saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 28/09/2014

Debu-debu mimpi Chao Phraya

SEBAIK-BAIK diturunkan daripada van bercermin gelap, dia mengesot. Segera meninggalkan kesibukan. Kesibukan rutin di laman menara penginapan terhebat di kota Bangkok. Menyusuri dan mengutip debu-debu di bahu lalu lintas lebuh Charoen Krung. Debu yang masih berbau darah, bauran dendam dan marah. Mandian darah yang akhirnya merobah landskap siasah Negara Gajah Putih itu.

Yang menang tetap menang, tapi jadi arang. Yang kalah tetap kalah, tapi jadi abu. Hanya kerana pertembungan nafsu menguasai kuasa, kota metropolitan ini dilumuri tragis yang masih berbekas. Yang pastinya berdendam.

Apakah pemuda yang menurunkannya tadi, sebahagian pemilik dendam itu. Mereka sempat berdakapan lama. Dakapan perpisahan yang tidak menjanjikan pertemuan kembali. Tidak sangka pemuda Siam berambut ikal muka berjerawat itu masih punya jiwa. Rasa silu masa berbekas dalam ketika melihat van putih berlalu.

Senggang trafik yang cuma beberapa saat, pantas dicuri sedaya upayanya untuk melepaskan diri ke seberang; menyambung jadual perjalanan ke laluan Rong Phasi. Laluan yang kalau dilangsungi akan bertemu pesisiran Chao Phraya.

Chao Phraya! Keindahan yang kerap muncul lewat mimpi-mimpinya. Keindahan malam yang merangkul warna-warni neon daripada aneka premis malam. Suluhan dan lampu hiasan bot ekspres menyimbah riak-riak dan kocakan warna-warni kehidupan. Landskap malam Chao Phraya, nadi kehidupan warga Gajah Putih itu pastinya lebih memukau mata-mata yang merenung dari balkoni-balkoni rumah-rumah penginapan yang mencakar langit Bangkok. Chao Phraya terusan kehidupan sepanjang 372 km yang bertemu di Teluk Siam di sebelah selatan, ialah segala-galanya.

Pernah sekali, dia dibawa Abang Samphret menyusuri Chao Phraya suatu petang yang lewat. Waktu itu, Abang Samphret memandu melewati laluan itu selepas mengambilnya dari lokasi tugasnya di hadapan sebuah wat, untuk dibawa puang. Pulang ke gubuk penginapan manusia serba malang sepertinya. Tidak ditafsirkan kenapa Abang Samphret memilih jalan itu hari tersebut.

Chao Phraya! Saksi suci, akan segala kehanyiran dan kebobrokan bertabirkan keindahan serba palsu ini!

Satu sapaan menjungkit perhatiannya. Telur Siamnya sedikit janggal. Sapaan menerjah setiap kali dia melewati sebuah gerai makan milik seorang India Muslim. Pemilik gerai, pemastautin tetap, sempat menggamitnya meski gerainya masih sibuk.

Dia membalas dengan isyarat tangan kirinya. Menolak pelawaan. Namun, hari-hari lalu membuktikan pemilik permis itu benar-benar ikhlas dan pemurah. Seketika nanti tentu akan ada insan-insan yang diwakilkannya untuk menyempurnakan kemurahan hatinya. Sebungkus nasi berlauk bersayur lengkap dan dengan sebungkus plastik minuman disambutnya dengan penuh syukur.

Mentari hampir mencecah puncak kepala. Berbekalkan sebelah tangan kiri masih sempurna, lengkap, dibantu tangan kanan yang dikudungkan paras siku, serta kedua-dua kakinya yang dicantas paras lutut, akhirnya guni plastik lusuh terbentang di bahu jalan. Di sisi tiang pintu gerbang berwarna hijau. Pintu gerbang yang seketika lagi akan dilewati lelaki-lelaki yang sedang berkerumun di gerai makan.

Beberapa hari lalu, kali pertama dihantar Abang Samphret, dia berasa sedikit musykil. Suatu lokasi baharu, agak jauh dari perut kota. Waktu itu dilihatnya gerai makan milik India Muslim itu luar biasa kerumunannya.

