saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 09/08/2014

Lubuk maut, jalan puaka

Ada sesiapa dalam kalangan anda yang beraya di Balik Pulau, Pulau Pinang? Ya, ia sebuah kawasan yang berbukit tinggi dan curam serta banyak selekoh tajam. Saya pernah memandu di kawasan itu pada lewat malam dan pesanan saya, berhati-hatilah. Selain keadaan jalan yang agak berbahaya, ada cerita yang perlu anda ketahui.

Cerita ini berlaku kepada seorang pengguna jalan tersebut bernama Roslan Yahya, pada pukul 1.30 pagi, pertengahan tahun 2003. Dinihari itu Roslan memandu keretanya berseorangan menuruni bukit dari pekan Balik Pulau, menuju ke rumahnya di Jalan Sepakat, 12 kilometer dari situ.

Sampai di suatu selekoh, pandangan Roslan menjadi silau akibat terkena suluhan cahaya lampu daripada sebuah kenderaan di belakangnya. Sudahlah diangkat tinggi, cahayanya begitu kuat.

Dia mula naik darah. Manakan tidak, perbuatan pemandu kenderaan tersebut boleh menyebabkannya terbabas ke dalam gaung di kiri dan kanan jalan.

Roslan memperlahankan keretanya. Dia mahu kenderaan tersebut memotongnya dan melihat siapakah pemandu yang kurang ajar itu. Kenderaan itu semakin dekat, dan akhirnya berada betul-betul di sebelahnya. Roslan segera menoleh.

Ia adalah sebuah kereta model lama berwarna hitam dengan bumbung berwarna emas. Lampu di dalam kereta itu terpasang terang. Siapa pemandunya? Apabila diperhatikan, tangan Roslan serta-merta menggigil. Mukanya kalau ditoreh tidak berdarah.

Setelah beberapa saat bersaing, kereta hitam berbumbung emas itu meluncur laju meninggalkannya. Roslan membuka lampu limpah, dia cuba mengejarnya. Tapi kereta itu terlalu laju. Tayarnya seperti tidak mencecah jalan. Roslan berusaha menghambat hinggalah kereta lama itu menghala ke sebatang jalan yang disinari cahaya terang-benderang. Cahaya itu menyuluh tepat ke matanya. Roslan menekan brek sekuat hati sambil mengalihkan pandangan ke sisi kerana suluhan cahaya tersebut menyakitkan matanya.

Sebaik-baik keretanya terhenti, Roslan memandang sekeliling. Cahaya yang tadinya terang benderang sudah tiada, digantikan dengan suasana gelap gelita. Kereta hitam berbumbung emas juga lenyap entah ke mana.

Keluar dari keretanya, Roslan terkejut - keretanya berada betul-betul di bibir gaung! Kalau terlajak dua atau tiga meter lagi, pasti akan terjunam ke bawah dan dia mungkin akan menjadi arwah!

Esoknya Roslan menceritakan apa yang berlaku itu kepada kawan-kawannya. Mereka hanya tertawa kerana kawasan yang diceritakan oleh Roslan itu sejak dahulu lagi dianggap sebagai 'keras.' Ia dinamakan 'Selekoh tiga beradik.'

Banyak kemalangan berlaku di situ dan ramai yang telah terbunuh di dalam gaungnya. Mangsa-mangsa yang selamat mendakwa kemalangan itu berlaku setelah cuba mengelak daripada melanggar jelmaan-jelmaan menakutkan yang muncul secara tiba-tiba di hadapan mereka.

Tentu anda mahu tahu, siapakah yang memandu dan menumpang kereta hitam berbumbung emas yang dilihat oleh Roslan itu? Tidak ada. Ya, kereta itu bergerak sendiri, tanpa pemandu dan penumpang!

Penghuni Jalan Puaka

Penduduk Kedah pula menganggap Jalan Titi Haji Idris, berhampiran Alur Pudak, Pendang, sebagai jalan berhantu. Laluan itu amat ditakuti kerana kemalangan cukup kerap terjadi dan sering memakan korban. Paling ngeri ialah kemalangan yang mengorbankan lima orang guru silat, beberapa tahun lepas.

