Tarikh: 21 Januari 2019


OIC2003 :: BERITA

17/10/2003
Dr M kecam media Barat kerana putar belit ucapannya

Dr M kecam media Barat kerana putar belit ucapannya

PUTRAJAYA 17 Okt - Sambil menyifatkan dirinya sebagai menentang keganasan, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengecam media Barat kerana memutarbelitkan ucapannya pada pembukaan Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke-10 semalam dan menggambarkan beliau sebagai anti-Semitik.

"Ini (apa yang dikatakannya dalam ucapan itu) merupakan fakta sejarah dan untuk memberitahu saya bahawa saya tidak boleh menyebut fakta sejarah ialah menafikan hak saya terhadap kebebasan berucap. Saya harap, tolong jangan memutar belit dan menyalahtafsirkan saya," kata beliau.

Dr Mahathir berkata demikian pada persidangan media yang penuh sesak dengan wakil media pada akhir Sidang Kemuncak OIC ke-10 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Putrajaya di sini.

Dalam ucapannya pada pembukaan Sidang Kemuncak OIC semalam, Dr Mahathir menggesa supaya ditamatkan semua keganasan serta pembunuhan termasuk pengebom berani mati serta tindak balas besar-besaran dan masyarakat Islam juga perlu berfikir terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

"Dalam perkataan lain saya menentang kekejaman, menentang keganasan, tetapi ucapan saya berkaitan perkara ini tidak diberi perhatian, sebaliknya saya dituduh bersifat anti-Semitik. Sudah tentunya anda menyedari bahawa masyarakat Arab juga orang Semitik, jadi bersikap anti-Semitik bermakna saya menentang Arab dan juga Yahudi. Ini adalah adil memandangkan saya menentang kedua-duanya, bukan hanya satu," kata beliau.

Semalam, Dr Mahathir berkata: "Yahudi memerintah dunia dengan menggunakan proksi. Mereka menggunakan orang lain untuk berperang dan mengorbankan nyawa bagi pihak mereka."

Dr Mahathir memberitahu pemimpin 57 negara Islam bahawa umat Islam tidak ada pencapaian dalam perjuangan 50 tahun menentang Israel dan beliau mencadangkan taktik politik dan ekonomi digunakan dalam perjuangan itu bagi menggantikan peperangan.

Kenyataannya itu, yang diberikan tumpuan oleh media Barat, menerima kritikan tajam dari Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan Australia, dengan Britain memanggil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke London untuk memberikan penjelasan terhadap kenyataan Dr Mahathir itu.

Beliau turut dilabelkan antara lain sebagai anti-Semitik oleh para pemimpin negara-negara berkenaan dan beberapa orang daripada mereka mencadangkan agar Dr Mahathir menghentikan kritikannya yang lantang ke atas negara-negara Barat.

Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin Islam yang menghadiri sidang kemuncak itu hari ini berkata, ucapan Perdana Menteri sama sekali bukanlah anti-Semitik, tetapi hakikatnya ialah untuk mengemukakan fakta.

"Hakikatnya apa yang saya nyatakan mengenai Yahudi atau Arab atau Eropah, semuanya berdasarkan fakta. Inilah yang sebenarnya berlaku dan inilah tanggapan saya terhadap perkara itu," kata Dr Mahathir pada persidangan media berkenaan.

Mengenai cadangan agar sesuatu dilakukan supaya beliau berhenti dari mengeluarkan kenyataan, Perdana Menteri berkata, cadangan itu bertentangan dengan penganjuran kebebasan bersuara, yang diperjuangkan oleh negara-negara Barat.

"Saya agak terperanjat apabila ada pihak yang mencadangkan bahawa saya sepatutnya berhenti dari membuat apa juga kenyataan.

"Banyak orang membuat kenyataan yang menyakitkan hati mengenai kita, umat Islam. Mereka menggelarkan orang Islam sebagai pengganas, malah mereka juga mengatakan bahawa Nabi Muhammad merupakan seorang pengganas," kata beliau lagi.