Sejenak kemudian, lorong selebar dua depa itu disusuri puluhan lelaki termasuk pelanggan gerai tadi, melintasinya menuju ke sebuah bangunan yang sedikit ke belakang. Tiba-tiba suatu gema berupa laungan pelik memecah suasana. Pelik sekali kalimahnya, bukan kalimah bahasa peribumi. Melodinya bukan lagu hiburan biasa. Seperti satu seruan. Dilihatnya gerai yang penuh sesak tadi tiba-tiba lengang. Tiada seorang pun, hatta pemiliknya!

Hatinya melonjak-lonjak tertanya. Sihir apakah yang begitu memukau lelaki-lelaki tadi? Beberapa ketika, persekitaran menjadi terlalu sunyi. Laungan tadi bergema semula. Mengulangi kalimah-kalimah yang serupa. Terlupa amaran abang Samphret, dia menghampiri pintu gerbang bangunan ajaib yang menelan puluhan lelaki tadi.

Terpegun. Ratusan lelaki duduk kemas berbaris-baris, menghadap seorang lelaki berjubah putih yang berdiri, berbicara lantang sambil memegang sebatang tongkat. Hatinya tiba-tiba berdegup kencang. Tiba-tiba ingatannya dilintasi sesuatu. Tetapi sesuatu yang singgah itu berlalu pantas seperti hembusan angin.

Petang itu dia pulang dengan lumayan. Lelaki-lelaki yang berbaris-baris dengan pergerakan serentak, keluar dengan jiwa yang amat-amat pemurah. Bekas kutipannya dua kali penuh dengan syiling dan kertas. Setiap pemberi diletakkan dengan penuh cermat dan hormat. Tidak kurang juga yang melahirkan kata-kata simpati sambil mengusap-usap kepalanya.

Abang Samphret tersenyum lebar. Terlupa pada amarannya sendiri supaya jangan terlalu mampir dengan bangunan masjid itu.

"Mulai esok, setiap hari abang akan menghantarmu ke sana."

Malam pertama itu, dia terlelap membawa kegembiraan. Dia tiba-tiba tersedar, dunia sekeliling masih gelap. Teman-teman lain masih berlingkar letih dengan serba kesejukan di ruang baringan. Jaganya tadi secara tiba-tiba dengan degup jantung yang kencang. Perjalanan mimpinya diusik sayup-sayup suatu alunan suara. Suara laungan itu senyap ketika sedarnya. Dia teringat, alunan suara dalam mimpinya sama dengan seruan yang bergema dari rumah misteri semalam. Alunan atau seruan apakah itu?

Bubur nasi

Tatkala sinar pagi mencecah ruang pintu gubuk usang yang dihuninya dengan kawan-kawan senasib. Beralaskan perut semangkuk bubur nasi, mereka kemudian diangkut memenuhi jadual tugasnya. Dia diberitahu oleh Abang Samphret, akan dihantar ke tempat semalam. Pulang pada hujung hari kedua itu, dengan hasil kurang lumayan. Benar kata Abang Samphret ketika menurunkannya tadi, hasil hari itu pasti tidak selumayan semalam.

Malam kedua: Seruan kalimah-kalimah menerpa menusuk kalbunya. Di bawah kelam senja, dia berdiri di suatu sudut, matanya tertampan pada sebuah bangunan yang tersergam. Di tengah-tengah bumbungnya terletak kemas sebuah kubah yang puncaknya yang tajam dilengkapi bulan bintang.

Sekelompok puluhan manusia bergerak tenang, walau secara berasingan, akhirnya bertembung tenang di muka pintu utama bangunan istimewa itu. Spontan matanya terpaut gandingan mesra tiga beranak melintasinya. Si kecil, dalam usia enam tahun dipimpin bapanya, sedang si remaja mempercepat langkah bergabung diri dengan kelompok awal tadi. Matanya mendaki menara di sisi hadapan bangunan, langsung tertampan pada puncak berkubah kecil.

Brummmm! Matanya tiba-tiba tertampan bumbung usang gubuknya. Deruan kenderaan yang semakin bingit bikin dia tersedar, menanggalkan mimpi indahnya.

Tidak sabar lagi dia menunggu Abang Samphret menghantarnya. Bimbang juga kalau-kalau Abang Samphret terseret dalam himpunan panas rakyat yang khabarnya kembali bertunas. Kalau benar Abang Samphret tidak muncul, bagaimanakah mimpi-mimpi seterusnya?

