saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 02/03/2014

Kesederhanaan dalam puisi A. Latiff Mohidin

Meneliti dan mengkaji puisi-puisi A. Latiff Mohidin kita akan menemui inti watak kesederhanaan penyair ini. Malah dalam banyak hal A. Latiff Mohidin terlalu sederhana; pakaian, kehidupan, makanan dan suaranya. Dalam berkarya dia tidak berlebihan, penggunaan warna, dan garis mahupun kata dan bahasa.

Tetapi di sebalik kesederhanaan A. Latiff Mohidin itulah kebesaran dan keistimewaannya. Sebagaimana bakatnya dalam bidang lukisan dan juga dalam bidang puisi. Banyak puisinya menyentuh hal-hal biasa dan perkara yang terlepas pandang oleh kita dan diangkat menjadi besar dalam puisinya.

Kejayaannya mengangkat tema dan persoalan kecil menjadi besar suatu keistimewaan yang dimiliki beliau sebagai penyair dan pelukis dan perenung alam yang tajam.

Percubaan A. Latiff Mohidin mengguris-guris puisi dalam awal tahun 60-an telah mendapat perhatian pengarang Dewan Pelajar dan Dewan Masyarakat. Dalam hal ini Usman Awang dalam kata pengantar Garis Latiff Mohidin Dari Titik Ke Titik menyatakan, "Pengucapan puisi A. Latiff Mohidin mempunyai gaya yang tersendiri dengan binaan bahasa yang pendek dan padat telah membuka suatu pintu baru untuk laluan pengucapan puisi tanah air.

Walau bagaimanapun A. Latiff Mohidin masih tetap dengan gaya dan kesederhanaan penyair ini. Tetapi kesederhanaan itu adalah kebesaran dan keindahan yang sukar sekali dicapai oleh banyak seniman. A. Latiff Mohidin dengan kelembutan yang kuat, kental, dengan ketenangan yang menyala dan membakar, dengan perlambangan yang tekun dan sabar adalah seniman yang memadankan lukisan dan sastera dalam warna bahasa yang begitu puitis dan lakar bahasa yang banyak dimensi.

"Setengah-setengah pelukis tidak melihat bahasa dalam kepelbagaian warnanya atau mencuba menemukan bahasa sebagai suatu jalur visualnya. Tetapi bagi A.Latiff Mohidin, beliau berupaya mengadunkan warna dan bahasa dalam puisi-puisinya".

Penulis mendapati A. Latiff Mohidin tertarik dengan "alam kata-kata" bukan saja kerana tarikan bahasa sebagai saluran fikiran dan ilmu, tetapi juga kerana keistimewaan tarikan tenaga simboliknya.

Puisi-puisi A. Latiff Mohidin menyentuh tentang kesan perasaan, kenangan mimpi dan lapisan pengalaman melalui imaginasinya. Pembaca juga akan menemui banyak sekali imejan benda-benda yang biasa dan unsur-unsur yang lumrah seperti "tiket, surat, sotong, burung gagak, cicak dan sungai".

A. Latiff Mohidin tidak menampilkan benda dan unsur tersebut dengan terperinci sebagai gambar yang mati, tetapi hidup dan penting dalam kehidupan kita. Penekanan kesan visual ini adalah hasil kemungkinan bentuk daripada ‘puisi konkrit’ Eropah, ‘canggah kata’ pepatah Minang dan seterusnya daripada ‘sketsa budaya’ yang memang menjadi sebahagian daripada kehidupan seni kreatif A. Latiff Mohidin sendiri.

Walaupun beliau berhasil menggunakan bentuk bebas secara matang, tetapi puisinya tetap merupakan pengucapan jiwa daripada manusia Timur yang masih dekat dengan kekayaan dan keindahan alam sekitar.

Meskipun melalui kata-kata, A. Latiff Mohidin tidak menyatakan secara jelas pemberontakan dalam puisinya terhadap hal-hal yang lazim dan mundur, tetapi daripada cara dan gaya berpuisi beliau sebenarnya telah pun menyatakan sikap dan pendiriannya yang tersendiri.

Pencarian A. Latiff Mohidin terhadap ‘daerah tempatan’ menariknya ke arah alam dan kita dapati baik sebagai pelukis ataupun penyair, beliau adalah seniman yang cukup mesra dengan lingkungan semula jadinya.

A. Latiff Mohidin yang banyak mengembara menemui pelbagai rencah kehidupan dalam pengembaraannya. Sajak-sajak tidak terlepas dengan kehidupan seperti Sebuah Bas Berwarna Biru, Serigala, Banjir, Kebakaran, Lalang Terbakar, Hari Minggu, Maya, Kepada Kura-Kura, Pendekar, Hujan, Burung-Burung Hitam, Sekuntum Bunga Sepatu, Cinta Kembara Sotong Tua, Taman, Tarian Lalang, dan Pohon Cemara yang terlepas daripada ingatan kita.

Kehidupan dan perkara ini digarap oleh A. Latiff Mohidin melalui sajak-sajaknya dengan mengambil tajuk-tajuk di atas sebagai perkara penting yang mungkin tidak menjadi perhatian kebanyakan manusia.

A. Latiff Mohidin membentuk watak dan peribadinya yang khas melalui kecintaannya terhadap alam dan kehidupan di dalam sajak-sajaknya. Hal ini terpancar sejak dahulu, dari Sungai Mekong hinggalah Rawa-Rawa. Hati dan jiwanya amat akrab dengan alam semula jadi, yang indah tak ternoda.

Puisi-puisi A. Latiff Mohidin dari jiwa yang sepi, bukan tertekan dan kecewa, tetapi memimpikan yang hening dan murni, yang tenang dan lapang. Nadanya selalu lembut dan terkawal meskipun dalam protes yang sinis. Beliau berusaha melampaui garis kenyataan dengan tenaga imaginasinya serta melihat pelbagai kemungkinan getar peristiwa yang wujud di sebalik benda-benda dan unsur-unsur alam tersebut.

A. Latiff Mohidin juga dianggap sebagai penyair yang melangkau diri daripada pembicaraan masalah politik dan kemasyarakatan dalam pengucapan puisinya. Dalam puisi-puisinya boleh ditemui suara hati seorang pengembara yang mencari erti kehidupan dan yang selalu ingin menyebatikan jiwanya dengan anasir-anasir alam. Di samping membawa tema istimewa, A. Latiff Mohidin juga mempunyai pengucapan yang segar, yang dapat disamakan dengan kesegaran sebuah lukisan, penuh aneka sapuan warna dan tafsiran.

Di sinilah letaknya keistimewaan dan estetik sajak-sajak A. Latiff Mohidin yang akan dibincangkan dalam tulisan yang lain. Penulis juga mendapati diksi penyair ini adalah dari bahasa dan kata-kata biasa yang kemudiannya diolah sepenuh dan sepadat mungkin bagi pengucapan isi jiwa dan fikirannya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:18
Asar 4:44
Maghrib 7:27
Isyak 8:43



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.