saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 21/09/2014

Tujuh ekor hantu

SATU

Pukul 7 malam awak berlari-lari ke depan TV, sampaikan ibu awak pun awak nak langgar sebab nak sangat tengok drama bersiri Sayang Awak Lelaki Sombong Tak Ada Hati Perut. Takut terlepas, takut tak dapat tengok daripada mula-mula sampai habis. Maghrib pukul 6:55 petang, tapi awak tak sembahyang lagi. Sebab bila sembahyang, nanti terlepas permulaan cerita, rugi. Bila mamat dalam TV itu ketawa-ketawa dan main kejar-kejar dengan bini dia, awak pun ketawa juga, terkekeh-kekeh lebih daripada kera kena belacan. Macam beruk kena tempoyak, serupa monyet kena simbah budu. Awak minat sangat dengan heronya Ajli Kari yang kacak tampan segak menawan. Fotonya awak gunting daripada surat khabar dan majalah. Awak tampal penuh di dinding bilik. Sampai di siling pun awak tampal. Sebab nanti nak tidur senang, awak akan tenung puas-puas gambar hero kesayangan awak itu hingga terlena.

Petang semalam awak baru saja pergi kedai buku hanya kerana nak beli novel Sayang Awak Lelaki Sombong Tak Ada Hati Perut karya Esah Sepiah. Kerana awak tahu daripada novel itulah cerita yang awak tengok ini diambil. Awak sudah baca pun. Sudah khatam tiga kali pun. Ketika tengah asyik baca novel siang tadi, ibu tegur pun awak marah-marah. Awak kata ganggu kosentrasi, kacau. Ibu suruh sembahyang awak tak endah, ibu suruh pergi membeli pun awak buat tak kisah.

DUA

Dulu waktu drama bersiri Minah Kampung siar di TV, awak tengok juga. Awak menangis-nangis dan terguling-guling depan TV juga. Minah Kampung itu asalnya daripada novel juga, yang sudah pun awak khatam tiga empat kali. Awak rasa bangga sangat sebab awak termasuk dalam salah seorang yang awal pergi beli novel itu di kedai buku. Tak pernah-pernah pula awak pijak kaki di kedai buku kalau tidak kerana nak beli novel-novel yang diadaptasi ke drama TV itu. Rasa bangga pula dapat kelek buku tebal tiga empat ratus muka surat bila lalu depan orang ramai waktu berjalan di tengah-tengah bandar. Biar orang tahu bahawa awak ini jenis yang suka membaca. Baca novel mengarut pun tak apalah asalkan membaca, kata awak.

Kemudian TV siar cerita Suamimu Suamiku Jua, kisah wanita bermadu yang suaminya kahwin lebih dari satu. Kisah suami yang lari tak cukup tanah dikejar isteri. Kisah isteri yang kejar suami dengan golok kelewang belakang parang. Kisah isteri baling mangkuk pinggan kepada suami hanya kerana suami kahwin lagi. Awak kata; awak suka tengok suaminya kena marah, kena herdik, kena tengking, kena sepak-sepak dengan bini macam bola. “Isterilah sebenarnya yang berkuasa penuh mengawal suami," kata awak meniru gaya pengacara kegemaran awak Joyah Becok dan Minah Celopar.

TIGA

Awak memang sudah lama mengaku Islam, namun yang awak hafal bukannya Quran atau hadis tetapi kisah dalam kain segala artis. Zink Atap dengan bininya Che Tu sebar gambar seksi dan ghairah di atas katil pun awak suka bukan main. Parit Tali Air dengan bininya Dayana Daniyale berkongsi gambar dalam bilik tidur dengan peminat pun awak teruja tak tahu nak cakap. Bila Iro Pajero bercerai dengan suaminya Tengko Rang, awak menangis-nangis. Macam awak pulak yang bercerai.