Dalam resah menunggu itu, kalimah-kalimah daripada corong masjid kembali berdenyut di kalbunya. Keresahannya terisi. Patah-patah kalimah menyerap mesra lewat pendengaran langsung lunak ke nuraninya.

Malam ketiga: Ketika laungan azan bergema, tubuh cacat tercokoh di sisi pagar. Tiga sekeluarga yang itu melintasinya. Ya, si ayah berpimpinan tangan dengan anak kecilnya, sedang si remaja sudah jauh ke hadapan. Cuba diamat-amati wajah remaja yang lincah itu, namun tubuhnya sudah tenggelam lewat pintu utama.

Tang! Dia pun terjaga. Bumbung gubuk burunya barang kali ditimpa buah atau ranting ketapang yang menaungi kediaman setinggan pinggir Bangkok itu.

Malam keempat: Tiga sekeluarga meneruskan rutin senjanya. Kali ini seorang wanita beriringan memimpin si kecil di sebelah kiri dengan si ayah di sebelah kanan. Cantiknya wanita itu. Ketika pintu utama masjid itu hampir menelan tubuhnya, si remaja tiba-tiba menoleh belakang. Melambai-lambai ibu, ayah dan adiknya. Tiba-tiba lambaian terhenti tatkala terpandang tubuh cacatnya di tubir pintu pagar. Dua pasang mata bertembung. Masing-masing tak berkejip.

Papp!! Aduh !! Mukanya ditindih sebelah kaki. Hanyir. Pantas dia meronta bangun menolak kaki teman serumah ke sisi. Melalui sisipan papan dinding yang renggang, di luar masih gelap. Matanya tidak terlelap hingga pagi. Wajah remaja yang memandang tepat ke arahnya dalam mimpi tadi bersilih ganti dengan wajah wanita muda yang cantik itu.

Ahhh... tiba-tiba rindu merusuh hatinya.

Gembiranya meraih hasil ngemisan sejak tengah hari tadi tidak seindah menikmati laungan kalimah-kalimah yang melantun lewat corong suara di menara. Dia semakin hafal tu laungan, dan lidahnya seperti semakin fasih mengajuknya.

Malam kelima: Dia nekad meletakkan tubuhnya betul di sisi pintu pagar yang mengelilingi bangunan masjid. Kemunculan yang dinanti-nantikan menjelma. Si remaja mendahului jauh ibu, ayah dan adiknya. Matanya bertembung tepat dengan mata di remaja. Darahnya menyirap. Tidak semena-mena si remaja berjalan terus melewati dirinya, tanpa masuk lewat pintu pagar sebagaimana hari-hari sebelum.

"Indera!" satu laungan terdengar. Suara ibunya. Sebuah kereta merah berhenti benar-benar di sisi remaja yang bergelar Indera. Seorang lelaki keluar.

"Maa… tolong Indera!" Sepantas kilat remaja Indera diseret ke dalam kereta merah, tenggelam lantas kereta memecut pergi. Dia terpegun.

"Indera!" jeritan pasangan suami isteri serentak cemas. Laungan serentak memecah samar-samar senja itu.

"Chukron!" Bahunya disentuh. Segera dia bingkas bangun dengan upaya sebelah tangannya. Beberapa teman berada di sekeliling. Hingar kenderaan dan manusia di luar kota gubuk kian rancak. Abang Samphret tercokoh di hadapan mereka.

"Hari ini hari terakhir kita bersama. Ada tuntutan memerlukan abang berjuang bersama-sama. Abang takkan kembali ke sini. Mulai sekarang kalian kena uruskan diri sendiri. Terpulang, sama ada mahu kembali tidur di sini atau tidak," begitulah dapat dia rumuskan kata-kata Abang Samphret yang panjang lebar.

"Chukron, maafkan abang. Abang tak dapat jaga kamu lagi." Suara Abang Samphret sebak. Matanya merah mengempangi air matanya. Akhirnya empangan itu pecah. Serentak pemuda Siam yang berwajah keras itu menerpa dan memeluk Chukron. Chukron, remaja asing dipisahkan daripada keluarganya dan dicacatkan oleh satu sindiket lima tahun lalu.

