18 Disember 2014

:: BERITA

25/02/2003
Deklarasi Kuala Lumpur

Deklarasi Kuala Lumpur

26/02/2003 2:49 a.m.

KUALA LUMPUR 25 Feb - Bagi merealisasikan penyuburan semula Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang berusia 47 tahun, para pemimpinnya malam ini berikrar akan berusaha bersungguh-sungguh bagi menggalakkan dunia multipolar dengan memperkukuhkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah pertubuhan yang amat diperlukan bagi menyelia keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Mereka bersetuju bahawa PBB perlu terus kekal sebagai badan penting bagi menggalakkan hak asasi manusia, pembangunan sosial dan ekonomi serta menghormati undang-undang antarabangsa, sebagaimana yang termaktub dalam Piagamnya.

Menyatakan komitmen mereka dalam "Deklarasi Kuala Lumpur Bagi Meneruskan Penyuburan Semula NAM" setebal enam muka surat yang dikeluarkan pada akhir sidang kemuncak ke-13 selama dua hari di Kuala Lumpur, para pemimpin berkenaan bersepakat bahawa perpaduan di antara 116 anggota, dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan global dan memanfaatkan peluang-peluang akan menentukan NAM terus relevan.

Untuk menterjemahkan retorik mereka kepada tindakan dan mendedikasikan semula diri mereka dengan prinsip asas, tujuan dan matlamat pergerakan itu, para pemimpin berkenaan berazam akan meningkatkan perpaduan berdasarkan kepentingan bersama mereka dan sejarah perjuangan bersama.

Mereka berikrar akan bersungguh-sungguh dalam usaha mereka untuk memastikan kepentingan berkenaan akan terus digalakkan dan kebimbangan mereka ditangani sepenuhnya.

Para pemimpin itu mengisytiharkan komitmen untuk berpegang kepada prinsip-prinsip asas NAM dan Piagam PBB bagi mengekal dan menggalakkan keamanan dunia menerusi dialog dan diplomasi antara negara serta mengelak penggunaan kekerasan dalam penyelesaian konflik.

Mereka bersetuju untuk menggalak dan mengukuhkan proses multilateral atau pelbagai hala sebagai wadah terpenting dalam menjaga kepentingan negara anggota NAM dan PBB.

Mereka juga mengisytiharkan komitmen untuk berusaha bersungguh menggalakkan demokrasi dalam sistem urus tadbir antarabangsa dengan meningkatkan penyertaan negara membangun dalam proses membuat keputusan antarabangsa.

Bagi memastikan NAM tidak tersisih daripada barisan depan pembuat keputusan antarabangsa, para pemimpinnya berikrar untuk lebih pro aktif dalam perkembangan dunia terutama yang memberi kesan kepada anggota pergerakan itu.

Mereka juga bersetuju meningkatkan kemampuan negara masing-masing bagi menguatkan ketahanan individu dan kolektif, dan mengukuhkan kerjasama Selatan-Selatan dalam semua bidang khususnya politik, sosial, ekonomi, sains dan kebudayaan.

Bagi meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggota NAM, para pemimpin itu berharap untuk menggalakkan hubungan yang lebih dinamik dan bekerjasama dengan negara maju, berasaskan penglibatan membina, perkongsian luas, dan faedah bersama.

Mereka juga komited untuk menggalakkan interaksi dan kerjasama lebih erat dengan pertubuhan masyarakat madani mereka, sektor awam dan anggota parlimen atas pengiktirafan bahawa mereka juga boleh memainkan peranan membina untuk mencapai matlamat bersama.

