saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 05/10/2014

Maraton Kampung

Kami bersahabat sudah lama. Ketika kecil, kami belajar bertatih bersama-sama. Tentunya dalam persahabatan yang masih pucuk ketika itu, kami tidak dapat tidak, pernah bermasam muka. Nah, kami masih anak-anak, apalah yang kami tahu? Permainan sebelum Maghrib di padang luas kampung kami itu bagaikan pertarungan hidup dan mati ketika itu. Namun, apabila matahari hampir terbenam dan langit kirmizi, kami akan bersalam, berpelukan dan tertawa bersama. Kami akan beriringan pulang ke rumah masing-masing, dengan lambaian dan janji untuk mengulang pertarungan.

Sesungguhnya, hati-hati kami telah bertaut apabila kami memilih untuk hidup berbumbungkan langit yang sama, berpaksikan bumi yang serupa. Kami belajar bahawa untuk memetik rambutan di hujung Julai, bukan semua yang harus memanjat sehingga ke dahan paling rapuh. Sebaliknya harus berbagi-bagi dengan seadil-adilnya, berdasarkan kelayakan dan kebolehan kami masing-masing. Tidak kami langgar aturan yang dibuat datuk nenek moyang kami, tidak juga kami mempersoalkan hal baik-baik yang telah mereka putuskan secara diplomasi.

Apabila usia meningkat remaja, kami meninggalkan permainan masa senggang lalu berdikit-dikit belajar berlari. Kami berlari sebelum Subuh, merentas desa tatkala ayam belum berkokok agar sempat pulang bersiap untuk menghadiri sesi pembelajaran di sekolah aliran masing-masing sebelum genta pertama bergema. Kami bermula dengan jarak yang termampu dengan kudrat muda kami; remaja kampung yang belum tahu apa itu gizi, tidak mampu memenuhi selera dan nutrisi. Kami tidak berkasut khusus, sekadar menyarung kasut putih bertapak getah yang kemudiannya kami kenakan lagi ketika seharian berseragam putih-hijau menadah ilmu.

Kami paling menanti ketibaan hujung minggu, tatkala kami dapat berlari jauh ke hujung kampung lalu berpatah balik. Selepas sarapan nasi lemak dan kopi o di gerai milik penduduk kampung yang kami hormati seperti orang tua sendiri dengan baki duit belanja sekolah yang sengaja kami sisihkan setiap hari, kami akan bubar, pulang ke rumah masing-masing untuk meneruskan kelangsungan tanggungjawab terhadap ibu bapa dan adik-beradik kami. Kami semakin dewasa. Tanpa ibu bapa mengingatkan, kami memerhati, lalu mengerti sendiri bahawa kami harus mula memikul amanah sebagai anak, warga masyarakat, warganegara dan insan.

Ketika itu jugalah, tohmahan dan suguhan perbezaan mula berdesir di kampung kami, meniupkan kecurigaan yang bukan sedikit dalam kalangan sebahagian daripada orang tua kami. Benar, kami tidak sewarna kulit, berbeza agama, budaya dan sejarah lampau. Namun kami disatukan dengan aspirasi yang sama. Seperti larian kami saban pagi itu, kami tahu di mana kami bermula, kami juga jelas akan destinasi akhir. Matlamat kami ialah menghabiskan jarak yang telah kami tetapkan - bersama-sama. Bukan tidak ada antara kami yang letai di pertengahan. Ada juga yang kekejangan dan terlentang di jalanan. Namun tidak pernah terbayangkan di benak kami untuk berpecah dan menamatkan larian sendiri-sendiri.

Justeru, kami tidak mengerti, apabila suatu hari kami ditegah keluar, dikurung kejap di dalam rumah dan dilarang untuk berlari bersama-sama lagi selepas ini. Kami terus kebingungan apabila beberapa hari kemudian bendera yang berkibar megah sebagai lambang negara kami dikencingi, orang-orang tua kami berarak dan mencaci satu sama lain dengan perkataan yang pedih sekali telinga remaja kami ini mendengarnya. Paling menyayat hati kami, apabila mereka tetak-menetak, berbunuhan sehingga merah-hanyir jalan-jalan di kampung kami. Tatkala kepala kampung kami mengumumkan perintah berkurung, kami diam dengan pertanyaan yang tidak berani kami utarakan kepada orang tua kami yang masih mengemam bara amarah. Bukankah kami diajar dengan prinsip berlima, digariskan nenek moyang kami yang cendekia? Sudah lupakah orang tua kami akan sumpah setia yang pernah mereka lafazkan, sebagai ganti sebuah kebebasan?

