saya nak baca ..

SELATAN


ARKIB : 21/03/2013

Asahan bukan lagi 'pekan koboi'

R. PERUMAL (duduk) menunjukkan tanda bagus ketika bertemu dengan usahawan dan kakitangan FAMA semasa mengadakan lawatan kerja di Pasar Tani Selandar, Melaka, baru-baru ini.

JASIN 20 Mac - Asahan satu ketika dahulu pernah dipanggil sebagai 'pekan koboi' kerana terpinggir daripada arus kemajuan ekoran terletak kira-kira 56 kilometer dari bandar Melaka.

Namun transformasi kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengubah 'pekan koboi' itu melalui suntikan pembangunan dan infrastruktur sempurna yang sekali gus merapatkan jurang penduduk di kawasan berkenaan dengan masyarakat bandar.

Kini boleh dikatakan segalanya telah tersedia yang merangkumi kemudahan pendidikan, perubatan, perniagaan dan tempat rekreasi yang mampu memberikan keselesaan kepada penduduknya tanpa perlu merugikan masa mendapatkan perkhidmatan tertentu di luar kawasan itu.

Perubahan demi perubahan dibawa oleh kerajaan BN yang memfokuskan pada kebajikan penduduk dan dipergiatkan di kawasan Asahan melalui ADUN kawasan, Datuk R. Perumal yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri.

Biarpun daerah ini masih 'dikepung' dengan tumbuhan hijau, namun inisiatif kerajaan tetap diteruskan dengan membangunkan kawasan itu sebagai lokasi tarikan pelancong antaranya Hutan Rekreasi Bukit Batu Lebah yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada para pelancong.

Hutan rekreasi berkenaan kini menjadi destinasi yang diminati peminat aktiviti lasak dan menjadi lokasi perkhemahan, seminar dan kem motivasi anjuran pelbagai agensi awam dan swasta.

Bagi yang cintakan alam semulajadi, daerah ini merupakan pilihan yang tepat kerana turut mempunyai kawasan air terjun yang dikenali Air Terjun Asahan yang menjadi antara laluan alternatif ke Gunung Ledang.

Berbanding dahulu, DUN Asahan tidak langsung dipinggirkan dalam aspek pendidikan dan kerajaan sentiasa memberikan peruntukan membina sekolah-sekolah baharu bagi menampung jumlah penduduk yang kian meningkat.

Dalam DUN Asahan terdapat empat buah sekolah menengah, sekolah rendah (9), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (4), dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (2) dan yang terbaru ialah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) yang terletak di Selandar.

Perkhidmatan kesihatan juga antara yang diberikan tumpuan oleh kerajaan di kawasan ini yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dengan menyediakan Klinik Kesihatan Selandar yang mampu menampung ratusan pesakit pada satu-satu masa selain terdapatnya Klinik Desa di setiap kampung.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan belia, beberapa kemudahan telah disediakan bagi merealisasikan hasrat berkenaan iaitu dengan pembinaan Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Kolej Komuniti yang terletak di Selandar dan Kem Saujana Asahan yang dimiliki Majlis Sukan Negara (MSN). Asahan yang menjadi pertembungan tiga negeri itu juga telah merealisasikan pembinaan Laman Tiga Budaya yang menelan kos berjumlah RM2 juta yang menyediakan aktiviti taman tema air mini dengan pelbagai kemudahan seperti kolam, restoran dan landskap yang menarik.

R. Perumal yang merupakan satu-satunya wakil daripada MIC dalam DUN Melaka melakar kejayaan selepas menewaskan Amdan Sudin daripada Pas dengan majoriti 2,178 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 berkata, usaha membangunkan ekonomi penduduk setempat yang majoritinya berasaskan pertanian akan diperkasakan lagi di bawah pentadbiran kerajaan BN.

Menurutnya, pada masa ini banyak lot kedai dibina di beberapa lokasi tumpuan antaranya Selandar bagi memberi peluang kepada penduduk kawasan berkenaan untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan aktiviti pertanian pula antaranya diuruskan oleh agensi lain seperti Felda di Bukit Senggeh dan Felcra di Bukit Sedanan.

Katanya, menyedari golongan penduduknya yang berpendapatan sederhana, kerajaan telah membina sebuah Kedai Rakyat 1Malaysia di Selandar yang menawarkan harga barangan jauh lebih murah sebagai langkah membela kebajikan penduduk setempat.

"Pembangunan, peluang perniagaan dan pendidikan di dalam DUN Asahan ini dipacu oleh kerajaan BN yang sentiasa prihatin terhadap rakyat dan menyediakan pelbagai insentif lain dalam meningkatkan taraf hidup rakyat dan menjaga kebajikan mereka.

"Pelbagai lagi kemudahan yang dinikmati penduduk di sini dan yang paling penting ialah jaringan perhubungan jalan raya yang sempurna dari Selandar hingga Simpang Bekoh dan kawasan sekitar yang menyediakan jalan raya berturap untuk kemudahan penduduk," katanya.

Katanya, istilah 'pekan koboi' telah lama terkubur dan kini penduduk hidup dalam keadaan selesa kerana mempunyai peluang yang sama dengan penduduk bandar sama ada dari segi kemudahan pendidikan, kesihatan, perniagaan dan sebagainya.

Yang terbaru katanya, sebagai langkah merapatkan jurang digital antara penduduk desa dan bandar, sebuah Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) telah dibina di Kampung Masjid Baru yang memberikan kemudahan kepada penduduk setempat untuk mengakses Internet dan menggunakan peralatan multimedia.

Beliau berkata, PI1M adalah satu inisiatif kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjadikan penduduk di kawasan berkenaan tidak ketinggalan dari segi arus kemajuan teknologi selain melahirkan masyarakat celik teknologi maklumat (IT).

"Kemajuan dan pembangunan bagi kawasan yang dikategorikan sebagai pinggir bandar ini adalah satu pemberian yang tidak terhingga dan sebagai rakyat seharusnya kita perlu bersyukur dan proses transformasi yang dilakukan kerajaan BN akan terus dijalankan selagi mendapat sokongan daripada rakyat," katanya.

Tambah beliau, usaha kerajaan selama ini telah banyak membantu mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan dengan menyediakan pelbagai peluang kepada seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang kaum serta agama.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.