saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 17/08/2014

Bertemu Beryl Vergara pada suatu malam

“Saya rela ditiduri kamu." Demikian engkau merayu. Aku lelaki. Antara sifat lelaki dan kemanusiaan, jiwaku berkecamuk. Aku tersepit antara dua pilihan. Menolong, atau membiarkan sahaja engkau sendirian di situ. Mungkin ada hikmah tersembunyi dengan menolong gadis Yahudi, bisik hati kecilku.

Akhirnya, aku memilih menolong.

Engkau memperkenalkan diri sebagai Beryl Vergara. Wajah engkau iras-iras Natalie Portman. Engkau lebih senang dengan falsafah Aristotle. Walaupun dalam atma, engkau berjiwa Yahudi totok. Engkau nampaknya begitu taksub dengan Avicenna dan Averroes. Ada cahaya kepercayaan jelas terpancar dalam mata Yahudi engkau yang bundar.

“Jadi bangsa Yahudi ialah bangsa haiwan, begitu?" Engkau memohon penjelasan setelah aku memberitahu bahawa negaraku tidak ada apa-apa hubungan diplomatik dengan Israel.

Panjang lebar kita berbicara. Panjang lebar juga engkau menceritakan sejarah bangsa Yahudi. Sejarah negara haram Israel. Kini, engkau meminta untuk berbicara tentang Malaysia pula.

“Tidak ada apa-apa yang menarik tentang Malaysia," jawab aku pendek. Namun setelah desakan demi desakan, aku akur. Tambahan engkau banyak bercerita tentang Yahudi.

Kita berjalan-jalan melihat gelagat warga kota. Udara menjentik-jentik tulang rawan. Aku mengajak engkau ke Starbucks untuk sesi memanaskan kerongkong. Walaupun engkau bersungguh-sungguh mengajak aku pulang ke hotel untuk lebih panas. Sudah tentu kopi menjadi pilihan ketika udara sejuk di bawah -2 darjah celcius menggigit-gigit tulang rawan. Barangkali kulit engkau yang pejal menjadi benteng dan engkau tidak sejuk amat seperti aku. Kita berdua terus hanyut dalam dakapan London yang tidak berkesudahan.

Engkau menghulur Heineken.

“Saya tak minum," aku menolak lembut.

Ada ramai pelancong asing sedang menikmati suasana malam yang sangat sejuk. Kota London malam itu menjadi milik kita. Dan milik siapa sahaja yang faham hakikat sebuah kehidupan. Mereka yang tewas dalam zulmat malam ialah adiwira yang perlu diagung-agungkan, kata engkau.

“Jadi kamu Melayu. Lahir di bumi Malaysia. Begitu?" Engkau pula bertanya.

Lama selepas itu baharulah aku menjawab. Pertanyaan yang agak terlewat aku rasakan. Sepatutnya engkau perlu bertanya kepadaku seawal pertemuan kita.

Sesekali aku memerhati rambutmu yang mengurai lurus. Cantik. Oh, kalaulah engkau Melayu, fikirku dalam hati. Ringkasnya aku menjawab ya. Tetapi tidak pula bertanya timbal balik kerana aku telah sedia maklum bahawa engkau adalah kacukan Jerman - Belanda. Engkau sangat seksi malam itu. Mata lelakiku hanya mampu berkelip-kelip melihat paha engkau yang gebu.

“Di negaramu, kenapa mesti 1Malaysia? Selama ini wujudkah 2Malaysia, 3Malaysia atau 4Malaysia?" Omel engkau. Engkau yang masih mabuk tiba-tiba muntah. Aku memapah engkau ke bangku berhampiran. Aku tidak mampu membangkang pertanyaan sukar itu. Ya, memang sukar untuk aku memberi penjelasan teliti. Terutama dalam keadaan engkau yang mabuk begitu.

Selepas agak lama terdiam aku mula bersuara.

“Aku sepohon padi di celah-celah kehijauan padi yang luas. Dalam bendang yang sama. Sebuah bendang bernama Malaysia. Ya, secara relatifnya begitulah. Sepohon padi, hidup dalam sebendang padi, bergaul bersama baka-baka padi berbeza. Padi malinja, padi huma, dan segala macam padi lagi. Dan ya, bendang ini milik bersama." Aku mengulas ringkas namun sedikit berfalsafah. Sesuai dengan engkau yang minat dengan Aristotle.