Sesudah suasana tenang semula, kami menyambung rutin larian pagi minggu, tanpa kebenaran, tetapi juga tanpa larangan. Namun kali ini, kami memilih untuk melakukannya sendiri-sendiri. Ada antara kami yang memilih jalan jauh, ada juga yang selesa dengan jalan sedia ada. Manakala yang berani dalam kalangan kami memilih jalan baru. Dalam senyap kami berharap, agar tidak ada sahabat-sahabat kami yang menyusup menyusur jalan pintas.

Namun, takdir bukan ditulis oleh kami. Takdir adalah ketetapan Tuhan. Ternyata dalam keterasingan itu, kami tidak dapat menolak hakikat bahawa sebagai manusia biasa, kami semua mempunyai impian kebahagiaan yang sama. Sementelah pandai berlari, kami mahu berlumba pula.

Maka kami bersepakat bersiap-sedia. Daripada larian pada rentak sederhana pada awal pagi, kami mengenal keperluan mengamalkan larian tempo, larian interval dan larian berbukit. Kami belajar mengenal rentak larian semasa, sebelum mencabar hadnya. Kami belajar membilang detak nadi, mengira kapasiti optimumnya dan kemampuan maksimum jantung hati kami. Seminggu sekali kami akan berlari jauh pada rentak perlahan demi menguji ketahanan mental dan fizikal kami yang sedang dibentur itu. Kami mengatur jadual latihan dengan rapi, memperkemaskannya dengan aktiviti fizikal lain sebagai latihan silang untuk merehatkan sekali gus memperkuatkan otot-otot serta stamina kami.

Kami menyeimbangkan rutin baru penuh intensiti ini dengan tidur yang cukup dan pemakanan berkhasiat. Kami juga sudah mampu memakai kasut khusus dengan ciri-ciri penyokong kestabilan, keanjalan dan kepantasan langkah kami. Kami tidak lagi berkemeja tee lusuh dan berseluar pendek goboh, sebaliknya mengenakan persalinan khas yang memampatkan kapilari lalu melancarkan perjalanan darah kami. Selepas setiap sesi latihan, kami akan diurut oleh fisioterapis terlatih. Apabila lutut atau saraf kami lenguh dan perit, kami dirawat oleh pakar orto dan neuro.

Perlumbaan-perlumbaan awal kami ialah di peringkat serantau. Kami menguji kebolehan dengan jiran-jiran kami terlebih dahulu. Tenyata, kesungguhan dan ketekalan telah menobatkan kami sebagai antara kampung yang perlu diperhatikan di rantau ini. Namun, semangat kami masih meluap-luap. Kami tidak boleh berpuas hati sebagai jaguh kampung semata-mata. Kami ingin berlumba di peringkat antarabangsa pula.

Tiada siapa yang mempedulikan kami, peserta-peserta bersusuk kecil, berkulit berwarna nun dari tenggara benua di bawah angin. Kami sedar, aspek fizikal dan sejarah tidak memihak kepada kami yang setahun jagung untuk beradu tenaga, apatah lagi duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan para gergasi. Nah, kami jatuh, terjatuh dan dijatuhkan berkali-kali!

Namun, kekurangan kami ditimbal balik dengan semangat yang tidak mudah retak. Kami bangun, sekali, dua kali, setiap kali. Kami mengerti bahawa untuk meruntuhkan kesombongan gergasi-gergasi yang pernah menguasai kampung dan pemikiran kami berabad-abad lamanya tidak berapa dekad lalu itu, ikhtiar kami tidak boleh diletakkan tidak di tubuh, tetapi harus dipasakkan pada buah fikir. Kami mencatur langkah dengan pertimbangan yang wajar. Perlahan-lahan, laluan perlumbaan yang bersalju pada musim soltis, panas terbakar pada musim ekuinoks dan rencam iklimnya lewat musim semi kami tawan satu persatu.

Mungkin kami terleka. Mungkin juga kami menjadi terlalu selesa. Tragedi yang terlalu menguji hampir tiga dasawarsa sebelumnya itu seakan-akan terlalu jauh daripada ingatan kami. Justeru, kami tidak dapat menebak dugaan yang satu ini. Serangan anasir luar terhadap kampung kami pada suatu Subuh metah lewat dekad terakhir sebelum milenia menyentak tidur kami yang sudah jarang-jarang turun berlari ketika hari masih dini.

