18 Disember 2014

:: UCAPAN

18/06/2003
Berusaha ke arah kemenangan

Berusaha ke arah kemenangan

20/06/2003 6:21 p.m.

UCAPAN Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz di Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO Malaysia di Dewan Merdeka, PWTC pada 17 Jun 2003.

SYUKUR Alhamdulillah, kita dapat sekali lagi mengadakan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Pergerakan Wanita UMNO, kali ini sempena ulang tahun ke 57 UMNO. Mesyuarat tahun ini juga akan berlaku dalam fasa awal peralihan kuasa, dan kepimpinan, dalam UMNO dan Kerajaan, setelah pada setahun dahulu parti dan negara dikejutkan dengan pengumuman Presiden Parti, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, untuk meletakkan jawatan.

Dalam jangka masa 57 tahun itu UMNO telah menyaksikan beberapa kali peralihan kepimpinan, dengan masing-masing meninggalkan warisan yang tidak ternilai kepada parti, rakyat dan negara. Setiap pemimpin UMNO telah juga menerajui Kerajaan, dan telah menjadi penjana dan penggerak kemajuan berterusan negara. Lebih-lebih lagi dalam memperjuangkan orang-orang Melayu, iaitu orang-orang Islam, pemimpin-pemimpin UMNO, dahulu dan sekarang, telah bukan sahaja menegakkan syiar Islam, tetapi juga, telah berjaya meninggikan taraf dan kedudukan komuniti Islam di Malaysia ke paras yang dibanggakan. Telah dapat dihakis dan dibasmi, saki baki hasil dasar-dasar penjajah, yang sengaja mengaturkan struktur sosio-ekonomi negara, supaya orang-orang Melayu, iaitu orang-orang Islam, merupakan tunjang masyarakat pertanian kebun kecil dan tanaman padi. Sekarang, pada asasnya, penyusunan semula masyarakat telah berjaya. Orang Melayu, khususnya generasi selepas merdeka, telah dibolehkan, melalui pelbagai dasar dan program, menerokai bidang-bidang baru, dan mendapat pendidikan yang merupakan kunci kepada kejayaan dalam ekonomi yang berasaskan Ilmu, atau E-Ekonomi.

Kejayaan orang-orang Melayu, dan komuniti Islam, di Malaysia, adalah hasil perjuangan UMNO yang merupakan tulang belakang Barisan Nasional. Dan UMNO, untuk sekian lama, telah diterajui oleh pucuk pimpinan yang berwibawa, berintegriti dan berwawasan. Dan sekarang kita menghadapi, sekali lagi, peralihan kuasa. Insya Allah peralihan itu akan berlaku dengan teratur dan baik, dan bagi Pergerakan Wanita UMNO, sokongan tidak berbelah bagi akan terus diberi kepada pucuk pimpinan baru UMNO, iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, seperti yang telah diberikan kepada Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Para Perwakilan Sekelian,

Ramai daripada ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO, dan juga ahli-ahli UMNO yang berumur 40 tahun ke bawah, pasti akan hanya mengenali Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, sebagai pemimpin negara, kerana mereka memasuki alam kerjaya dan alam dewasa, semasa beberapa dasar-dasar asas negara dirumus dan dilaksana, terutama sebagai mempercepatkan proses perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Bagi mereka, sudah pasti juga kejayaan negara sekarang banyak dikaitkan dengan kepimpinan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Sebenarnya itulah hakikatnya.

Oleh itu sangat penting bagi orang-orang Melayu khususnya, dan rakyat amnya, menjaga dengan baik, keadaan yang sedia ada, yang telah mendatangkan begitu banyak faedah dan kemajuan. Pucuk pimpinan parti telah sekian lama berusaha gigih untuk menerajui negara ke arah kejayaan, dan Syukur Alhamdulillah, rakyat telah dapat dielakkan daripada bencana ekonomi dan sosial, apabila setiap krisis melanda. Impak krisis-krisis ekonomi, kesan daripada unsur-unsur luaran, telah dapat ditangani, dan negara telah berjaya berada semula pada haluan pertumbuhan ekonomi.

Jelas bahawa proses globalisasi, dengan hakisan sempadan-sempadan antara ekonomi-ekonomi dan antara pasaran-pasaran, telah terus mendedahkan negara-negara individu-individu di dunia, kepada pergolakan-pergolakan di luar. Kaitan-kaitan ekonomi seperti perdagangan, dan pergerakan manusia antara negara-negara seperti dalam pelancongan, mendapat kesan apabila sesuatu pergolakan luaran atau "external developments" menghalang perdagangan dan perniagaan, dan juga pelancongan. Ini pula memberi kesan kepada negara-negara yang terlibat, terutama seperti Malaysia, yang asas ekonominya banyak bergantung kepada permintaan luar.