Aku sedar yang dia tahu bahawa Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum.

Udara kota London terus berdesing. Sedari tadi, udara tetap begitu. Sejuk menggigit-gigit. Namun mujurlah, keadaan yang sejuk amat menjadikan mataku masih segar.

Memang, perjalanan 13 jam dengan pesawat MAS memang melelahkan. Mujurlah pesawat MH002 selamat mendarat di bumi London. Dari atas udara, House of Parliament dan London Tower begitu memukau. Aku datang ke London bukanlah untuk suka-suka. Sebaliknya atas urusan bisnes. Di Malaysia, aku memang terkenal sebagai tokoh usahawan muda yang berjaya.

Oh ya, perlu aku tegaskan bahawa aku bukan kaki perempuan. Niatku menolong dia ikhlas, ujarku kepada dia selepas itu.

Malam di kota London terus bingit dengan pekat malam. Mujurlah lampu-lampu malam tetap setia menerangi. Kota London sentiasa hidup saban masa. Sementara itu, aku berbicara pula tentang tanah jajahan. Riak wajah engkau seakan-akan tidak berpuas hati.

Botol Heinneken dibuang. Mabuk engkau semakin kurang.

“Engkau salahkan aku, bangsa asing seperti aku?" Engkau menyampuk.

Mata kita bertembung. Sedang gamat kota London yang bingit langsung tidak dihiraukan.

“Jadi engkau mahu tahulah tentang 1Malaysia?" Aku bertanya kembali.

“Baik, aku membuat keputusan untuk menyokong fomulasi 1Malaysia. Tapi dengan bersyarat! Secara ringkasnya beginilah. Mana-mana pemimpin negara, sebaik-baik sahaja diangkat menjadi orang nombor satu negara, dia akan cuba membuat dasar baharu, dasar yang akan membuat dirinya diingati. Malah formulasi yang akan menjadikan kedudukannya lebih terjamin. Kamu, kalau menjadi ketua negara pun begitu juga. Mesti wahanakan sesuatu yang makro. Sesuatu yang unik." Kata aku.

“Hahaha kamu menyokong konsep 1Malaysia?" Engkau ketawa manja. Seolah-olah aku yang tewas. Sedari tadi aku sudah dapat meneka api ingin tahu yang cuba engkau nyalakan.

“Ya, aku membuat keputusan untuk menyokong 1Malaysia, walaupun aku yakin idea ini bukan janaan PM sendiri." Aku menambah.

Pada asasnya, tidak semua dasar pemimpin kerajaan atau pembangkang memenuhi selera aku. Ada yang wajar, ada yang tidak wajar. Ini soal konsepsi.

Biarlah rakyat yang membuat keputusan. Tambahan, Malaysia ialah sebuah negara demokratik.

Namun aku sentiasa yakin, hanya perpaduan serta toleransi agama dan kaum akan menjadikan Malaysia kuat.

Engkau memegang bahu aku. Engkau mengajak aku terus berjalan.

Engkau mengajak aku berehat di Hyde Parks, sebuah taman cantik yang dihiasi padang hijau, tasik serta deretan pokok maple. Engkau dan aku sendiri terpegun dengan keindahan Kota London yang masih mengekalkan kehijauan walaupun terus menapak maju. Sesekali datang ke London, engkau sering memilih Kensington Garden, Shoreditch Park atau Regent’s Park sebagai destinasi wisata.

Aku pula sentiasa memilih Oxford Street. Aku cukup terkesan dengan deretan pusat beli-belah terkemuka seperti Primark, Debenhams dan Selfridges. Aku cakap aku peminat barangan Bally dan Norwich.

“Maksudmu, jika sebelum ini kebanyakan pemimpin menggunakan prinsip virtual, rasuah didahulukan kedudukan diutamakan. Atau duit didahulukan kroni diutamakan. Biarlah motto rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan dilestarikan oleh kabinet Datuk Seri Najib, begitu?" Engkau menyampuk.

Itulah antara lontaran pertanyaan sebaik-baik aku menceritakan tentang gagasan 1Malaysia.

Memang betul aku sengaja menggunakan istilah virtual kerana benda ini berlaku dalam senyap. Secara tersembunyi. Aku sendiri sebenarnya sudah jelik membaca paparan berita di dada akbar. Terutama kes-kes rasuah, seks, bunuh dan lain-lain yang melibatkan VVIP. Atau pemimpin utama.

