20 Januari 2019
 
 

 

 

UCAPAN

UCAPAN

AZALINA OTHMAN SAID
KETUA PENAJA PUTERI UMNO MALAYSIA


SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2001
PADA 21 JUN 2001

 

Bismillahirrahmannirahim. 
Rabbisyrahlisodri wayassirliamrii wahlul ukdatan minlissani yafqahu kauli.

"Dengan nama Allah saya mulai dan saya bertawakal kepada Allah, dan menyerahkan kepada Allah, cukuplah Allah tempat saya berpegang dan bertawakal, tidak ada yang lebih kuat dan kuasa hanya Allah yang maha Tinggi dan maha Esa.


Baru 105 hari kami meniti
Kini berada di 13 negeri
Terima kasih kepada Presiden Parti
Ucapan ikhlas dari Puteri

Burung Kedidi di dahan Delima
Bunga Kantan jadi perhiasan 
Munculnya Puteri kali pertama
Itu tanda penerimaan.


Ybhg. Tun Pengerusi Tetap
YAB Presiden
YAB Timbalan Presiden, 
Naib-Naib Presiden, 
Barisan kepimpinan Majlis Tertinggi, 
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, 
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, 
Rakan-Rakan Puteri
para perwakilan dan para pemerhati yang saya kasihi,.


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh. 

Mewakili Puteri UMNO, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Presiden kita di atas ucapan perasmian YAB. Saya yakin ucapan ini akan menjadi panduan dan arah tuju kepada perwakilan sewaktu persidangan ini, dan di hari-hari yang akan datang - Insya Allah.


Tun Pengerusi Tetap, Saudara-saudari,

Puteri UMNO ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAB Presiden serta Timbalan Presiden atas peluang yang amat besar ini bagi wanita Melayu muda untuk bersuara, berkhidmat dan berjuang dalam UMNO. 

Puteri UMNO sedia maklum, tanpa sokongan, tanpa dorongan, tanpa bimbingan, tanpa doa semua warga tidak mungkin kami, wanita Melayu muda dapat memikul amanah yang begitu berat dalam membantu perjuangan UMNO. Apa lagi untuk turut serta dalam menyahut cabaran yang kini dihadapi oleh UMNO. 


Tun Pengerusi Tetap,Saudara/i

Puteri UMNO amat menghargai keputusan barisan kepimpinan UMNO untuk memberi ruang dan peluang kepada wanita Melayu muda untuk sama-sama menceburkan diri dalam politik. Juga, sama-sama menyumbang kepada UMNO. 

Bagi kami, ini membuktikan bahawa UMNO memang sentiasa peka dan relevan dengan zaman. Dan, ini dibuktikan dengan membuka kepercayaan kepada generasi muda untuk memainkan peranan yang lebih besar dan bersikap tanggungjawap kepada agama, bangsa dan negara. 

Puteri ingin bersama-sama dengan UMNO menyangkal penyelwengan Pas terhadap wanita dan seterusnya Islam.

Mereka menafikan apa yang terkandung dalam sejarah, dalam hadis dan Al-Quran. 

Saya terkilan dengan sikap pemimpin Pas. Mereka sanggup menidakkan penyertaan wanita dalam politik. Pemimpin Pas dengan lantang mengatakan situasi semasa tidak sesuai untuk wanita bergiat secara aktif dalam politik; apatah lagi melibatkan wanita generasi muda, generasi Melayu yang memang berkobar-kobar untuk berjuang bersama pemimpin yang sedia ada.

Sebenarnya, yang lapuk pemikiran dan ketinggalan zaman bukannya UMNO, tetapi Pas! Umum mengetahui bahawa penglibatan kaum wanita dalam Pas hanya sebagai "window dressing" - baru sekarang, itu pun setelah dikecam oleh rakan sendiri, baru nak ingat dekat kita. Mereka putar-belitkan agama kita yang suci semata-mata untuk memenuhi matlamat yang sempit. Kita tahu parti yang menamakan dirinya Islam itu bukan sahaja tidak mempunyai kepercayaan terhadap wanita, tetapi sememangnya mahu meletakkan wanita jauh di belakang, sedangkan Islam sendiri tidak pernah mendiskriminasi wanita. Adakah kita sanggup membiarkan Pas terus menidakkan hak kaum wanita? Sudah tentu jawapannya tidak.

