saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 24/08/2014

Jambatan muhibah Rusia - Malaysia

Penerbitan buku Malaysia: Buku Rujukan Ringkas merupakan peristiwa besar dalam hubungan diplomatik Malaysia-Rusia yang semakin akrab, apalagi selepas lawatan Presiden Rusia, Putin ke Kuala Lumpur. Penerbitan Klyuch-C ini merupakan suatu usaha berani dan terpuji. Ini satu usaha untuk menyebarkan ilmu pengetahuan tentang Malaysia di Rusia. Bukanlah keterlaluan kalau dikatakan: Sekiranya lebih ramai orang Rusia mahu melawat Malaysia selepas ini, maka buku ini antara salah satu pendorong mereka.

Kelebihan buku ini kerana ia disusun dengan sangat menarik untuk semua khalayak, sama ada untuk mahasiswa yang mempelajari dunia Melayu, ataupun untuk masyarakat biasa yang ingin tahu lebih banyak tentang Malaysia.

Beberapa babnya tentang realiti budaya dan kehidupan moden masyarakat Malaysia. Dalam aspek pengetahuan pula, misalnya bab Sejarah hubungan dua hala di mana dipetik kata-kata seorang pegawai laut Rusia iaitu Butakov yang melawat Pulau Pinang pada tahun 1842. Pengembara Rusia itu cuba memahami kehidupan orang Melayu, mengerti sikap mereka terhadap alam sekeliling. Apabila hendak membandingkan orang Melayu dengan bangsa lain, Butakov telah memberikan keutamaan kepada orang Melayu: "Orang Melayu mempunyai ciri-ciri yang mulia, - katanya, - mereka jujur, selalu menepati janjinya."

Dia sangat menyukai bahasa Melayu yang bunyi pertuturan mengikut Butakov, sangat mirip kepada bahasa Itali. Apabila berpeluang untuk bercakap dengan orang Melayu, dia cuba menceritakan kepada masyarakat di sini tentang tanah airnya. Ketika itu, pengetahuan orang Melayu tentang Rusia sangat kurang.

Nescaya, orang Rusia yang akan melawat atau melancong ke Malaysia akan bertambah. Ada banyak gambaran yang sangat mengagumi alam setempat dan keindahan bandar Melaka umpamanya. Dengan minat mendalam mereka menceritakan tentang kemahiran tukang besi Melayu dalam penempaan keris. "Senjata orang Melayu pada amnya dan keris sangat original daripada segi bentuk dan kemahirannya," begitu kata pengembara Rusia itu.

Seorang pelaut Rusia terkenal, I.F. Kruzenstern (1770-1846) dalam salah satu pelayarannya di Lautan Pasifik telah melawat Malaya pada tahun 1798 dan sempat membawa pulang sebuah karya sastera Melayu yakni salinan naskhah Sejarah Melayu yang ditulis pada masa zaman gemilang Kesultananan Melaka. Di Rusia beliau menyerahkan naskhah itu kepada ahli Akademi Sains H.D. Fren, yang telah menyerahkan kepada Muzium Asia. Pada naskhah itu terdapat tulisan tangan Fren yang mencatatkan bahawa Kruzenstern telah mendapat izin daripada 'kakitangan kerajaan' untuk membuat salinan naskhah tersebut yang dinilai tinggi. Dan baru-baru ini naskhah itu diterbitkan dengan terjemahannya ke dalam bahasa Rusia oleh sarjana Rusia , Ekena Revunenkova.

Ternyata pada kurun ke-18 terjadi peristiwa menarik lagi: atas perintah Ratu Catherine Agung sebuah kamus komparatif daripada 180 bahasa dan loghat termasuk bahasa Melayu telah diterbitkan.

Pengaruh sastera Melayu terhadap sastera Rusia mula kelihatan pada perbatasan kurun ke-19 hingga ke-20 bila karya yang mengambil gaya dan bentuk puisi Melayu, khususnya pantun diciptakan oleh penyair Rusia Valery Bryusov (1873 - 1924), Adelina Adalis (1900-1969), dan Nikolay Gumilev (1986-1921). Dalam karya "Lagu-lagu Melayu" misalnya yang diciptakan oleh Bryusov pada tahun 1909 dengan mudah dapat dikenali tentang lambang-lambang berkaitan pulau-pulau Melayu: keharuman bunga cempaka "yang diserapi oleh angin," pokok beringin, pisang, pandan, kelapa, sawah, harimau di belukar rimba, ombak putih di pantai laut.

Antara karya ilmiah, terdapat sebuah buku ahli geografi dan pengembara M. Venyukov "Catatan tentang keadaan kini wilayah jajahan British di Asia" yang diterbitkan pada tahun 1875. Penulis telah menganalisis pentadbiran Inggeris di wilayah jajahannya dan cara eksploitasi jajahan. Manakala penulis Rusia, A. Fyodorov yang melakukan perjalanan mengelilingi dunia pada tahun 1903 dengan rasa seram mencatatkan dalam diari: "Kami dengan mata kepala sendiri menyaksikan bagaimana seorang Eropah yang "berperadaban tinggi" itu mencampakkan puntung rokoknya pada belakang telanjang seorang penarik beca".