Ketika kami masih terpinga-pinga kebingungan, kepala kampung bingkas, mengatup semua pintu, memperkemas segala benteng, serta mengetatkan kawalan di sempadan. Namun kemusnahan serangan licik itu tidak mudah dipulihkan. Tambah pula, ketika itu jugalah berlakunya kegawatan dalaman yang menggugat kestabilan pentadbiran kampung kami. Keripuhan itu melarat, menjalar ke jalan dan ruang awam kampung kami.

Jika dahulu kami cuba digugah dengan perbezaan fizik, kali ini kami diduga dengan perselisihan ideologi. Angin nyaman yang selama ini berpuput lembut di kampung kami jarang-jarang lagi bertandang. Sebaliknya, terik matahari menggigit kulit kami, tanah-tanih kami sehingga empangan-empangan kami yang dahulunya penuh sehingga ke tebing, kini mencecah takah darurat.

Pili-pili kami yang kering seperti pisau, menetak-belah hubungan kami yang sedia runcing. Kami tuding-menuding, menyalahkan pihak itu dan pihak ini, tetapi tidak pernah merenung kekhilafan sendiri. Nah, bagaimanalah hujan pun tidak meminggirkan kami?

Justeru, pada tahun terakhir sebelum abad milenia, tatkala kampung kami menginjak satu lagi takah usia ulang tahunnya, kami memutuskan untuk memaknainya dengan pengisian berbeza. Setelah sekian lama berlari pada jarak sederhana, kali ini kami merasakan sudah tibalah masanya kami mengorak langkah sejauh angka keramat - 42 kilometer. Kami tahu, semenjak larian sejauh 42 kilometer diperkenalkan pada Sukan Olimpik zaman moden pertama pada tahun 1894 untuk memperingati larian legenda Phillipides, utusan kerajaan Greek sejauh jarak yang sama dari Maraton ke Athens untuk menyampaikan berita kemenangan tentera negaranya ke atas tentera Parsi pada tahun 490 sebelum Masehi, ia telah menjadi simbol ketekalan, kecekalan dan keampuhan jiwa dan jasmani seseorang individu. Maka, pada ulang tahun ke-42 kami bebas mengatur masa depan dan kehidupan sendiri, jarak itu ialah manifestasi keteguhan komitmen kami mempertahankan kesejahteraan yang telah kami kecapi.

Pada hari bersejarah, kami bertemu seawal jam tiga pagi. Sengaja kami memilih pusat pentadbiran kampung kami yang baru siap dibina sebagai lokasi pertemuan. Kami melakukan regangan dan memanaskan badan sebelum memulakan langkah selepas memanjatkan doa agar misi kami hari ini direstui dan dipermudahkan. Kami bermula dengan rentak larian sederhana. Kami maklum bahawa jarak ini bukan dekat. Untuk menguasainya, ia perlu diberi penghormatan selayaknya. Kegagalan kami mengatur strategi tidak mustahil akan menyebabkan kami tersungkur di pertengahan jalan.

Kami berhenti menunaikan solat Subuh di masjid terapung di pinggir tasik buatan tatkala fajar terbit di kaki langit. Kami juga mengambil kesempatan itu untuk membasahkan tekak. Ketika itu kami telah berlari sekitar dua jam, dengan jarak 15 kilometer. Ada antara kami yang mula memakan bekal gel tenaga untuk mengganti kalori yang telah digunakan.

Kami meneruskan perjuangan setelah memenuhkan semula botol-botol air yang kami selitkan antara tali pinggang khusus. Tidak ada sebarang hentian minuman atau tandas mudah alih yang menanti kami di setiap sela dua, tiga, atau empat kilometer sekali. Tiada juga marsyal atau ambulan pasukan pertolongan cemas mengekori kami. Kami harus bersedia dengan sebarang kemungkinan, dan membantu sendiri-sendiri.

Separuh perjalanan berjaya kami lalui tanpa sebarang masalah besar, melainkan lepuh-lepuh kecil pada jari dan tapak kaki serta lenguh-lenguh otot. Maka, sebaik-baik melepasi jarak 21 kilometer, ada dalam kalangan kami yang mencadangkan agar kelajuan dipertingkatkan. Sebahagian daripada kami tidak bersetuju, kerana ketika itu matahari mula mempamerkan kegarangannya. Langit juga cerah tanpa awan. Bukannya kami tidak tahu, daripada ramalan cuaca yang kami pantau semenjak seminggu lalu bahawa suhu pada hari itu akan mencecah lebih 30 darjah Celsius. Tambah pula, prestasi separuh perjalanan bukanlah kayu ukur kepada keseluruhan perjuangan kami. Kami tidak tegar untuk dehidrasi, kejang atau juga hit the wall kerana kekontangan glikogen.