Oleh itu banyak akan bergantung kepada keupayaan pucuk pimpinan dan Kerajaan menangani setiap pergolakan yang memberi impak kepada negara. Dalam konteks ini, Kerajaan telah berjaya melaksanakan langkah-langkah tindak balas atau "counter measures" untuk mempastikan apa-apa penjejasan hanya pada tahap minimum. Langkah-langkah tersebut termasuklah Pakej-pakej Rangsangan Ekonomi yang telah dirumus setakat ini.

Pakej-pakej Ekonomi tersebut bukan sahaja menentukan langkah-langkah yang akan dilaksanakan oleh jentera Kerajaan, tetapi ia juga memerlukan peranan dan input dari rakyat sendiri, terutama mereka yang merupakan kumpulan-kumpulan sasar langkah-langkah tertentu Pakej Ekonomi itu. Contohnya, satu elemen utama ialah pemberian kredit dan kredit mikro kepada usahawan-usahawan kecil, serta program-program khusus untuk enterprises-enterprises kecil dan sederhana. Di antara kumpulan sasar langkah-langkah ini, ialah usahawan-usahawan wanita, dan termasuk Ibu-ibu Tunggal, yang perlu memperoleh sumber-sumber pendapatan untuk saraan diri dan keluarga.

Kekesanan langkah pembiayaan tersebut hanya nyata jika kemudahan tersebut benar-benar sampai kepada kumpulan-kumpulan sasar.

Dalam konteks ini, Pergerakan Wanita UMNO mesti mengambil tanggungjawab untuk membantu memantau perlaksanaan program-program tersebut di kawasan masing-masing. Saya ingin mencadangkan supaya Wanita UMNO Bahagian, melalui Biro-biro Ekonomi masing-masing, secara proaktif, terlibat dalam mempastikan kejayaan beberapa langkah-langkah tertentu dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2003 itu. Antara pendekatan-pendekatan yang boleh diambil segera ialah:

(i) mengenal pasti usahawan-usahawan kecil di kalangan wanita, termasuk Ibu-ibu Tunggal, yang berpotensi untuk memanfaatkan pembiayaan-pembiayaan mikro tersebut;

(ii) membantu menghubungkan mereka dengan Institusi-institusi Kewangan yang telah ditugaskan untuk memberikan pembiayaan;

(iii) memantau prestasi Wanita-wanita yang telah mendapat pembiayaan supaya mereka benar-benar memanfaatkan kemudahan itu.

Dalam hal pembiayaan untuk aktiviti-aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh Wanita, sudah sampai masanya negara merumuskan dasar-dasar dan program-program khas, untuk menggerakkan dan memajukan seterusnya usahawan-usahawan Wanita dan enterprise-enterprise yang dimiliki serta dikuasai oleh wanita di Malaysia.

Tidak boleh dinafikan bahawa usahawan-usahawan wanita berbilang kaum telah menerokai, dengan jayanya, bidang-bidang baru aktiviti-aktiviti ekonomi, yang merangkumi industri-industri dan perdagangan. Usahawan Wanita telah melibatkan diri dalam bidang-bidang bukan-tradisi, termasuk sektor perkhidmatan professional, Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau ICT, dan juga elektronik. Sambil terdapat ramai usahawan-usahawan kecil Wanita yang memerlukan kredit mikro, ramai juga bilangan usahawan-usahawan Wanita yang memerlukan pakej-pakej pembiayaan yang khusus dan yang inovatif, untuk enterprise-enterprise mereka.

Telah lama diakui bahawa peminjam-peminjam di kalangan wanita mempunyai rekod yang baik dari segi pembayaran, dan dengan itu mereka merupakan risiko kredit yang baik, dan pelanggan-pelanggan yang boleh dipercayai.

Namun demikian, usahawan-usahawan wanita, dan syarikat-syarikat yang dikendalikan oleh wanita, tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya oleh Institusi-institusi Kewangan, dan seperti juga di banyak negara-negara lain, usahawan-usahawan wanita menghadapi masalah, untuk mendapat pembiayaan, atas asas keupayaan mereka sebagai usahawan-usahawan secara individu.

Maka adalah digesa supaya selaras dengan langkah Kerajaan untuk menjana dan menggerakkan pertumbuhan ekonomi domestik, dan memberi rangsangan kepada sumber-sumber ekonomi dalaman, semua Institusi-institusi dan Badan Kewangan yang dipertanggungjawabkan untuk pembiayaan perniagaan, mengambil pendekatan-pendekatan berikut:

(i) mengadakan Dasar dan Program-program Khas untuk pembiayaan usahawan-usahawan dan enterprise wanita;

(ii) menyediakan Dana Khas untuk pembiayaan tersebut;

(iii) mengadakan Pakej-pakej pembiayaan yang inovatif dan bersesuaian untuk memenuhi keperluan-keperluan pembiayaan enterprise-enterprise wanita dan usahawan;

(iv) merumus / formulate skim-skim pembiayaan yang "customised" atau direka khas untuk aktiviti-aktiviti perniagaan tertentu seperti dalam bidang ICT, professional, pendidikan dan perkhidmatan-perkhidmatan yang menyokong sektor-sektor seperti perkilangan dan perdagangan.