Dalam mengejar matlamat ini, negara-negara anggota NAM akan melaksanakan langkah-langkah berikut:

* Mengkaji semula dan menilai kedudukan NAM terhadap isu-isu antarabangsa bagi menggabungkan faktor kesamaan di kalangan negara anggota dengan menumpukan kepada isu yang menyatukan daripada memisahkan mereka, dengan itu mengukuhkan perpaduan dan keutuhan pergerakan ini;

* Mengkaji dan mendefinisikan semua peranan NAM dan membaiki struktur dan metodologinya, termasuk perlunya bagi dokumentasi yang lebih fokus dan padat, bagi menjadikannya lebih efektif dan efisien;

* Meningkatkan penyelarasan dan kerjasama menerusi mesyuarat-mesyuarat tetap Biro Penyelarasan di New York dan Geneva, dan pusat-pusat lain, sekiranya perlu, dengan pandangan untuk memberi tindak balas, mengikut masa, terhadap perkembangan antarabangsa yang menjejaskan pergerakan dan anggotanya;

* Memanfaatkan sepenuhnya dan secara efektif mekanisme dan institusi sedia ada, seperti Troika, Biro Penyelarasan dan semua kumpulan kerja, jawatankuasa, Perundingan Majlis Keselamatan Negara-negara Berkecuali, dan menubuhkan yang baru, apabila perlu;

* Memanfaatkan dengan lebih efektif mesyuarat Menteri-menteri Luar NAM menerusi lebih banyak sesi interaktif serta menggalakkan interaksi dan penglibatan menteri-menteri lain yang berkaitan ke arah meningkatkan keberkesanan dan profil pergerakan;

* Memperkukuhkan peranan Pengerusi, selaku jurucakap pergerakan, menerusi pengwujudan mekanisme yang sesuai sebagai sebahagian daripada sistem sokongan yang diperlukan;

* Memperkukuhkan penyelarasan dan kerjasama, dan merumuskan strategi bersama mengenai sosio-ekonomi dan isu-isu berkaitan pembangunan, dengan Kumpulan 77 menerusi mesyuarat biasa dan mesyuarat yang lebih kerap Jawatankuasa Penyelarasan Bersama (JCC);

* Membuat susulan keputusan-keputusan yang dibuat pada Perhimpunan Agung Millennium PBB dan forum antarabangsa lain seperti mesyuarat perdagangan antarabangsa Doha, persidangan mengenai pembiayaan pembangunan Monterrey dan Sidang Kemuncak Dunia bagi Pembangunan Mapan Johannesburg sebagai amat penting dalam menangani keperluan mendesak negara membangun, seperti pembasmian kemiskinan, beban hutang dan kapasiti pembangunan;

* Mengukuhkan kerjasama Selatan-Selatan melalui peningkatan kerjasama serantau dan antara rantau, melaksanakan projek dan program konkrit, menggembleng sumber dan mempergunakan sumbangan tokoh-tokoh dan institusi;

* Terus menyokong program antarabangsa bagi Afrika terutama menerusi NEPAD, Negara Mundur, Negara Dilingkungi Daratan dam Negara Pulau Kecil Membangun; dan

* Menggalakkan dialog konstruktif dan interaksi dengan rakan pembangunan terutama G-8 menerusi mekanisme baru dan sedia ada termasuk hubungan yang telah diinstitusikan, agar menyuburkan kefahaman antara Utara dan Selatan dan memastikan pandangan NAM diambil kira sebelum sebarang keputusan penting dibuat.

Para pemimpin NAM bersetuju bahawa pergerakan itu telah memainkan peranan aktif, malahan utama, sejak bertahun lamanya terhadap isu yang prihatin dan penting bagi anggotanya.

Isu-isu ini termasuk pembebasan dari penjajahan, aparteid, keadaan di Palestin dan Asia Barat, pelucutan senjata, pembasmian kemiskinan dan pembangunan sosio ekonomi.

Dengan kemunculan amalan unipolar, trend ke arah unilateralisme, peningkatan cabaran dan ancaman baru, para pemimpin itu bersetuju bahawa adalah amat penting bagi NAM untuk menggalakkan multilateralisme untuk mempertahankan kepentingan negara membangun dan menghalang daripada mereka dipinggirkan.


Arkib Bancian

 

Utusan Melayu (M) Bhd.

46M, Jalan Lima Off

Jalan Chan Sow Lin,

55200 Kuala Lumpur.
E-mel:
online@utusan.com.my