20 November 2018

UTUSAN MALAYSIA :: MUKA HADAPAN

05/11/2006
Sultan Johor mahu Tambak Johor diroboh untuk laluan kapal

Sultan Johor mahu Tambak Johor diroboh untuk laluan kapal

JOHOR BAHARU 4 Nov. – Sultan Johor, Sultan Mahmud Iskandar hari ini meminta Tambak Johor dibuka, atau dalam bahasa Johor dirobohkan, bagi memberi laluan kepada kapal-kapal menyeberangi Selat Tebrau, yang memisahkan Johor dan Singapura.

Baginda bertitah, kewujudan tambak yang dibina penjajah Inggeris itu, kini menghalang kapal-kapal daripada melalui Selat Tebrau, yang menyebabkan Johor sering menerima kutukan.

“Tu causeway tu (Tambak Johor) bukakan, baru negeri Johor ini maju,” titah baginda semasa merasmikan projek Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) di Teluk Danga di sini.

Tambak Johor sepanjang 3,465 kaki (1,050 meter) dari Johor Baharu ke Singapura, dibina pada tahun 1920 dengan keseluruhan strukturnya berukuran 60 kaki lebar (18.18 meter) dan menampung dua landasan keretapi serta jalan raya selebar 26 kaki (7.87 meter). Ia juga membawa paip air dari Johor ke Singapura dan sebaliknya serta kabel komunikasi. Sultan Johor yakin pembangunan SJER akan berjaya dengan kerjasama dan muafakat semua pihak.

Baginda berharap SJER akan membuka peluang kepada semua rakyat Johor dan faedahnya dinikmati semua peringkat masyarakat di negeri ini.

Sultan Mahmud Iskandar turut mengingatkan rakyat Johor agar mengambil iktibar daripada pengalaman nenek moyang zaman dahulu yang mudah ditipu oleh penjajah Inggeris.

“Kita ni jangan tak sedar, jangan kena tipu lagi,” titahnya.

Baginda turut berterima kasih kepada Kerajaan Pusat khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana memberi peruntukan besar untuk membangunkan ekonomi Johor.

Baginda kemudian meletakkan ikonik kapsul masa di tapak perasmian, yang akan disimpan sehingga 2025.

Sempena perasmian itu, projek SJER berharga berbilion ringgit yang diusahakan Khazanah Nasional, diberi nama baru, Wilayah Pembangunan Iskandar.

Projek itu melibatkan pelaburan berjumlah RM47 bilion untuk tempoh lima tahun (2006-2010) dan pelaburan berjumlah RM335 bilion bagi tempoh 15 tahun lagi (2011 hingga 2025).

– Bernama

[Keputusan]


 

 

© Utusan Melayu (M) Bhd.

46M, Jalan Lima Off

Jalan Chan Sow Lin,

55200 Kuala Lumpur.
E-mel:
[email protected]