Semua berita ini sedikit sebanyak mencalitkan kepercayaan rakyat.

Aku memang sentiasa dahagakan Malaysia yang aman harmoni, ekonomi yang stabil, serta masyarakatnya yang penyayang. Kaum Melayu, India, Cina dan lain-lain yang saling hormat-menghormati. Ini teladan yang terbaik. Inilah resipi yang terbaik.

Memanglah, walaupun aku bukan penyokong tegar Datuk Seri Najib, biarlah aku positif dalam hal ini. Sesiapa sahaja, dan ya, termasuk aku sudah tentu mengimpikan sebuah masyarakat yang adil dan saksama, telus dan bijaksana. Paling penting sebuah kerajaan yang sentiasa menjaga kepentingan rakyat.

Namun, konsep kesamarataan sedikit sebanyak merisaukan aku. Konsep asimilasi misalnya, sudah tentu akan meranapkan budaya asal kaum Melayu. Namun mujurlah kita diyakinkan bahawa asimilasi dalam konteks 1Malaysia tidak akan menghilangkan entiti dan identiti asal. Terutama kaum Melayu yang ditakrif sebagai penduduk asal Tanah Melayu.

“Engkau tahu, aku ada membaca yang orang Melayu bukan penduduk asal kepulauan Melayu. Penduduk asal tanah Melayu ialah kaum asli dari suku Negrito, Senoi dan Melayu Asli. Orang Melayu pun penumpang macam orang Cina dan India. Tahu?" Kali ini engkau memilih untuk bersuara.

Aku nampak mata engkau merah. Aku cakap, bertenang-bertenang. Kemudian aku menyambung begini:

“Memang, antara Melayu, Cina dan India, siapa yang wujud dahulu di sini?" Kata aku. Engkau diam. Kemudian aku menyambung lagi. “Orang India datang ke Tanah Melayu lebih kurang 2000 tahun lampau dengan tujuan perdagangan di Melaka. Orang Cina pun datang untuk berdagang terutama semasa era Dinasti Sung dan Dinasti Ming. Selepas itu, ramai orang Cina dan orang India bermigrasi ke tanah Melayu untuk tujuan ekonomi." Aku memberi penerangan.

Kita meneruskan perjalanan ke Royal Albert Hall. Sebuah lokasi yang menjadi medan persembahan artis terkemuka dunia. Teknologi yang diguna pakai di dewan ini sungguh mempesona. Sehingga ada yang memberitahu jika sebatang jarum jatuh ke lantai pun boleh didengari oleh semua orang.

Engkau memandang wajah aku. Semacam tidak mahu berdebat lagi. Seolah-olah mahu cepat-cepat pulang ke hotel melunaskan janji-janji di awal pertemuan kita. Engkau seolah-olah terhutang budi dengan aku.

“Kamu menang!" Mungkin itu jawapan kembali yang bermain-main di fikiran engkau. Bukan, bukanlah bermaksud aku mahu memenangkan diri sendiri. Itu bukanlah bermaksud aku seorang yang etnosentrisme. Sentiasa menganggap bahawa kumpulannya yang terbaik. Aku cuma bercakap apa yang aku rasakan betul.

“Aku kurang jelas," engkau sedikit ragu-ragu.

Kemudian aku ulang kembali, yang aku bukanlah pengamal etnosentrisme. Cuma satu, ya, apabila ada orang lain cuba mencubit-cubit dan mengoyak Perkara 152 yang menyentuh hak dan keistimewaan orang Melayu, aku bengang amat. Begitu juga apabila ada yang wewenang cuba mengganggu-gugat Perkara 152 yang jelas memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Aku juga berang amat apabila ada yang mempersoalkan hak dan keistimewaan orang Melayu. Cuba mempertikai kontrak sosial misalnya.

“Tapi kenapa di negaramu orang lebih mengagung-agungkan bahasa Inggeris. Lihat orang Yahudi seperti kami. Kami menggunakan bahasa Ibrani yang dituturkan oleh tujuh juta orang di seluruh dunia. Sebab itu bangsa kami maju. Tidak seperti orang Melayu sepertimu. Orang Melayu bodoh!" Engkau menempelak, kemudian ketawa ha ha ha.

“Ha ha ha, kita seri. Orang Melayu bodoh. Manakala Yahudi pula bangsa buangan. Jangan marah!" Engkau ketawa lagi.