Apalah salahnya Puteri sehingga dihina, dituduh menggunakan pendekatan Zionis. Apakah dosa yang telah kami lakukan sehingga dihukum sedemikian rupa? Siapa pula pemimpin Pas itu untuk menjatuhkan hukuman kepada kami? Kami anak Melayu. 

Kami lahir dari jerih-perih bapak-bapak dan ibu kami yang sayang dan cintakan UMNO. Kami lahir dari benih bangsa yang berjuang untuk memerdekakan bangsa dan negara ini. Kalau pemimpin Pas dengan sengaja menafikan sejarah kecemerlangan UMNO membina bangsa dan negara merdeka, janganlah menghina orang lain. Dalam Islam sendiri tidak pernah diizinkan penghinaan dan fitnah. Masing-masing tahu hukuman ke atas manusia yang melontarkan fitnah kepada orang lain.

Menghina Puteri bererti menghina UMNO. Menghina UMNO bererti menghina bangsa Melayu dan agama Islam.

Sebab itulah saudara saudari, ramai wanita Melayu muda mendekati dan menyokong UMNO. UMNO insyallah akan terus menjadi parti tunjang dalam kerajaan dan menguasai arena politik negara. Sifatnya yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan sangat dinamik lagi progresif menjadi penarik kepada wanita. 

Puteri UMNO merasakan kewujudannya adalah satu amanah besar. Namun, apa yang lebih penting, kaum wanita di Malaysia melihat penubuhan Puteri UMNO ini sebagai sokongan berterusan dan pandangan jauh UMNO terhadap sumbangan besar wanita. 

Ini kerana wanita merupakan 48.8% daripada sumber tenaga kerja negara ini.

Bagi wanita Melayu daripada segenap peringkat umur, UMNO sahajalah pilihan yang terbaik bagi mereka.

Puteri turut mahu menyangkal tuduhan bahawa UMNO sememangnya tidak mampu menarik minat golongan generasi muda. Sambutan yang begitu menggalakkan atas penubuhan Puteri UMNO oleh wanita Melayu Muda dari semua lapisan masyarakat, jelas menunjukkan bahawa UMNO bukan sahaja relevan bagi generasi semasa, malah menjadi pilihan hati bagi golongan ini. Puteri UMNO berjanji bahawa generasi Wanita Melayu Muda kini, akan menjadi rakan terbaik dalam pembangunan bagi parti kita dan juga negara. UMNO telah menunjukkan bahawa ia faham bahawa generasi muda perlu diberikan peluang untuk menyuarakan aspirasi dan pandangan mereka. Dengan itu kami Puteri UMNO telah menyambut cabaran yang telah dilontarkan kepada golongan Wanita Melayu muda untuk membuktikan kemampuan kami untuk turut sama berjuang di sisi abang-abang dan kakak-kakak kami dalam meneruskan kepentingan Melayu di dalam negara Malaysia ini. 

Puteri UMNO tahu bahawa kami terdiri dari golongan hasil titisan darah, peluh dan usaha tenaga orang Melayu - dari nenek moyang kami yang berjaya melawan penindasan penjajah, dari pengasas-pengasas negara-bangsa yang menanamkan benih-benih negara merdeka, dan dari ibu-ibu dan bapak-bapak, abang-abang dan kakak-kakak yang terpaksa menempuhi detik-detik pahit dan kesusahan dalam proses pembinaan serta pembangunan sebuah bangsa yang berbilang kaum. Kami Puteri UMNO adalah hasil usaha kerajaan untuk meningkatkan keupayaan, kedudukan serta martabat bangsa Melayu pasca 1969. Kami amat berterima kasih kepada mereka yang telah begitu bersusah payah menyumbang titisan darah, peluh dan air mata, semata-mata supaya kami generasi kini dapat diberi dan dapat menikmati segala jenis peluang yang tidak mereka perolehi. Puteri UMNO amat menghargai pengorbanan mereka, dan Puteri UMNO ingin membalas jasa. Insyallah, kami akan buktikan kemampuan kami. Sesungguhnya kami Puteri UMNO sudah bersedia, mahu dan mampu melakukannya!

