19 Januari 2019

UTUSAN MALAYSIA :: MUKA HADAPAN

08/02/2011
Shuhaimi didakwa menghasut

Shuhaimi didakwa menghasut

oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
[email protected]


SHuhaimi Shafiei (kiri) diiringi penyokongnya hadir di Mahkamah Sesyen di Shah Alam, semalam. - bernama

SHAH ALAM 7 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menerbitkan artikel menghasut berhubung pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di laman blognya pada akhir tahun lalu.

Wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar.

Dia yang memakai suit hitam dilihat tenang sepanjang prosiding selama hampir satu jam 30 minit bermula pukul 10.30 pagi.

Shuhaimi, 42, dituduh menerbitkan artikel bertajuk Pandangan Saya Berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://srimuda.blogspot.com.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R31/R, Kota Kemuning di sini pada 30 Disember tahun lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan Shuhaimi dibebaskan secara jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 28 Mac ini untuk sebutan kes itu.

Terdahulu, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Operasi), Jabatan Peguam Negara, Mohamad Hanafiah Zakaria menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin atas alasan perbuatan yang dilakukan adalah serius kerana melibatkan hasutan terhadap Sultan Selangor.

Peguam Edmund Bon yang mewakili tertuduh pula berhujah, jumlah tersebut terlalu tinggi berbanding hukuman yang diperuntukkan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Lebih-lebih lagi, tegasnya, Shuhaimi tidak mempunyai sebarang risiko untuk melarikan diri kerana anak guamnya memegang jawatan sebagai ADUN dan sedang berkhidmat kepada 34,000 penduduk di kawasannya.

Beliau yang memohon agar tertuduh dibebaskan dengan bon tanpa cagaran turut memberi lapan lagi alasan termasuk kerjasama yang diberikan kepada pihak polis semasa siasatan dijalankan terhadap Shuhaimi.

Edmund juga memohon tempoh selama dua bulan kerana mendapat arahan untuk memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini bagi menggugurkan pertuduhan yang dihadapi oleh anak guamnya.

Katanya, permohonan itu dibuat dengan alasan pertuduhan tersebut bercanggah dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh hak kebebasan bersuara.

Dalam hujah bagi mengurangkan jumlah jaminan selama lebih setengah jam itu, Edmund turut menyebut tentang pakatan untuk menggulingkan kerajaan Selangor menyebabkan ia dibantah oleh Mohamad Hanafiah serta ditegur oleh Latifah.

Pendakwaan turut dikendalikan oleh Ketua Unit Jenayah Am dan Jenayah Seksual, Jabatan Peguam Negara, Ishak Mohd. Yusoff.

Barisan pembelaan diwakili peguam-peguam Amer Hamzah Arshad, Mohamad Yusmadi Mohd. Yusof, N. Surendran, Latheefa Koya, Fahrir Azzar dan Nizam Bashir.

Shuhaimi dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah pada pukul 1.10 petang selepas wang jaminan dikemukakan oleh rakannya, Rohaya Wan Idrus.

Shuhaimi yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja sebelum ini mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan dalam laman blognya yang diterbitkan pada 30 Disember lalu.

Bapa kepada tiga anak itu antara lain menyatakan pelantikan jawatan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Rentetan daripada kenyataannya itu, Shuhaimi menerima kecaman dan kritikan hebat serta berpuluh-puluh laporan polis telah dibuat terhadapnya agar beliau diambil tindakan tegas.

Sementara itu, hasrat Shuhaimi ingin melihat ramai penyokong mengiringinya ke Mahkamah Sesyen di sini nampaknya tidak kesampaian.

Ini apabila seruan yang dibuat oleh ADUN berkenaan baru-baru ini jelas kurang mendapat sambutan setelah kira-kira 20 orang sahaja penyokong PKR hadir sehingga selesai prosiding pada 11.45 pagi ini.

Hanya beberapa pemimpin kanan PKR dilihat hadir sebaik Shuhaimi tiba di mahkamah pada pukul 9.15 pagi ini.

Antaranya ialah Timbalan Presiden PKR Azmin Ali; Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan dua Exco Kerajaan Negeri, Dr. Xavier Jayakumar dan Yaakob Sapari serta Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

[Keputusan]


 

 

Utusan Melayu (M) Bhd.

46M, Jalan Lima Off

Jalan Chan Sow Lin,

55200 Kuala Lumpur.
E-mel:
[email protected]