23 Januari 2019
 
 
 

 

 

 BERITA 18/09/2001
Malaysia terus dominasi hoki

Malaysia terus dominasi hoki

NORZAILA ROSLI
SKUAD hoki lelaki dan wanita ternyata mengotakan janji menyumbang dua emas kepada negara dalam temasya Sukan SEA XXI sekali gus mempertahankan takhta selaku dominasi hoki di rantau Asia Tenggara.

Berbanding lelaki, cabaran buat skuad wanita dilihat lebih getir terutama dari musuh ketat, Thailand yang telah menjalani persiapan rapi selama sebulan di Korea Selatan sebelum bertandang ke Kuala Lumpur.

Pasukan negara jiran itu hampir melakukan kejutan ke atas skuad negara pada perlawanan akhir apabila mendahului penuh yakin dalam permainan separuh masa pertama yang berkesudahan 2-0.

Berbekalkan pengalaman dan dibantu dengan sokongan padu para penonton, khemah Malaysia kembali ceria apabila pemain negara berjaya menyamakan kedudukan sehingga tamat perlawanan.

Perlawanan akhir yang berlanjutan sehingga masa tambahan berakhir dalam suasana yang penuh cemas dan dramatik apabila kedua-dua pasukan terpaksa mengambil pukulan penalti untuk menentukan juara.

Pemain paling senior dalam skuad negara, Rosmimi Jamalani memastikan pengalaman tujuh kali menyertai temasya yang sama dipergunakan sebaiknya dalam saat-saat getir tersebut dan berjaya menyumbangkan gol kemenangan negara.

Sudah pasti, kemenangan tersebut adalah yang paling manis buatnya yang hanya sempat menjalani latihan selama dua bulan sebelum dipujuk untuk melanjutkan hasratnya untuk bersara.

Terdahulu, dalam perlawanan peringkat awal, pasukan negara telah menumpaskan Thailand dengan 3-1, Singapura 3-1 dan Indonesia 9-0 dengan jumlah kutipan mata penuh sebanyak sembilan mata.

Menurut pengurus pasukan skuad hoki wanita negara, Lum Sau Foong, kejayaan mencipta hatrik kemenangan tiga musim berturut-turut membuktikan pemainnya telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam setiap perlawanan.

"Mereka bermain dalam semangat juang yang tinggi walaupun berhadapan dengan tekanan untuk mempertahankan gelaran,'' katanya ketika mengulas tentang perlawanan akhir bertemu Thailand.

Kegembiraan menenangi pingat emas hanya sempat dirasai seketika kerana terpaksa bergegas pulang sejurus selepas jalur gemilang dikibarkan untuk berlepas ke Perancis bagi menyertai pusingan kelayakan Kejohanan Dunia 2002.

Semoga pingat emas yang dimenangi pada kejohanan Sukan SEA kali ini akan menjadi azimat kepada para srikandi negara bagi mempamerkan persembahan cemerlang ketika beraksi dala kejohanan tersebut yang sedang berlangsung ketika ini.

Dalam pada itu, skuad hoki lelaki negara pula ternyata terlalu gagah untuk ditandingi oleh mana-mana pasukan dalam temasya ini.

Kedudukan selaku pasukan ke-sepuluh terbaik dunia ternyata belum mampu digugat oleh mana-mana pasukan di Asia Tenggara yang dibelasah teruk dalam setiap perlawanan.

Dalam perlawanan akhir menentang Singapura, Malaysia meratah pasukan republik itu 8-1 untuk menghadiahkan satu pingat emas untuk negara sebelum temasya berakhir.

Bagi skuad hoki lelaki, kejohanan Sukan SEA hanyalah sebagai pemanas badan buat mereka yang sedang giat berlatih untuk persiapan menghadapi Kejohanan Piala Dunia 2002 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur tahun depan.

Namun begitu, prestasi yang dipamerkan sepanjang temasya ini bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan ukuran kemampuan mereka kerana lawan yang ditemui bukanlah tandingan sebenar.

Menurut pengurus pasukannya, Datuk R Yogeswaran, permainan anak buahnya belum ditahap membanggakan pada kejohanan ini walaupun berjaya menyumbangkan gol dan memenangi setiap perlawanan dalam jumlah jaringan yang besar.

''Dengan jumlah pukulan sudut pendek yang diperolehi sepanjang kejohanan ini, kita sepatutnya mampu menghasilkan lebih banyak jaringan.

''Sikap pemain yang terlalu gemar memegang bola terlalu lama juga mencacatkan permainan dan perlu diatasi segera,'' katanya.

Bagaimanapun, menurut Yogeswaran, tahap kecergasan para pemainnya dilihat semakin meningkat berdasarkan persembahan masing-masing.

Beliau menambah, selain mengemaskan lagi set-piece untuk pukulan sudut pendek, beliau akan memastikan para pemainnya bekerja keras untuk mencapai ke suatu tahap permainan yang lebih sempurna sebelum berhadapan dengan gergasi dunia nanti.

 
Tajuk-tajuk Berita
  • Bumi Malaysia undang tuah buat kontinjen
  • Teruskan kecemerlangan- PM
  • Kejayaan atlet, kejayaan semua pihak
  • Catat 42 rekod baru, 1 rekod Asia
  • Temasya sukan Asia Tenggara ditutup
  • Qabil, Supavadee jadi atlet terbaik
  • Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil
  • Supavadee Khaw Peag
  • Reviu acara Sukan SEA XXI
  • Penyumbang pingat negara
  • Pulau Pinang pun hujan emas
  • Reviu prestasi atlet luar
  • Akuatik sumbang emas terbesar
  • Skuad badminton capai kejayaan
  • Punca misi basikal negara tenggelam
  • Saya masih mahu beraksi- Rosman
  • Pelumba basikal punyai bakat besar
  • Gagal tambah emas ekuestrian
  • Gimnastik sumbang emas kedua terbesar
  • Pencapaian golf tersasar dari harapan
  • Malaysia terus dominasi hoki
  • Judo ditutup tanpa kilauan emas
  • Karate-do lakar sejarah gemilang
  • Bola keranjang terus sumbang pingat
  • Janji manis olahraga bawa padah
  • Pingpong: Belum boleh berbangga
  • Pasukan renang atasi sasaran
  • Malaysia terlalu unggul dalam skuasy
  • Pingat emas terakhir Sukan SEA
  • Harapan baru sepak takraw lebur
  • Jadi landasan untuk lahirkan jaguh
  • Sapu bersih emas acara terjun
  • Pencapaian wusyu membanggakan


  • © UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
    E-mail: [email protected]