22 Januari 2019

UMNO2002 :: CORAT-CORET

21/06/2002
Orang Melayu digesa baca semula buku Revolusi Mental

Orang Melayu digesa baca semula buku Revolusi Mental

21/06/2002 10:03 p.m.

ZULKIFLI JALIL
KUALA LUMPUR 21 Jun - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menggesa orang Melayu membaca semula buku Revolusi Mental yang dihasilkan oleh UMNO selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 bertujuan meningkatkan prestasi orang Melayu.

Perdana Menteri berkata, buku yang dikeluarkan atas kesedaran pentingnya orang Melayu mengubah sikap pada masa itu wajar dibaca untuk dijadikan panduan dan rujukan meningkatkan prestasi diri.

Katanya, buku itu mengandungi penyelidikan yang cukup baik mengenai kedudukan orang Melayu termasuk bilangan mahasiswa mengikut kaum di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1968.

``Buat beberapa ketika kerana rusuhan kaum, ada cubaan untuk meningkatkan prestasi orang Melayu menerusi penerbitan buku itu.

``Tetapi selepas beberapa tahun, nampaknya mereka (orang Melayu) lupa balik (tidak menyelami mesej buku itu). Sebab itu, saya kata Melayu mudah lupa, dia lupa dah dan barangkali dia tak baca pun. Tak tahulah dengan benda-benda kecil ni payah nak baca... tak nampak,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menerima naskhah pertama buku `Revolusi Mental' yang diulang cetak daripada Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Khalid Mohd. pada hari kedua Perhimpunan Agung UMNO di sini.

Buku terbitan asal Utusan Melayu pada tahun 1971 itu kini dicetak sebanyak 3,000 naskhah dan telah diedarkan kepada para perwakilan UMNO.

Ia adalah karya bekas Setiausaha Agung UMNO, Allahyarham Tan Sri Senu Abdul Rahman. Antara panel penulis dalam buku berkenaan ketika itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Prof. Datuk Dr. Taib Osman.

Konsep revolusi mental dibangkitkan oleh Dr. Mahathir dalam wawancara dengan akhbar Mingguan Malaysia Ahad lalu, yang antara lain menekankan perlunya orang Melayu mengubah sikap dan pemikiran mereka ke arah lebih positif bagi menghadapi persaingan dunia yang semakin mencabar.

Menurut Dr. Mahathir, beliau sebenarnya tidak gusar dengan prestasi orang Melayu kerana ketika ini ada kalangan mereka mampu bersaing dengan orang lain termasuk di luar negara.

Cuma, tegasnya, beliau kecewa kerana bilangan orang Melayu yang mampu berbuat demikian agak sedikit.

``Itu yang jadi masalah, saya kecewa dengan jumlah mereka. Kita tak nafikan kejayaan mereka tetapi ia (masih) tidak mencukupi. Saya fikir kita boleh buat lebih baik lagi,'' katanya.

Sementara itu, Abdullah turut menggesa orang Melayu membaca buku `Revolusi Mental'.

Menurutnya, buku itu mengandungi pandangan tertentu cara bagaimana orang Melayu boleh mengubah minda dan sikap mereka ke arah lebih positif.

``Ini bermakna dalam hal ini, orang Melayu masih perlu mengubah sikap dan minda mereka,'' katanya.

Perutusan Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak pada 17 November 1970 dalam buku `Revolusi Mental' menekankan keperluan negara waktu itu (1970) yang amat bergantung kepada pemikiran yang rasional dan dinamis.

Kata Tun Razak: ``Kita sedar antara beberapa sebab orang Melayu tidak dapat menyertai dengan sepenuhnya usaha-usaha pembangunan ekonomi dan sosial ialah kemunduran daya pemikiran mereka yang berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan dikongkong oleh hidup yang kolot''.

[Keputusan]


 

 

Utusan Melayu (M) Bhd.

46M, Jalan Lima Off

Jalan Chan Sow Lin,

55200 Kuala Lumpur.
E-mel:
[email protected]