Waktu pengarah Mat Dahan Pokok buat cerita Samseng Taiko Cheng, sebuah filem yang diarahkan bersama seorang pengarah muda yang tidak asing lagi, Mat Ranting Kayu - awaklah antara orang yang awal sampai ke sesi tayangan perdana filem itu yang diadakan di sebuah pusat beli-belah terkenal di bandar. Awak suka sangat dengan jawapan Mat Ranting Kayu dalam sesi wacana filem tersebut selepas habis tayangan, “Saya ikut kehendak penonton filem hari ini yang kebanyakannya remaja dan orang muda, mereka suka filem dan cerita yang macam ini. Apa saya boleh buat. Saya pun kena fikir untung rugi sebagai pembikin filem."

Rancangan Melodah di TV6 yang dihoskan pengacara terkenal Ka Hek Tui ialah program hiburan yang awak tak pernah lupa tonton, siaran setiap tengah hari Jumaat daripada jam 12 sampai 1. Bahagian yang paling awak suka ialah slot ‘Mengumpat Berdosa, Fitnah Masuk Neraka’ dengan tag line ‘Ludah ke Langit Kena Batang Hidung Sendiri, Padan Muka!’ Bila ibu marahkan awak kerana asyik tengok TV6 saja siang malam, ibu akan panggil TV6 itu sebagai TV6 Jahanam. Awak protes dengan teguran dan sindiran ibu. Awak tak bercakap dengan ibu tiga hari tiga malam. Awak buat perangai hantu. Walaupun sebenarnya ibulah yang sepatutnya yang naik hantu dengan perangai awak. Sebab awak degil yang amat, keras kepala lebih macam hantu polong jembalang tanah.

EMPAT

Drama yang diimport dari Negarasia memang awak minat sangat. Ceritanya penuh dengan pari-pari, orang bunian dan puteri kayangan. Dramanya beratus-ratus episod. Asyik mengulang-ulang yang sama saja babak dan ceritanya. Berlari, bertempik, terjatuh dan terkejut pun sengaja ditunjukkan dengan aksi perlahan untuk memanjang-manjangkan cerita dan melambat-lambatkan drama. Telemovie yang disiarkan dipenuhi pula dengan kisah-kisah dongeng dan khayalan seperti putera katak, patung boleh bercakap, kuda ajaib, tangkal hikmat dan macam-macam lagi. Cerita-cerita macam itulah yang awak minat, yang mengkhayalkan awak daripada pagi sampai ke malam. Makin canggih dan maju dunia hari ini, makin bodoh dan dungu cerita di dalam TV.

Pontianak Busuk Kohong arahan sutradara terkenal Semi Bokbong juga pernah masuk dalam senarai cerita kegemaran awak. Awak suka tidak terkira dengan lakonan heroinnya Mayang Karan. Awak tak boleh lupa aksi Mayang Karan dengan mata merah menyala melompat dari pokok ke pokok, terbang melayang di udara mencari mangsa untuk menghisap darah. Drama waktu asar yang tengah popular sekarang iaitu Suamiku Ostad, Isteriku Ustajah ialah antara drama kesukaan awak yang tidak pernah lepas awak tonton dari episod satu sampailah kini sudah masuk episod sebelas. Awak ingat setiap babak-babaknya, awak hafal setiap jalan ceritanya dan awak tak boleh lupa setiap adegan-adegan romantisnya.

Itu filem dan cerita, kalau muzik dan lagu pun sama juga - awak tahu semua. Awak minat belaka. Just Tin Gusi dan Baldi Gagal - dua orang artis antarabangsa yang awak selalu gunting dan kerat gambarnya daripada surat khabar dan majalah. Baldi Gagal - penghibur wanita mat saleh berfesyen telanjang yang begitu popular dengan lagu mengarutnya, Perkasihan Buruk dan Just Tin Gusi - penyanyi orang putih yang masih berhingus yang terkenal dengan lagu mengada-ngadanya Antara Bibir dan Gusi. Kalau di negara sendiri, awak kata awak suka lagenda rock, yang sentiasa diingat-ingat dengan lagu berhantunya - Cinta Kekal, yang menjadi siulan anak muda berdekad-dekad lama. Lagu itu memang lirik dan melodinya awak hafal semua. Di mana berhantunya lagu itu pun awak tahu.