Para penduduk kampung-kampung sekitar laluan itu percaya, semua ini ada kaitan dengan 'roh' mangsa kemalangan dan makhluk-makhluk misteri yang mendiami kawasan tersebut. Kononnya jelmaan-jelmaan menakutkan itu akan muncul secara tiba-tiba, menyebabkan pemandu terbabas ketika cuba mengelaknya.

Ada juga pemandu yang mendakwa stereng kenderaannya tiba-tiba dipulas dengan kuat oleh 'sesuatu'. Dia bergelut untuk mengawalnya kembali, namun gagal. Kenderaannya terbabas lalu melanggar pokok besar yang terdapat di tepi jalan.

Oleh kerana itu, penduduk kawasan sekitar menggelar jalan berkenaan sebagai 'Lubuk Maut' dan 'Jalan Puaka.'

Api Bukit Mantin

Suatu masa dahulu, jalan lama Yong Peng-Johor Bahru juga dianggap 'keras'. Banyak kemalangan maut berlaku di situ, didakwa angkara makhluk ghaib yang suka mengganggu pemandu kenderaan. Bagaimanapun, cerita-cerita misteri jalan tersebut menagih korban beransur-ansur hilang selepas Lebuh Raya PLUS siap sepenuhnya pada pertengahan 1990-an.

Di Negeri Sembilan, antara yang paling ditakuti ialah jalan lama Bukit Putus. Bukit yang memisahkan antara Seremban dengan Kuala Pilah ini bukan saja dipenuhi hutan dan gaung, tetapi juga selekoh-selekoh tajam yang berbahaya. Suasananya begitu gelap dan menyeramkan, banyak kemalangan berlaku di situ.

Banyak pengguna mendakwa telah melihat makhluk misteri seperti hantu bungkus bergolek di tengah jalan, sekumpulan orang mengusung keranda dengan membawa jamung, jelmaan hitam dipenuhi bulu dan bebola api berterbangan menghadang jalan.

Tetapi selepas jalan baharu yang lebih landai, luas dan lurus siap dibina, jalan lama Bukit Putus sudah jarang digunakan. Kini tiada siapa yang mahu menyerahkan tengkuk mereka di kawasan 'keras' itu, lebih-lebih lagi pada waktu malam. Dengan sendirinya kisah-kisah misteri yang melingkarinya beransur-ansur dilupakan.

Bagaimana pula dengan Bukit Mantin? Kononnya jalan itu juga 'keras', betulkah begitu?

Seorang kenalan, Nasir Yusof, pernah menceritakan kepada saya kejadian aneh yang dialaminya sewaktu menunggang motosikal melalui jalan tersebut pada pukul 12.00 malam, sekitar tahun 2000.

Dinihari itu ketika berada di hujung bukit, dia melihat ada hamparan bara api penuh merintangi jalan. Apabila dilanggar, kedengaran bunyi puntung kayu pecah berderai dan api terpercik ke kiri dan kanan. Bahangnya terasa begitu kuat disertai bau hangit menusuk ke hidungnya.

Awal pagi esoknya Nasir menunggang motosikal ke tempat itu. Namun tiada sebutir habuk mahupun secebis puntung kayu pun ditemuinya.

Bagaimanapun Nasir tidak berasa pelik kerana penduduk sekitar memang cukup maklum, jalan tersebut bukan sembarangan. Banyak pengguna yang telah melihat bebola api terawang-awang di udara serta jelmaan seorang wanita tua mundar-mandir di tepi jalan pada lewat malam.

Ops! Janganlah sekali-kali berasa takut kalau anda melalui jalan-jalan yang saya sebutkan itu pada hari raya ini. Saya telah melalui semua jalan tersebut, termasuk pada lewat malam, tiada apa-apa yang berlaku.

Sebaliknya, jadikanlah kisah-kisah misteri yang entahkan betul entahkan tidak itu sebagai amaran untuk anda lebih berhati-hati. Biasalah… orang Melayu suka pada cerita-cerita begitu.

Jangan risau, saya akan sambung lagi kisah ini pada minggu hadapan. Ada jawapan yang perlu anda ketahui…

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:58
Zohor 1:21
Asar 4:21
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.