Atas peringatan itu, kami kekal sebagai satu kumpulan. Beberapa orang antara kami mula menunjukkan tanda-tanda keletihan. Mujur kami memilih formasi yang diolah daripada disiplin kejar-mengejar acara trek berbasikal; untuk setiap dua kilometer, seorang daripada kami membimbing larian dengan rentaknya sendiri. Setiap daripada kami di belakangnya harus berusaha untuk mengikut rentak berkenaan. Jika ketua perlahan, kami tidak boleh memotongnya. Manakala jika ketua lebih laju, kami tidak boleh mengalah atau ditinggalkan.

Jarak sesudah 30 kilometer mula mendera mental kami. Melainkan desah nafas lelah, serta derap tapak kaki kami yang tidak gelincah lagi, kami hanya disapa desir angin panas sekali-sekali. Kami merasakan perjalanan yang telah melebihi jarak larian lazim kami itu amat sunyi, sedangkan penghujungnya masih terlalu jauh daripada jangkauan kami. Justeru, kami tidak bersedia dengan kejutan yang menunggu sebaik-baik kami membelok untuk meneruskan larian pada kilometer ke-35.

Di bahu kiri jalan, beberapa orang berdiri melaungkan sokongan dan kata-kata semangat. Mereka menghulurkan minuman isotonik sejuk di dalam gelas kecil kepada kami. Apabila kami berjeda sebentar, mereka menghulurkan lebihan ketulan ais untuk kami letakkan di atas kepala dan sekitar tengkuk. Mereka juga menyediakan buah pisang, hirisan tembikai dan gula-gula berkafein selain turut menyembur cecair mampat yang melegakan lenguh serta perit pada otot keting kami. Kami tidak kenal mereka, dan kami pasti mereka juga tidak mengenali kami. Namun, kehadiran mereka membuktikan bahawa mereka mempunyai kepercayaan terhadap perlakuan gila kami ini. Mereka adalah sebahagian daripada kami.

Langkah kami yang letai seperti ditiupkan keyakinan baru. Kami melepasi jarak 40 kilometer dengan bertenaga. Tenaga yang menyulur dalam tubuh kami disambut dengan sorakan di kiri dan kanan jalan oleh khalayak yang berlaksa-laksa ramainya. Saudara-mara dan sahabat-handai kami itu berdiri di kiri dan kanan bahu jalan di bawah bayang-bayang bangunan agam yang menempatkan perbendaharaan kampung kami menjalar sehingga istana utuh tempat yang arif dalam kalangan kami menegakkan undang-undang. Ada yang mengangkat sepanduk buatan sendiri, manakala yang lainnya bertepuk dan menjeritkan perangsang demi perangsang yang merindingkan roma kami.

Sewaktu kami merancang dan memulakan perjalanan ini, kami tahu bahawa matlamat kami jelas. Kami yakin bahawa kami bermula di titik yang benar, dan kami akan berakhir di titik yang telah ditentukan. Kami insaf dan reda bahawa perjalanan ini akan disulami pelbagai kesukaran, namun kami telah menanamkan azam untuk menghadapi kesemuanya dengan kesabaran.

Oleh itu, tatkala kami mencecah garis penamat tahun itu, kami bertekad untuk kami mengulanginya lagi, pada pagi ulang tahun kebebasan kampung kami tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya. Namun, kami juga tidak boleh berpuas hati dengan jarak statik 42 kilometer. Perjuangan kami meski jelas, tetapi masih jauh. Justeru kami akan menambah jarak: satu kilometer untuk setiap ulang tahun.

Tahun ini, sebahagian besar daripada kami yang merintis ritual bermakna ini tidak lagi mempunyai kudrat fizikal untuk menyamai rentak larian anak-anak muda kami. Lalu, dengan rela hati kami melepaskan sepenuhnya legasi ini untuk diteruskan oleh para pewaris yang menyanggupi tugas meneruskan kelangsungan tradisi. Seperti khalayak yang menyambut kejayaan kami tidak berapa lama dulu itu, kami akan menunggu mereka di jarak 55 kilometer, kerana kami tahu, dua kilometer akhir itu ialah jarak paling menduga. Tahun hadapan, jika kami masih dipinjamkan hayat, kami akan menunggu lagi, dengan pertambahan jarak satu kilometer, tentunya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:22
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.