Beliau berkata, mereka yang membuat kenyataan seumpama itu tidak dipersalahkan, tetapi jika beliau yang mengeluarkan kenyataan yang tidak memihak kepada Yahudi, beliau akan dituduh sebagai anti-Semitik.

Sekiranya masyarakat Islam boleh dituduh sebagai pengganas, maka pihak lain juga boleh menuduh Yahudi sebagai pengganas, katanya lagi.

Mengenai reaksi pemimpin Barat terhadap ucapannya, Dr Mahathir berkata: "Hakikatnya ialah mereka berat sebelah, kebanyakan daripada mereka berat sebelah, bukan semua, tetapi kebanyakan daripada mereka.

``Saya minta maaflah untuk menyatakan bahawa kewibawaan semua pemimpin seperti ini adalah sifar,'' katanya.

"Mereka merasakan bahawa adalah wajar untuk mengkritik umat Islam dan Arab, tetapi tidak patut untuk mengkritik masyarakat Eropah serta Yahudi.

"Apa yang jelas, mereka merasakan mereka adalah orang yang istimewa tetapi kami tidak fikir begitu. Kami tidak fikir sesiapapun mempunyai keistimewaan, jika anda boleh mengkritik kami, kami juga mempunyai hak untuk mengkritik mereka," katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau bukanlah anti-Barat tetapi hanya menyatakan fakta dan "saya rasa yang saya mempunyai hak untuk menyatakan fakta seperti orang lain juga."

Beliau berkata daripada kritikan yang beliau terima berikutan ucapan itu, kelihatan terdapat mereka yang tidak menghargai cadangannya agar semua tindakan keganasan dihentikan.

Beliau berkata, golongan ini mahu supaya tindakan keganasan diteruskan dan ini mungkin akan memberikan mereka alasan untuk mengambil tindakan terlebih dahulu terhadap mana-mana negara.

Beliau berkata idea beberapa negara Barat bahawa tindak balas secara besar-besaran merupakan satu-satunya cara untuk menangani keganasan adalah tidak tepat dan "tidak akan berhasil."

"Apa yang saya katakan dalam ucapan itu ialah kita perlu berhenti berbunuhan sesama sendiri, kita perlu menghentikan kaum Yahudi daripada membunuh orang Arab, manakala orang Arab berhenti dari membunuh orang Yahudi, kita perlu menghentikan tindakan keganasan seperti apa yang berlaku di Bali.

"Sebaliknya, kita perlu merenung sejenak, kita perlu berfikir dan mencari strategi. Hakikatnya umat Islam telah ditindas dan adalah hak mereka untuk memikirkan jalan keluar bagi mengelak rakyat mereka dari terus ditindas.

"Sekiranya mereka mempunyai senjata pemusnah besar-besaran untuk digunakan terhadap umat Islam, tidakkah mereka (umat Islam) dibenarkan untuk melindungi diri sendiri... tanpa senjata pemusnah besar-besaran tetapi sekurang-kurangnya mempertahankan diri sendiri dengan satu-satunya cara yang boleh mereka lakukan," kata beliau lagi.

Dr Mahathir berkata, adalah tidak adil dan manifestasi berat sebelah terhadap umat Islam kerana mereka tidak dibenarkan mengkritik Yahudi tanpa digelar sebagai anti-Semitik, sebaliknya kaum Yahudi dan lain-lain boleh menggelar umat Islam sebagai pengganas.

"Terdapat juga pengganas lain, terdapat pengganas Kristian, pengganas Protestan, pengganas Katholik di Ireland Utara, terdapat pengganas Hindu dan malahan pengganas Buddha dan begitu pun, apabila mereka melakukan tindakan ganas tiada siapa pernah mengambil kira agama mereka," katanya.

Hakikat fakta sejarah bahawa penduduk Palestin diusir dari rumah mereka dan tanah mereka diberikan kepada kaum Yahudi tidak dapat dinafikan oleh sesiapa.

"Ini ialah fakta sejarah. Adakah kita tidak patut menyebutnya," kata Dr Mahathir. - Bernama




 

Utusan Melayu (M) Bhd.

46M, Jalan Lima Off

Jalan Chan Sow Lin,

55200 Kuala Lumpur.
E-mel:
[email protected]