19 Januari 2019

UMNO2002 :: CORAT-CORET

21/06/2002
Cucu Senu hargai pencetakan semula buku Revolusi Mental

Cucu Senu hargai pencetakan semula buku Revolusi Mental

21/06/2002 10:03 p.m.

ISMAIL DAUD
KUALA LUMPUR 21 Jun - Cucu Tan Sri Senu Abdul Rahman, Sufi Yusuf terkejut kerana buku datuknya, Revolusi Mental yang ditulis 31 tahun lalu diterbitkan semula dalam usaha membangkitkan kembali kesedaran orang Melayu.

``Saya terkejut dengan pengedaran semula buku itu... kerana saya sendiri pun tidak pernah membacanya,'' kata beliau yang juga Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri.

Kumpulan Utusan mengambil inisiatif mencetak semula buku itu dan nashkah pertama buku telah diserahkan kepada Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Kata Sufi, usaha mencetak semua buku itu harus diberi pujian.

Menurutnya, apa yang lebih menarik, buku itu dicetak semula sewaktu orang Melayu cuba disedarkan sekali lagi bahawa mereka masih tidak berubah dan memerlukan satu revolusi mental.

``Usaha itu sangat relevan sekarang ketika kerajaan cuba mengubah pemikiran orang Melayu menjadi lebih progresif, kompetitif dan berdaya maju,'' katanya ketika ditemui sebelum pelancaran buku itu hari ini.

Sufi berkata, tajuk buku tersebut sudah jelas menggambarkan isi kandungannya yang mahukan orang Melayu mengubah pemikirannya untuk berjaya pada masa depan.

Menurutnya, walaupun beliau belum berpeluang membaca buku tersebut tetapi yakin buku itu mempunyai mesej penting untuk direnungi oleh semua orang Melayu.

``Buku itu bukan sahaja relevan pada waktu buku itu ditulis pada tahun 1971, tetapi juga pada masa ini kerana orang Melayu masih tidak banyak berubah,'' katanya.

Menurut Sufi, semasa hayatnya, datuknya itu yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO amat mementingkan pendidikan bukan sahaja kepada anak dan cucunya tetapi juga seluruh orang Melayu.

Katanya, sikap itu dibuktikan oleh datuknya apabila beliau pernah menghilangkan diri selama tujuh tahun semasa menjadi kelasi kapal untuk menuntut di Universiti California.

``Pada waktu itu, beliau masih belum menyertai mana-mana parti politik,'' katanya.

Sufi berkata, beliau tidak terkejut dengan penghasilan buku itu oleh datuknya memandangkan sikapnya yang mementingkan ilmu, dan mungkin beliau telah dapat melihat dan merasai kelemahan orang Melayu pada waktu itu.

[Keputusan]


 

 

Utusan Melayu (M) Bhd.

46M, Jalan Lima Off

Jalan Chan Sow Lin,

55200 Kuala Lumpur.
E-mel:
[email protected]