Awak telah disuntik dengan dadah hiburan yang mengkhayalkan, dengan lirik-lirik lagu yang hebat tentang cinta abadi, cinta sejati, cinta sampai ke mati dan macam-macam lagi. Awak telah dikhayalkan dengan lirik-lirik lagu bohong dan dilalaikan dengan cerita-cerita bodoh di dalam TV setiap hari sampailah nanti awak masuk kubur.

TV di dalam rumah awak menjadi Tuhan, peti tak bernyawa yang awak puja-puja. Di dalamnya hanya ada hiburan, menari, berjoget, menyanyi dan ketawa. Penyanyinya menyanyikan lagu cinta yang hebat-hebat, liriknya dahsyat - lautan api sanggup kurenangi, gunung tinggi sanggup kudaki; tapi artis itu sendiri kahwin seminggu bercerai, kahwin sebulan sudah tak duduk sebumbung, kahwin setahun sudah mengungkit segala mak nenek perihal waktu hidup bersama dulu. Awak itu bukannya pandai menyanyi pun, yang awak tahu cuma lagu Syampu di Bilik Mandi nyanyian Abraham Don dalam filem Jeneral Doraemon itu sajalah. Itu pun awak menyanyi dalam bilik mandi waktu ibu tak ada di rumah.

LIMA

Kalau malam-malam lepas Isyak bukannya awak nak duduk mengaji walaupun awak itu huruf alif sebesar batang kelapa pun tak kenal - tapi macam biasalah, awak akan buka siaran As-Straw tengok saluran Poyo. Rancangan apa lagi kalau bukan rancangan Lawak Bodoh, Lawak Bodoh Tahap Dewa dan Mahadewa Lawak Bodoh. Awak peminat setia kumpulan Sepatu dan Selipar Jepun, kumpulan Cikeboncit dan juga kumpulan Babay Berambus. Boleh kata semualah awak minat, sampaikan pengacara kepoh dan kecohnya Si Majal pun awak tergila-gila. Paling awak suka kumpulan Cikeboncit yang dianggotai oleh dua orang pelawak terkenal tanah air iaitu Hantu Gigi dan Boncit Sebung-sebung. Kalau boleh tengok kumpulan Cikeboncit buat lawak, awak memang ketawa sampai tak ingat dunia macam kena rasuk hantu raya. Dua orang pelawak solo yang sertai rancangan Lawak Bodoh itu pun awak minat - Babil Keras Pedal dan Acar Timun.

Semua rancangan yang paksa orang ketawa di dalam TV itu awak minat. Segala rancangan terloncat-loncat dan melompat-lompat awak suka yang amat. Sebab itulah perangai awak pun sudah macam orang sewel, asyik nak ketawa saja kerjanya. Macamlah tak ada kerja lain atas dunia ini selain ketawa. Padahal banyak lagi kerja lain yang nak kena buat, ketawa cuma sebahagian kecil saja daripada hidup ini. Tapi awak asyik ketawa saja siang malam mengalahkan pontianak mak lampir langsuir hantu raya.

Hantu sendiri pun tak adalah hantu macam awak sebab kepala awak sudah penuh dengan cerita hantu, daripada cerita hantu bodoh sampailah kepada cerita hantu yang langsung tak menakutkan pun awak tonton semua - Hantu Mak Lampir, Jerangkung Dalam Almari, Jin Aprit Dalam Botol Sos, Pontianak Gua Tempurung, Hantu Minah Rempit dan macam-macam lagi.

