20 Januari 2019
 
 
 

 

 

 BERITA 09/09/2001
Skuad hoki lelaki negara diingat jangan dabik dada

Skuad hoki lelaki negara diingat jangan dabik dada

NORZAILA ROSLI
PERCATURAN di atas kertas sememangnya berpihak kepada skuad hoki lelaki negara bagi menggondol pingat emas dalam kancah Sukan SEA XXI ini.

Namun, kedudukan selaku pasukan ke-10 terbaik dunia tidak harus dijadikan alasan untuk pasukan negara mendabik dada kerana bak kata pepatah silap langkah badan yang binasa.

Siapa tahu, Singapura yang tidak pernah menampakkan kelibatnya dalam sebarang kejohanan antarabangsa sejak Sukan SEA dua tahun lalu dalam diam-diam akan menunjukkan taringnya.

Menyingkap kepada sejarah pertandingan, negara pernah diaibkan oleh Singapura pada 1973 yang menyebabkan pingat emas terlepas daripada genggaman.

Sudah pasti, kesilapan membariskan kesemua pemain pelapis pada waktu itu kerana menyiapkan pasukan senior untuk Kejohanan Piala Dunia 1975 di Kuala Lumpur tidak akan berulang.

Menurut Ketua Pasukan, Datuk R. Yogeswaran, sebagai skuad terbaik dan disegani di rantau ini, sudah pasti pasukan lain akan menurunkan pemain terbaik ketika menentang pasukan negara.

``Kita tidak boleh memandang ringan setiap perlawanan kerana semua pasukan sudah pasti akan memberikan saingan sengit kepada kita selaku tuan rumah,'' katanya.

Justeru, beliau memberitahu, pasukan negara akan terus mengekalkan tempo dan kompleksiti permainan dalam setiap perlawanan bagi mengesahkan pingat emas tetap berada dalam genggaman.

Menurut Yogeswaran, beberapa perubahan terutama dari segi posisi pemain akan dilakukan dalam perlawanan nanti.

``Kita akan mengubah posisi pemain berdasarkan kelemahan dan kekuatan yang telah dikenal pasti semasa Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang lalu,'' ujarnya.

Berbanding Singapura, pasukan Thailand dan Indonesia agak mudah diratah oleh anak-anak buah Paul Lissek yang sudah cukup bersedia untuk beraksi dalam temasya kali ini.

Kelibat pemain senior seperti Minarwan Nawawi selaku ketua pasukan, Maninderjit Singh, S Kuhan, Nor Azlan Bakar, Suhaimi Ibrahim dan Chairil Anuar sebenarnya sudah memadai untuk membayangkan kekebalan pasukan negara.

Bagi pemain pelapis pula, temasya ini merupakan medan penting untuk mereka mempamerkan persembahan terbaik sebagai pemilihan ke Kejohanan Piala Dunia 2002 di Kuala Lumpur, Februari depan.

Dalam pada itu, impian skuad hoki wanita negara untuk mencipta hatrik dilihat bakal terancam.

Ranjau yang terpaksa dihadapi oleh anak buah Benedict Arias tampak lebih perit terutama apabila berdepan musuh tradisi, Singapura pada 12 September ini.

Sebelum ini skuad negara berjaya membawa pulang pingat emas di Jakarta pada 1997 dan Brunei 1999.

Kalau sebelum ini, Thailand merupakan pencabar kuat pasukan negara tetapi pasukan republik itu dijangka bakal berbisa pada temasya ini.

Dengan kehadiran enam atau tujuh pemain dari China untuk menguatkan barisan pemain mereka, Singapura dijangka mampu menggugat barisan kebangsaan.

Setakat ini kekuatan pasukan itu tidak dapat diduga kerana mereka gemar merahsiakan persiapan selain menolak untuk mengadakan sebarang perlawanan persahabatan dengan skuad negara.

Bagaimanapun, perkembangan ini tidak seharusnya membimbangkan pemain negara yang sepatutnya menganggap pertemuan dengan Singapura nanti sebagai satu cabaran.

Malah persediaan intensif sejak dua tahun lalu mampu memberi keyakinan dan meniup semangat baru kepada barisan srikandi negara.

Malaysia juga mempunyai kelebihan dari segi pengalaman memandangkan sembilan atau 10 pemain yang pernah mewakili negara pada Sukan SEA di Brunei akan mewakili negara pada temasya kali ini.

Pemain-pemain senior seperti D Devalela, Rosmimi Jamalani, Munaziah Mulim dan Che Inan Melati sudah pasti dapat membantu pasukan tersebut beraksi cemerlang di Stadium Hoki Nasional nanti.

Semoga kelebihan beraksi di gelanggang sendiri juga dapat merealisasikan impian rakyat Malaysia melihat kedua-dua pasukan hoki lelaki dan wanita negara berdiri selaku juara di atas rostrum.

 
Tajuk-tajuk Berita
  • Bumi Malaysia undang tuah buat kontinjen
  • Teruskan kecemerlangan- PM
  • Kejayaan atlet, kejayaan semua pihak
  • Catat 42 rekod baru, 1 rekod Asia
  • Temasya sukan Asia Tenggara ditutup
  • Qabil, Supavadee jadi atlet terbaik
  • Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil
  • Supavadee Khaw Peag
  • Reviu acara Sukan SEA XXI
  • Penyumbang pingat negara
  • Pulau Pinang pun hujan emas
  • Reviu prestasi atlet luar
  • Akuatik sumbang emas terbesar
  • Skuad badminton capai kejayaan
  • Punca misi basikal negara tenggelam
  • Saya masih mahu beraksi- Rosman
  • Pelumba basikal punyai bakat besar
  • Gagal tambah emas ekuestrian
  • Gimnastik sumbang emas kedua terbesar
  • Pencapaian golf tersasar dari harapan
  • Malaysia terus dominasi hoki
  • Judo ditutup tanpa kilauan emas
  • Karate-do lakar sejarah gemilang
  • Bola keranjang terus sumbang pingat
  • Janji manis olahraga bawa padah
  • Pingpong: Belum boleh berbangga
  • Pasukan renang atasi sasaran
  • Malaysia terlalu unggul dalam skuasy
  • Pingat emas terakhir Sukan SEA
  • Harapan baru sepak takraw lebur
  • Jadi landasan untuk lahirkan jaguh
  • Sapu bersih emas acara terjun
  • Pencapaian wusyu membanggakan


  • © UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
    E-mail: [email protected]