16 Januari 2019

NAM2003 :: RENCANA

19/02/2003
Suara NAM imbangi AS

Suara NAM imbangi AS

20/02/2003 4:53 p.m.

Oleh Azman Anuar dan Laupa Junus
(Wartawan Utusan)
Isu memerangi keganasan dan globalisasi yang dijangka menjadi agenda penting pada Sidang Kemuncak Ke-13 Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) kali ini tidak seharusnya membayangi beberapa isu lain dalam konteks perjuangan negara-negara anggota.

Bagi menjadikan NAM sentiasa relevan dan tidak lari daripada prinsip asal penubuhannya, negara-negara anggota seharusnya diberikan masa untuk melihat nasib masing-masing dan menumpukan kepentingan menjaga soal keadilan dan kesaksamaan.

``Biarlah Amerika Syarikat (AS) tidak mendengar suara kita, saya tidak bimbang kerana NAM yang mempunyai anggota daripada pelbagai latar belakang dan memiliki kepentingan yang berbeza-beza perlu terus bersatu,'' kata Utusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar.

Ahmad Kamil, seorang diplomat yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar pada April 1989 hingga Ogos 1996 berkata; ``Pedulikan kuasa besar kerana suara negara-negara dalam NAM perlu mengimbangi hegemoni kuasa besar. NAM menurut beliau, telah membuktikan peranan sejak 47 tahun penubuhannya.

``Kita perlu mengarahkan ahli-ahli NAM dalam satu suara untuk mengimbangi hegemoni sesebuah negara dan inilah kekuatan kita,'' katanya.

Menurut beliau, mewujudkan keadilan dan kesaksamaan antara ahli adalah penting dalam perjuangan NAM, selain memainkan peranan sebagai suara pengimbang kepada kuasa besar dunia.

Kata-kata beliau ada kebenarannya kerana dengan 116 anggota termasuk yang baru, Timor Leste dan Saint Vincent and The Geradines, NAM merupakan pertubuhan kedua terbesar dari segi jumlah keanggotaan selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Soalnya, apakah keadilan itu dapat dicapai sekiranya kesatuan dalam NAM itu sendiri tidak tercapai. Ini mungkin berlaku kerana ada negara dalam NAM yang mungkin bersetuju sekiranya AS menyerang Iraq tanpa kelulusan Majlis Keselamatan PBB.

``Mereka ini seolah-olah cuba menghakis pertubuhan besar dunia ini dengan menggalakkan berlakunya kemusnahan sedangkan perjuangan NAM ialah keamanan dan keselamatan. Inilah cabaran politik hari ini,'' kata Ahmad Kamil yang mendapati AS kini menjadi kuasa tunggal yang mahu mempengaruhi PBB untuk mengekalkan hegemoni mereka.

Beliau yang menyifatkan gerakan negara-negara tersebut sebagai `Perikatan Amerika' yang cuba menjadi kuasa besar sedangkan sewajarnya tidak ada kuasa mutlak untuk menentukan politik antarabangsa. Dengan perkataan lain, yang perlu diperjuangkan ialah order baru dunia yang lebih seimbang.

Ketika ditanya apakah kemungkinan China sebagai satu daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan menerima tawaran menyertai NAM, Ahmad Kamil berkata, beliau tidak melihat kemungkinan itu berlaku.

Kedudukan China sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan menyukarkan peranan negara itu untuk terlibat dengan negara-negara yang tidak menyebelahi mana-mana blok dunia.

Manakala dalam bidang ekonomi, masih banyak yang perlu diperjuangkan terutama dalam merapatkan jurang antara negara kaya dengan miskin dalam pertubuhan tersebut. Ahmad Kamil menyebutkannya sebagai negara bernasib baik dan tidak bernasib baik.

Mengulas sama ada perlu supaya mana-mana anggota NAM menyingkir ahli yang terlibat dengan pakatan negara-negara lain untuk menekan negara anggota, beliau berkata, tindakan itu tidak perlu kerana terdapat kalangan anggotanya juga mewujudkan pakatan ketenteraan dengan beberapa negara lain di luar NAM.