Dalam buku ini, diceritakan juga tentang lawatan saintis Rusia N.N. Miklukho-Makay (1846 - 1888) ke Semenanjung Melayu pada tahun 1874-1875 dan tentang kehidupannya di Johor Bahru. Dia disambut mesra oleh Sultan Abu Bakar sendiri. Apa yang menarik, Sultan Abu Bakar cepat mengerti erti matlamat ilmiah saintis itu dan memberi pertolongannya: menulis beberapa surat rekomendasi dan membantu menyelenggarakan ekspedisi. Selama berada di Johor saintis Rusia itu diberi kemudahan tempat tinggal di salah satu istana diraja. Tetapi dia tidak boleh tinggal lama di istana itu. Dia harus menyelidiki seberapa banyak suku dan bangsa yang boleh. Dia pernah berjalan kaki, naik gajah, mengharungi sungai dan naik perahu. Dia mengharungi air banjir sehingga ke paras pinggang di musim banjir. Tetapi apabila dia sampai di kampung Melayu, dia senantisa menerima sikap ramah-tamah penduduknya. Dan itu memberi hasil besar pada kajiannya: dia sempat mengumpulkan banyak data antropologi dan etnografi tentang banyak suku dan Orang Asli Semenanjung.

Pada tahun 1890 di Singapura pejabat konsul Rusia telah dibuka. Tujuan untuk menguruskan masalah berhubungan dengan persinggahan kapal-kapal Rusia (pada tahun 1900 terdapat lebih 40 kapal): di sinilah kapal-kapal itu diisi bahan bakar untuk meneruskan perjalanan dari Baltik ke Lautan Pasifik. Dengan penubuhan konsulat Rusia itu, peluang memperoleh maklumat yang lebih terperinci tentang keadaan di Malaya semakin mudah. Sangat menarik apabila pada akhir tahun 1903 Sultan Johor Ibrahim Shah menyatakan niat untuk melawat Rusia selama kunjungannya ke Eropah (kiranya sebagai pengimbang kepada dasar British). Kementerian Luar Rusia menyetujui lawatan tersebut, tetapi sayangnya di arkib Rusia tidak ada maklumat tentang keberadaan Sultan Johor di Rusia: mungkin lawatan tersebut terhalang oleh Revolusi Rusia 1905-1907.

Konsul Jeneral Rusia A.M. Vivodtsev beberapa kali mengajukan keperluan melebarkan kawasan perdagangan dengan Malaya dengan menekankan bahawa di sini boleh diborong kelapa, timah, nanas, lada hitam dan pelbagai keperluan lain.

Seorang warga Rusia, Maligin yang namanya diperolehi daripada arkib dengan usaha seorang sejarawan Rusia E.I.Gnevusheva (1916 - 1994). Pada tahun 1892, Maligin tiba melalui Singapura. Dia mulanya ke Pulau Lombok di Indonesia dan menjadi penasihat raja. Pada tahun 1894 dia memimpin perjuangan anti-Belanda di pulau itu. Pemberontakan itu tumpas dan Maligin ditawan. Pada tahun 1896 dia dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara tetapi pada tahun 1898 diampuni dan diserahkan kepada Rusia. Pada tahun 1901 dia tiba di Singapura dengan menjadi pelaut kapal Rusia, Odessa. Dan kemudian ikut serta dalam peperangan Kelantan melawan Siam. Di Kelantanlah jejaknya hilang, dan tidak ketahuan akan nasibnya.

Selama Perang Dunia Pertama, Rusia mengambil bahagian dalam pertempuran di negara ini. Di perkuburan Bandar "Jalan Barat", Georgetown, Pulau Pinang para pelaut dari kapal penjelajah Rusia Zhemchug (Mutiara) telah dimakamkan, di mana kapal mereka ditenggelamkan Jerman pada bulan Oktober 1914. Pada tahun 1975 di atas pusara itu sebuah tugu didirikan. Padahal pada bulan Februari tahun 1915, Rusia sebagai sekutu Inggeris telah ikut serta untuk menumpaskan pemberontakan kesatuan tentera India di Singapura. Sebuah kapal Rusia, Oryol (Helang) ikut serta dengan komando Rusia (40 orang kelasi dan tiga orang pegawai) menduduki posisi di bahagian utara pulau itu. Pertempuran pasukan komando dengan para pemberontak terjadi pada 25 Februari, yang mencederakan dua orang kelasi Rusia.

Pada tahun 1912 pula, Melaka telah dikunjungi oleh ahli zoologi Rusia, I.I. Puzanov yang membawa pulang banyak bahan yang menarik yang diserahkannya sebagai hadiah kepada Muzium Antropologi Universiti Moscow.

Malaysia: Buku Rujukan Ringkas ini merupakan rujukan yang sangat penting kepada pembaca Rusia. Mereka akan mengetahui tentang pencapaian Malaysia dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi, perkembangan kesusasteraan, perfileman, seni lukis, muzik, seni bina, tarian dan teater. Keutamaan diberikan kepada bidang budaya dan sastera memang wajar.

Pujian yang tinggi untuk Dr. Victor Pogadaev yang telah menulis dan menerbitkan buku ini di Rusia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:58
Zohor 1:21
Asar 4:21
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.