Kita ketawa sama-sama.

Memang, aku sendiri hairan akan mengapa orang Melayu lebih mementingkan bahasa Inggeris. Sedangkan bahasa Ibrani begitu meluas digunakan di Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Tebing Barat. Aku juga tidak berpuas hati dengan pertukaran istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Daripada cakap-cakap orang, apa yang aku dengar, kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit, malah mungkin berbilion semata-mata untuk mengubah tajuk buku teks daripada bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Ah!

“Betul. Aku juga pelik. Tidak bolehkah kekalkan istilah bahasa Melayu? Apa salahnya? Apa yang merisaukan aku, sedikit masa lagi akan wujudlah semua istilah ‘Malaysia’. Bangsa Malaysia sudah ada, bahasa Malaysia sudah ada. Selepas ini apa lagi entahlah." Jawabku.

Engkau masih ketawa.

Sementera itu aku terus berbicara. Kali ini aku bercakap langsung tentang Key Performance Index (KPI) dalam konteks 1Malaysia akan sentiasa dipantau. Dalam pada itu, sedar tidak sedar kita sudah berada di London Tower yang terletak di Sungai Thames. Kita ke London Bridge yang terletak lebih kurang 250 meter dari London Tower.

“Lihat, bentuk menara macam angka 1. Hahaha," engkau sedikit bergurau.

Kata aku, dalam konteks 1Malaysia, terdapat pelbagai kaedah yang akan diguna pakai untuk menerapkan idealisme ini dalam jiwa masyarakat. Antaranya ialah menerapkan lapan nilai iaitu ketabahan, penerimaan, pendidikan, integriti, meritokrasi, rendah hati, kesetiaan dan budaya kecemerlangan. Begitu yakin aku bercerita seolah-olah ahli politik. Engkau seakan-akan tidak percaya apabila sekali lagi aku tegaskan bahawa aku ialah usahawan, bukan tokoh politik.

“Hei, konsep One Israel sudah lama kami terapkan. Kamu penciplak!" Kata engkau.

Sekali lagi aku terdiam. Kali ini aku pula yang memilih merenung puncak menara.

“Sudah lama kami ada konsep ini!" Engkau menyambung.

Aku. Biarlah, apa yang baik aku sokong. Aku tidak condong kepada mana-mana politik kepartian. Dan ya, aku belum pernah mengundi. Sekarang aku masih dalam fasa pemerhatian. Lagipun, aku seorang usahawan muda. Bukan ahli politik!

“Ha ha ha. Pandai kamu bercakap. Sedang kamu, Yahudi. Bangsa pembunuh. Pandai pula bercakap-cakap tentang negara bangsa. Ha ha ha." Kata aku sinis.

“Ya, akan aku buktikan bahawa aku betul-betul pembunuh. Kalau begitu, kita balik ke hotel sekarang. Aku akan tunjukkan bagaimana aku ‘bunuh’ kamu." Engkau sekali lagi tidak sabar-sabar untuk balik ke bilik. “Hei, tidak semua orang Yahudi jahatlah. Ada juga yang berjiwa manusia macam aku." Engkau kembali membetulkan tohmahan yang aku lemparkan.

Kita segera pulang ke hotel.

Engkau mandi dahulu. Kemudian aku pula yang mandi. Malam itu kita memang tidur bersama-sama. Engkau telah langsaikan janji-janji tadi. Dan aku lihat sendiri bagaimana engkau ‘bunuh’ aku. Kita sama-sama tertidur kerana kepenatan. Pagi itu ketika bangun tidur, aku masih keletihan. Aku menenyeh-nenyehkan mata, mencari engkau di sisi. Tapi engkau sudah tidak ada lagi di sisi. Aku tidak pasti malam itu betul-betul berlaku atau aku hanya bermimpi.

Tapi yang pasti aku bukan di dalam bilik hotel, tapi di sebuah kerusi panjang di kaki London Tower.

“Saya rela ditiduri kamu." Kata-kata gadis Yahudi yang bernama Beryl Vergara kembali terngiang-ngiang di telingaku. Sekali lagi aku masih ragu-ragu sama ada semalam itu betul-betul atau hanya mimpi. Tapi jauh disudut hati, mujurlah aku tidak tidur atau bersatu dengan Beryl Vergara. Kalau ia berlaku, sudah pasti menjadi 1Melayu 1Yahudi.

Aku cepat-cepat mengambil teksi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.