Beliau merujuk kepada Pertubuhan Perjanjian Asia Tenggara (SEATO) serta Pertubuhan Pakatan Atlantik Utara (NATO) yang dianggotai oleh beberapa anggota NAM. Justeru kata beliau secara keseluruhannya, semua anggota NAM masih mendukung prinsip asas penubuhan pergerakan tersebut sejak ditubuhkan melainkan apa yang berlaku kepada Yugoslavia yang digantung keanggotaannya.

Beliau memberitahu, keanggotaan Yugoslavia digantung atas usul Malaysia ketika sidang kemuncak NAM di Jakarta, Indonesia pada 1992. Alasan kukuh penggantungan itu adalah disebabkan kekejaman Yugoslavia terhadap rakyat Bosnia Herzegovina ketika krisis Balkan.

Menyentuh mengenai cadangan penubuhan sekretariat tetap NAM, Ahmad Kamil berkata cadangan tersebut ada pro dan kontranya. Ada kebaikannya dan juga ada hambatan yang perlu diambil kira.

Katanya, dengan keanggotaan negara yang begitu banyak serta mempunyai kepentingan nasional dan rantau yang berbeza-beza, sekretariat tetap itu boleh berfungsi menggerakkan apa juga ketetapan yang diputuskan dalam sidang kemuncak.

Malah katanya, sekretariat tetap itu juga membolehkan pemantauan dibuat terhadap semua program yang dirancangkan. Malangnya, keanggotaan NAM yang majoritinya terdiri daripada negara-negara masih membangun dan miskin, menjadi satu beban kepada mereka untuk menyumbang kewangan kepada sekretariat tersebut.

``Bergantung kepada Malaysia untuk menggerakkan dan merealisasikan penubuhan sekretariat ini,'' katanya.

Akhirnya kata Ahmad Kamil yang pernah bertugas sebagai duta ke Switzerland, China dan Jepun sebelum memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, beliau masih agak sukar mengukur pencapaian NAM, satu persatu. Bagaimanapun berdasarkan pengalamannya, Ahmad Kamil berkata, sikap sederhana NAM masih dihormati dan didengari oleh kuasa besar.

Beliau memberi contoh, NAM begitu vokal menentang tindakan AS yang cuba menggulingkan pemimpin yang dipilih secara demokratik di Chile, Salvador Allende dan digantikan oleh Agusto Pinochet satu ketika dulu. Tindakan itu kata beliau diteruskan dengan penentangan terhadap AS yang cuba menyerang Iraq atas alasan tidak setuju dengan Presiden Saddam Hussein.

Begitu juga suara NAM dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin yang wilayah mereka diduduki oleh Israel.

NAM juga katanya memainkan peranannya bersama-sama dengan Pertubuhan Negara-Negara Komanwel yang menentang dasar aparteid di Afrika Selatan serta memperjuangkan kemerdekaan negara-negara yang masih dijajah.

Dalam isu perang saudara Kemboja dan penaklukan Vietnam terhadap negara itu, NAM juga telah berusaha dan terbukti bumi Angkor Wat itu dapat dibebaskan daripada kekejaman. Ketika itu menurut Ahmad Kamil, beliau merupakan Timbalan Wakil Tetap Misi Malaysia ke PBB sebelum bertugas sebagai duta ke Thailand.

Mengenai harapannya kepada sidang kemuncak kali ini, Ahmad Kamil, 66, yang kini pengerusi sebuah syarikat berkata, NAM kali ini memberi faedah kepada Malaysia dan pergerakan itu sendiri.

``Malaysia telah banyak menyumbang kepada peningkatan beberapa Pertubuhan Antarabangsa termasuk Pertubuhan Persidangan Negara Islam.

``Saya fikir kalau kita boleh meneruskan peranan dan agenda yang telah dirancang sebelum ini dalam aspek politik dan ekonomi, ia satu pencapaian yang cemerlang bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga NAM. Kita sangat aktif dalam NAM pada persekitaran pasca-Perang Dingin dan pergerakan ini boleh menjadi penghubung sejagat selepas konflik perang dingin,'' katanya.


Arkib Bancian

 

Utusan Melayu (M) Bhd.

46M, Jalan Lima Off

Jalan Chan Sow Lin,

55200 Kuala Lumpur.
E-mel:
[email protected]