Unit-unit perbankan dan pembiayaan enterprise dan usaha wanita yang dicadangkan khas itu akan pasti menjadi pendorong kepada pewujudan satu komuniti usahawan-usahawan wanita di Malaysia, yang berperanan untuk bersama-sama menjana ekonomi negara, dan merealisasikan matlamat-matlamat dan Wawasan 2020.

Sudah tentu, hala tuju yang sewajarnya, ialah penubuhan sebuah Institusi Kewangan Khas, seperti Bank Wanita, untuk secara komprehensif, dan berfokus, membiayai keperluan-keperluan enterprise-enterprise dan usahawan-usahawan wanita. Institusi ini boleh dimiliki bersama oleh Bank-bank sedia ada, dan memberi khidmat kepada wanita dalam pelbagai bidang dan aktiviti ekonomi.

Bagaimanapun, langkah segera perlu diambil oleh Institusi-institusi Kewangan untuk menyediakan Pembiayaan Khas Usahawan dan Enterprise Wanita sebagai pelengkap kepada usaha-usaha Kerajaan.

Para Perwakilan Sekelian,

Dua pergolakan dan perkembangan yang telah tercetus dalam tahun 2003 ini, akan, secara berterusan dan dalam jangka masa panjang, memberi kesan-kesan tertentu kepada Malaysia dan rakyatnya.

Pertamanya, Iraq telah pun diceroboh oleh Pentadbiran Bush dan sekutu-sekutunya, tanpa restu dan izin Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Peperangan telah berlaku di Iraq, dengan kesan ke atas rakyatnya. Peperangan, walau atas sebab dan alasan apa pun, telah membawa penderitaan.

Apatah lagi apabila jelas bahawa alasan untuk mencerobohi Iraq, ialah untuk menukar rejim pemerintahan, kerana, kononnya, rejim itu mempunyai "weapons of mass destruction" atau senjata-senjata pemusnah secara besar-besaran. Dan sehingga ke saat ini, belum lagi terjumpa apa-apa satupun senjata tersebut. Dan pemerintahan Iraq telah dijatuhkan.

Pencerobohan Iraq dan peperangan di negara itu sewajarnya memberi beberapa pengajaran kepada semua negara di dunia. Pengajaran-pengajaran tersebut perlu pula menyedarkan kita di Malaysia tentang apa yang mesti kita lakukan, jika negara hendak dielakkan daripada menerima nasib yang sama.

Pengajaran yang pertama ialah bahawa kuasa besar dunia boleh bertindak secara "unilateral" atau dengan kehendak sendiri, ke atas mana-mana negara yang termasuk dalam butiran agenda negara-negara besar itu, sama ada untuk ditakluk dan dikuasai, ataupun untuk tujuan-tujuan tertentu politik dan ekonomi.

Di Afghanistan dan di Iraq agenda tersebut adalah di bawah tajuk "Regime Change" atau "Pertukaran Pemerintahan", yang akan dilakukan sendiri oleh kuasa-kuasa besar yang sekarang menjadi penjajah baru rakyat Iraq. Jelas bahawa sudah muncul semula, nafsu atau instinct penjajahan di kalangan kuasa-kuasa besar, yang bertopengkan idealisme rekaan dan intepretasi mereka seperti yang beralasan "demokrasi" dan "hak-hak asasi manusia".

Mereka tidak menghiraukan bahawa mencerobohi sesebuah negara, dan menyusun atur pemimpin rakyatnya, adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi, dan menafikan hak mereka untuk memilih Kerajaan dan pemimpin mereka sendiri. Di samping itu mereka juga dinafikan hak-hak asasi, apabila diperangi dan dijajah.

Syukur Alhamdulillah, kita di Malaysia telah dapat mempraktik dan mengamal demokrasi secara yang memberi faedah kepada rakyat dan negara, dan undang-undang negara menjaga, dan menjamin kepentingan majoriti daripada dijejaskan oleh kumpulan-kumpulan minoriti, yang mempunyai agenda-agenda tertentu.

Pemimpin-pemimpin negara di Malaysia bersilih ganti, tetapi peralihan kuasa, dan penubuhan Kerajaan, dilakukan mengikut lunas-lunas demokrasi sebenarnya.