Sebuah bas muatan dua puluh pelancong melampiaskan debu dan berhenti betul-betul di hadapan gerai makan India Muslim yang baik hati itu. Lelaki, perempuan, dewasa, remaja dan anak-anak turun seorang demi seorang.

Chukron tiba-tiba teringat remaja yang muncul dalam empat mimpinya dan diheret tubuhnya pada mimpi malam kelima. Siapakah remaja itu. Mengapa mata mereka bertentang tepat? Di manakah wajah itu pernah ditatapnya? Gerombolan pelancong itu tenggelam di gerai makan yang tenang itu.

Laungan lunak yang ditunggu-tunggunya bergema dari corong suara masjid berbumbung hijau itu. Dia membetul-betulkan duduknya. Bungkusan makanan yang dikerenyukkan dan plastik air yang masih berbaki diletakkan di pangkal pintu gerbang sisinya. Matanya dipejam. Telinganya setia menangkap kalimah-kalimah yang terlontar nyaring. Lidah dan hatinya mengajuk semampunya akan kalimah-kalimah itu.

Ingin sekali Chukron masuk ke dalam masjid itu. Ingin sekali dia berada di tengah-tengah barisan lelaki yang berdiri khusyuk itu. Ingin sekali dia. Ketika keasyikan insan-insan di dalam bangunan itu menumpukan hati dan jiwanya menghadap satu kiblat, benaknya disapa pelbagai persoalan. Betapa mulai hari ini, dirinya kini akan keseorangan, tanpa sesiapa, Abang Samphret, mahupun kawan-kawan. Betapa malam ini, di mana harus dilabuhkan tubuhnya yang tidak sempurna itu.

Tiba-tiba pintu utama masjid dibuka. Berberapa orang menyerbu melepaskan diri dari pintu, tapi masih tenang. Manakala dari pintu belakang beberapa wanita bertudung keluar lambat. Mereka bakal melintasinya yang sedia menanti. Cepat-cepat dia menghulurkan tin rezekinya.

Ting! Satu persatu siling bhat menyinggahi tin kosong itu. Tidak kurang juga wang kertas dimasukkan ke dalam tin. Daripada insan-insan pengunjung tetap juga ahli rombongan pelancong yang turun dari bas tadi. Chukron mengharap sesuatu yang lebih. Dia tidak peduli lagi kehidupan malam yang bakal dilalui sendirian tanpa sesiapa itu.

Dia mengangguk-angguk tanda terima kasih setiap tin usangnya menyambut simpati .

Seketika sekeping wang kertas di hulur ke arah mukanya. Segera dia mengangkat wajah memandang wang kertas dan terus melangut wajah ke arah kanak-kanak yang menghulurkannya. Matanya tidak terkejip. Anak itu senyum dan dia mengangguk-angguk kepala. Lambat sekali tangan kirinya menyambut wang kertas yang besar nilai bagi dirinya.

"Arman, cepat sikit," seorang wanita yang beberapa langkah di hadapan memanggil anaknya seraya menoleh. Si suami sudah jauh di hadapan. Mata Chukron memandang lama wanita yang memanggil mesra anaknya. Wanita cantik itu! Wanita cantik itu, wanita dalam mimpinya!

Dadanya berkocak kencang. Cepat-cepat dia mengalih pandang ke arah wajah anak yang baik hati itu. Fikirnya berputar-putar. Wajah remaja yang dilarikan sebuah kereta dalam mimpinya malam tadi menerpa. Wajahnya beralih segera ke ibu anak itu.

"Maa..!" spontan ungkapan itu meluncur daripada mulut Chukron.

"Maa..!" ungkapan itu meluncur lagi buat kali pertama selepas hampir lima tahun dia membisu.

Si ibu mematahkan langkahnya kembali berdiri di sisi anaknya Arman. Matanya tepat ke wajah Cukron. Parut luka di dahi dan dua biji tahi lalat di tepi bibir bawah sebelah kiri di wajah Chukron menaut menangkap ingatan matanya.

"Indera? Kamu Indera?" bisikan halus bergetar dari bibir ibu yang cantik itu.

Debu-debu bumi Chao Phraya berlalu bagai mimpi-mimpi Chukron.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:22
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.