Justeru, menyedari peranan wanita dan golongan muda amat penting dalam pembangunan sahsiah negara, kerajaan dengan murah hati telah memberi peruntukan yang besar dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK 8). 

Penekanan diberikan kepada pembinaan hospital khas untuk wanita, Akta Pekerja 1955 yang akan digubal semula untuk membolehkan wanita bekerja dalam waktu anjal. 

Turut ditekankan ialah keseragaman dalam perlaksanaan undang-undang syariah di setiap negeri. Ini kerana wanita sering didiskriminasikan apabila mereka ke mahkamah syariah. 

Program latihan terhadap wanita dalam bidang IT dan teknologi komunikasi juga diberikan tumpuan khas terutama wanita luar bandar. Ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan masyarakat celik komputer. 

Puteri menuju ke arah itu. Puteri menjunjung cita-cita ini agar ia menjadi realiti bukan sekadar retorik atau mitos. Ini sinonim dengan falsafah kelahiran Puteri yang bertunjangkan perkhidmatan, pendidikan dan kesihatan. Kami sedia melakukannya!


Tun Pengerusi Tetap, saudara-saudari

2004 semakin hampir. Hanya beberapa tapak saja di hadapan kita. Langkah bukanlah percaturan. Langkah adalah perjuangan. Dan, langkah adalah kemenangan. Barisan Puteri sudah bersedia untuk berjuang bersama UMNO menghadapi pilihanraya. 

Kami telah mula berjuang di samping saudara dan saudari dalam membela mereka yang lemah, miskin dan kurang upaya. Dan juga ibu-ibu muda yang bersedia menyumbang kepada keluarga dan juga masyarakat. 

Kepada Wanita UMNO, kami menjanjikan sokongan dan komitmen untuk sama-sama berjuang demi agama bangsa dan negara. 

Kami dengan ikhlas hati bersedia untuk ditunjuk ajar, ditegur oleh sesiapa saja demi kepentingan parti dan bangsa. Kami akan buktikan bahawa kami adalah rakan seperjuangan yang boleh dijadikan dokongan. Kita akan tetap berganding di atas kekuatan kita sebagai wanita kerana kesemua pemimpin agung dilahirkan oleh wanita. Kita akan tetap berganding di atas kekuatan kita dan perpaduan kita sebagai wanita. Kaum wanita mungkin baru berkenalan dengan dunia politik, tetapi kaum wanita sudah lama mengenali dan tidak asing kepada penderitaan dan kesusahan. Insya-Allah, semakin ramai wanita akan memahami bahawa melalui politik, penderitaan dan kesusahan ini dapat kita atasi.

Kepada pengkritik Puteri sama ada di dalam atau di luar UMNO yang mempersoalkan cara dan gaya perlaksanaan Puteri serta tahap pengalaman yang masih mentah dalam ilmu politik, terima kasih diucapkan. 

Puteri dikritik kononnya lebih menekankan kepada senam robik, bola jaring, derma darah, gotong royong - yang bukan beragenda politik. Realitinya, Puteri adalah jambatan yang menghubungkan generasi pemimpin hari ini dengan generasi muda. Pengkritik lupa program-program politik yang diadakan oleh Puteri.

Bagaimanapun, pendekatan yang digunakan agak berbeza bagi memenuhi kehendak generasi muda. Perlu diingat generasi hari ini bukan generasi tahun 50-an atau 70-an. 

Mereka lebih berfikiran terbuka dan berani membuat perubahan apatah lagi mereka berhadapan dengan arus perdana, arus pasca moden. 

Apa yang berlaku kepada mereka hari ini adalah cita-cita UMNO satu ketika dulu. UMNO mahu membentuk generasi ini. ** UMNO mahu melahirkan generasi sebegini. ** Dan hari ini, UMNO telah berjaya menghasilkan generasi berwawasan 2020.

