saya nak baca ..

SELATAN


ARKIB : 07/12/2012

Keunikan, tarikan Taboh Naning

BUKIT Penyalang berdekatan Masjid Taboh Naning merupakan penempatan awal yang dibuka oleh pengasas adat Pepatih, Datuk Pepatih Nan Sebatang semasa berhijrah ke Taboh Naning dari Minangkabau, Sumatera.

ALOR GAJAH 6 Dis. - Daerah Taboh Naning yang bersempadan dengan Rembau, Negeri Sembilan walaupun agak terpencil dari kepesatan pusat bandar mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri.

Menurut penduduk setempat, asal-usul daerah ini berkisar mengenai penyengat kuning dan tabuh atau beduk iaitu sejenis alat yang dipalu apabila masuk waktu solat atau berlaku kematian.

Menyingkap kembali sejarahnya pada abad ke-13, daerah ini mula diteroka oleh Datuk Pepatih Nan Sebatang dari Minangkabau, Sumatera yang turut disertai sekumpulan orang tempatan telah membuka penempatan baru di Bukit Penyalang.

Sebelum sampai ke Bukit Penyalang atau suatu masa dahulu dikenali sebagai Bukit Bisu, rombongan Pepatih Nan Sebatang yang juga merupakan pengasas adat Pepatih telah menemui tiga buah pulau sejajar.

Di pulau itu dijumpai sarang penyengat kuning yang sangat berbisa atau dikenali sebagai naning dan juga sebuah tabuh.

Dikatakan, tabuh yang dijumpai pada hari itu telah berlaku peristiwa ganjil di mana tabuh itu berbunyi dengan sendirinya setiap petang Jumaat dan sekiranya berlaku perkara tidak diingini di kawasan itu.

Selain keunikan sejarahnya, Taboh Naning juga merupakan satu-satunya wilayah di luar Negeri Sembilan yang masih kuat mengamalkan adat Pepatih.

Seperti di Negeri Sembilan, adat Pepatih Naning diketuai oleh seorang penghulu yang dikenali Datuk Undang Naning.

Datuk Undang Naning ke-20, Orang Kaya Seri Raja Merah, Abdul Azis Mulud berkata, adat Pepatih Naning tidak jauh bezanya dengan adat Pepatih yang kuat diamalkan di Negeri Sembilan yang juga mengikut perlembaan adat atau dikenali terombo adat Pepatih.

Menurutnya, peranan Datuk Undang Naning adalah bertumpu kepada pentadbiran adat seperti urusan perkahwinan, kelahiran, kematian serta menguruskan upacara adat yang lain.

"Bagaimanapun, pada masa ini tanggungjawab Datuk Undang Naning lebih bertumpu kepada memelihara keharmonian dan perpaduan suku-suku dengan kerjasama tua dan buapak yang menjadi tulang belakang dalam adat Pepatih Naning.

"Kuasa Datuk Undang Naning tidak terhad kepada mentadbir adat di seluruh wilayah adat sahaja tetapi boleh menjatuhkan hukuman bagi setiap kesalahan adat atas nasihat Lembaga Adat yang dianggotai Tiang Balai, Isi Balai dan Pembesar Waris," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Taboh Naning yang kaya dengan keunikan adat dan budaya ini juga dilihat mempunyai potensi di segi pelancongan kerana mempunyai pelbagai lokasi menarik yang mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

Bagi yang meminati sejarah, sudah semestinya Masjid Taboh Naning yang terletak dua kilometer dari Tol Simpang Ampat menjadi destinasi wajib dilawati kerana menempatkan makam Datuk Dol Said yang merupakan Undang Naning kesembilan.

Dol Said tercatat dalam sejarah negara ini apabila berjaya mengalahkan British pada 1831 semasa Perang Naning dengan menggunakan taktik gerila semasa melancarkan serangan.

Di sekitar masjid itu terdapat sebuah kawasan yang dikenali Perigi Gaung yang menjadi aspek penting dalam adat Pepatih Naning iaitu dalam soal perlantikan setiap Undang Naning.

Undang Naning yang baru dilantik akan bersiram di perigi itu sebelum diusung di atas tandu masuk ke dalam masjid bagi menjalankan upacara adat pelantikan berkenaan.

Tidak jauh dari masjid itu, pengunjung pastinya terpukau melihat 'batu hidup' atau batu megalith yang terletak di Kampung Cherana Putih yang dipercayai merupakan kubur nenek moyang penduduk Alor Gajah.

Salah satu lokasi lagi yang bakal memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung yang datang ke Taboh Naning adalah Kolam Air Panas Cherana Putih.

Kawasan rekreasi dan riadah bersama keluarga itu sangat popular di kalangan penduduk setempat dan turut mendapat sambutan daripada penduduk kampung berhampiran termasuk dari Tampin dan Rembau, Negeri Sembilan.

Terdapat kira-kira 10 kolam air panas disediakan dan orang ramai boleh mandi-manda dan merendam kaki di kolam itu yang bermula pukul 6 pagi hingga 7 malam.

Orang ramai boleh menggunakan kemudahan tertentu yang disediakan di kolam air panas itu secara percuma.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.