ENAM

Ketika keluar filem Tangkal arahan pertama Ella Suriana, awak tergedik-gedik minta dengan ibu nak keluar ke bandar nak tengok filem itu. Awak memang tahu sangat dan ingat benar bahawa hari pertama filem keluar di panggung ialah hari Khamis. Sebab itu memang kerja awak, menghafal judul-judul filem yang akan keluar di panggung setiap bulan. Filem-filem baru yang telah diiklankan dalam tv semua awak hafal judulnya. Hari Khamis itu juga ada sebuah lagi filem baru keluar yang awak nampak ala-ala ustaz begitu, yang awak tak suka, awak tak minat. Kalau tidak silap awak judulnya Syeikh, Anta Nanti Ana Sampai! lakonan Ustaz Azir Idris, pendakwah Youtube yang sangat terkenal itu. Filem terbabit hanya mengambil kesempatan atas kepopularan pendakwah tersebut saja, tapi iklannya macamlah Ustaz Azir Idris itu pelakon utama.

Rumah awak dari bandar bukannya dekat, adalah dalam dua jam setengah juga kalau naik bas. Naik kereta api lagilah lambat, dalam tiga jam. Tapi awak tetap nak pergi juga hanya kerana nak jadi antara orang terawal menonton filem Tangkal yang dikatakan sebagai filem hantu yang paling menakutkan yang pernah diarahkan di Malaysia, disebut-sebut sebagai filem hantu yang paling hantu yang pernah diterbitkan setakat ini. Awak tak mahu lepaskan peluang menonton lakonan dua orang ratu filem seram dalam filem berkenaan iaitu Pujiah Hantu dan Paijah Mengilai. Tak payah cakap filem hantu yang paling menyeramkan; tikus berlari atas loteng senja-senja pun awak takut, kucing mengiau tengah malam pun awak terkejut, cicak kubing berdecit atas siling waktu dinihari pun awak sudah seram-sejuk, lipas terbang di dalam gelap pun awak sudah kecut perut.

Setakat ini, keseluruhan filem seram dan mistik awak sudah tengok semua yang mengisahkan perihal segala macam hantu - daripada hantu yang paling tolol hinggalah kepada hantu yang paling menakutkan seperti polong, jembalang tanah, langsuir, pontianak, mak lampir, hantu raya, hantu bungkus, jerangkung, hantu pocong, sundel bolong, pelesit, toyol, penunggu, kuntilanak, hantu pari, hantu kak limah, hantu mak munah, hantu makcik karipap, hantu kubur, saka, hantu kopek dan halimunan.

TUJUH

Kata Tok Bomoh yang awak selalu jumpa, dalam tubuh awak ada tujuh ekor hantu (Awak memang selalu jumpa bomoh, dukun, pawang, nujum dan tabib sebab awak banyak sangat tengok drama Melayu yang selalu ada babak khurafat pergi jumpa bomoh berkain kuning, pakai tangkal azimat dan ada asap). Sebab itulah awak jadi malas, bebal, bengap dan kelabu asap. Awak terkedu, terkebil-kebil. Macam hairan, macam tak faham. Awak cepat-cepat balik rumah dan segera buka TV. Awak tengok cerita hantu lagi; Hantu Tujuh Ekor arahan Mat Kulat. Dulu filem Zombo Kampung Langsat, Mat Kulat jugaklah yang buat. Pun awak minat. Cerita Pontianak Kak Munah Tak Balik-balik tak payah cakaplah, memang semua orang minat. Awak lagi-lagilah. Sampai tujuh kali awak ulang pasang CD cerita itu. Sekarang heboh dalam surat khabar orang bercerita fasal filem Langsuir Mak Jemah Balik Kampung. Filem terbaru arahan Mat Kulat yang tak sabar-sabar awak tunggu. Sebab awak nak tambah seekor lagi hantu dalam diri awak. Kini sempurnalah diri awak sebagai peminat cerita hantu yang paling hantu sekali kerana sudah genap tujuh ekor hantu dalam diri awak.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:58
Zohor 1:21
Asar 4:21
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.