Kami tahu sebagai sayap baru, banyak mata yang memanah kepada Puteri. Ada yang juling, ada yang rabun dan ada yang tidak nampak langsung kebaikannya. 

Tetapi saya percaya, seluruh yang berada di dalam Dewan Merdeka ini tidak juling, tidak rabun, jauh sekali buta hati dan perasaannya. 

Meminjam kata-kata Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said ; ``Kita harus memandang dengan mata batin!" 

Beliau juga berkata : "Kita tidak tiba-tiba sampai di sini. Ada sejarah yang mengekori kita." 

Dalam konteks kita di dewan yang mulia ini, sejarah yang dimaksudkan ialah sejarah bangsa kita - sejarah UMNO, sejarah tentang bangsa Melayu. 

Maka, Puteri sentiasa ingat, sentiasa peka bahawa kami adalah pewaris sejarah yang akan meneruskan kesinambungan ketuanan Melayu. 

Kami juga belajar dari sejarah bahawa `bersatu itu teguh, bercerai itu roboh.'

Sungguhpun kami menghargai keprihatinan pengkritik, tetapi janganlah mengambil kesempatan sehingga mengkritik perkara yang tidak benar. 

Berikanlah kami peluang untuk bergerak mengikut acuan kami sendiri. 

Generasi kami mampu berfikir dengan bimbingan dan mampu menghadapi isu-isu yang mendatang. 

Kepada Pergerakan Pemuda UMNO, kami turut mengharapkan sokongan, terutama sekali dalam menghadapi cabaran masa hadapan. Corak dan warna masa depan negara diletakkan di bahu kita. Dan, besarlah harapan kami agar Pemuda dan Puteri akan dapat berkerja secara bersepadu dalam menentukan agenda masa depan negara. 

Marilah kita memukul rebana, turun bertempur. Kerana, masanya sudah tiba untuk bersemuka dengan musuh! Marilah, marilah, kita sama-sama menghapuskan mereka!

Saya percaya dengan gandingan padu ini, bersama berkat doa seluruh kerabat UMNO, Pemuda dan Puteri akan dapat menghadapi apa jua cabaran dalam memartabatkan demokrasi, pemerintahan jurus dan kesaksamaan yang diimpikan oleh warga Malaysia. Generasi muda UMNO bersedia mendukung hasrat murni parti, agama, bangsa dan negara.


Tun Pengerusi Tetap, saudara-saudari sekelian,

Harapan Puteri agar perpaduan di dalam UMNO menjadi asas perjuangan kita. 

Sebagai ahli UMNO, sifat hasad dengki dan benci-membenci wajar dikikis. 

Bersatulah! bersatulah kita menentang parti pembangkang. Berpadulah kita menghancurkan musuh UMNO! Janganlah kita menjatuhkan sesama kita hanya kerana jawatan dan kuasa. Tunjukkanlah kepada mereka bahawa manusia UMNO adalah yang terbaik. 

"Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar." 

Bagi Puteri, musuh kami bukan sesama ahli UMNO. Musuh kami, adalah Pas dan Keadilan. Saudara kembar inilah yang memecah-belahkan masyarakat Melayu hingga timbul kebencian sesama kita. 

Puteri UMNO mengucapkan syabas kepada Presiden dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi di atas apa sahaja tindakan difikir patut supaya politik wang dan rasuah dapat dihapuskan sebelum menjadi kanser dalam UMNO. Bantulah Puteri dengan menunjukkan sikap kepimpinan yang mithali kepada kami untuk meneruskan perjuangan. 

Sebagai adik yang bongsu, saya bersama ahli-ahli Puteri berasa yakin bahawa kita bersama-sama dapat membuktikan kepada dunia bahawa UMNO ini akan tetap "Dulu, Kini dan Selamanya !" 

Dan pesanan Puteri kepada semua Perwakilan "Kalau Takut Pada Cabaran, Jangan Panggil Diri Pejuang"

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

 


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: [email protected]