera Mei 2003, berkaitan dengan Kata Achebe: Fikiran yang medioker boleh merosakkan negara sama seperti perang; mengembangkan rasuah dan keruntuhan akhlak. Juga benar bahawa orang yang rosak akhlaknya, bukan sahaja boleh merosakkan orang lain, tetapi tidak menyedari tentang fikirannya yang medioker. Menurutnya hari ini negara berada dalam isu-isu besar sosio-politik sehingga semua isu dijadikan kontroversi atau sensasi yang menjadi-jadi sehingga ke dunia seni.

Justeru, sebagai rakyat khususnya generasi muda adalah digalakkan membaca, mendalami dan memahami pemikiran Sasterawan Negara kita seramai 12 orang itu. Memilih menyaring dan memanfaatkan dalam kehidupan yang disampaikan dalam pemikiran lewat tulisan memberi manfaat yang sangat berguna kepada kesinambungan warisan bangsa. Ambillah yang baik dijadikan pengajaran dan teladan dalam kehidupan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:09
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.