Maka, sangat penting bagi rakyat Malaysia, dan khususnya ahli-ahli UMNO, berwaspada terhadap, dan menentang, apa juga bentuk campur tangan luar, yang berhasrat untuk menyusun atur kepimpinan dan pemerintahan negara, dan dengan itu menentukan, mengikut agenda dan kehendak mereka, destini dan masa depan negara dan rakyat.

Semangat yang harus kita pupuk dalam menghadapi gejala-gejala seperti itu ialah seperti kata pepatah .... "membujur, lalu, melintang patah....". Demi negara, biar putih tulang, jangan putih mata.

Jelas bahawa pencerobohan Iraq dan tercetusnya peperangan di negara itu mendesak supaya kita di Malaysia bersatupadu sebagai rakyat negara yang kecil ini, dan berdiri teguh bersama-sama Pemimpin dan Kerajaan, menjaga kepentingan negara, dan mempertahankan negara daripada apa-apa bentuk anasir yang mengganggu gugat dan menjejas.

Malaysia negara kita, dan kita adalah warganya. Kita tidak perlu, dan tidak boleh izinkan ,orang-orang lain menentukan masa depan kita.

Oleh itu rakyat perlu terus menyokong Kerajaan Barisan Nasional yang telah terbukti mampu menjaga kepentingan rakyat, dan merealisasikan aspirasi rakyat. Tidak boleh dinafikan bahawa kekuatan Kerajaan yang disokong teguh oleh rakyat akan membolehkan pemimpin-pemimpin menghadapi apa-apa gejala yang mengancam rakyat dan negara.

Bagi Pergerakan Wanita UMNO, amat penting dipastikan bahawa, suasana persekitaran politik dan ekonomi, sentiasa dalam keadaan yang boleh mendorongkan kemajuan, kerana, dengan kemajuan, itu dapatlah kaum wanita diberi tempat yang sewajarnya dalam pelbagai bidang.

Jika dalam keadaan tidak menentu, yang ujud kesan daripada peperangan, sengketa dalam masyarakat, atau kejatuhan kerajaan secara rebutan kuasa, golongan wanita dan kanak-kanaklah yang pertamanya akan mendapat kesan buruk, maka, dalam keadaan politik yang stabil dan pemerintahan kerajaan yang berwibawa dan bertanggungjawab, Wanita dan Kanak-kanak akan juga merupakan golongan yang diberi perhatian, dalam dasar-dasar dan program-program pembangunan.

Di Malaysia, ini sangat jelas kerana suasana politik dan ekonomi di mana Kerajaan Barisan Nasional telah menguruskan negara ini sekian lama, telah memberi faedah kepada wanita, yang telah diiktiraf sebagai penyumbang kepada pembangunan negara. Maka wajarlah suasana dan keadaan ini dijamin berterusan, supaya golongan wanita akan dapat terus dilibatkan dalam agenda utama pembangunan negara. Dan, sama pentingnya, perlu dielakkan gejala-gejala, anasir-anasir dan pengaruh-pengaruh yang cuba menghakis kepentingan wanita, dan menyisihkan mereka dari arus utama masyarakat. Nilai-nilai songsang yang mempunyai kesan-kesan negatif kepada wanita mesti dibanteras, terutama yang berselindung di sebalik alasan agama. Peraturan-peraturan rekaan manusia, yang berasaskan nilai-nilai songsang terhadap wanita, adalah bahaya kepada negara, kerana usaha menyisihkan wanita, akan mengurangkan keupayaan masyarakat untuk maju dan berjaya.

Dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh proses globalisasi, dan yang semakin sengit persaingan dalam pelbagai bidang, Wanita di Malaysia tidak boleh dipinggirkan, dan sebaliknya perlu diberi peluang sepenuhnya, tanpa halangan, untuk memperoleh Ilmu dan Pendidikan, dan Kemahiran, serta untuk menceburi bidang-bidang dinamis ekonomi. Peluang-peluang tersebut hanya akan ada, jika dasar-dasar Kerajaan, dengan tegas, membukakan peluang-peluang itu kepada Wanita. Dan, hanya Kerajaan Barisan Nasional yang telah, secara berterusan, dan dengan semakin intensif dan meluas, melaksanakan dasar-dasar yang menjurus kepada mengintegrasi golongan wanita, ke dalam arus utama pembangunan masyarakat dan negara.

Dengan itu Pergerakan Wanita UMNO Malaysia berazam supaya, dengan usaha yang berstrategi dan gigih, dan dengan Izin Allah SWT, Barisan Nasional dan UMNO akan terus menang dengan cemerlang dalam Pilihan raya Umum yang akan datang, dan, dengan Izin Allah SWT juga, dapat dimenangi semula negeri-negeri Kelantan dan Terengganu.

Pergerakan Wanita UMNO telah pun menggerakkan kerja di peringkat akar umbi untuk memantau pengundi. Saya mengucapkan terima kasih kepada jentera gerak kerja Ketua 10, yang telah pun membuat pemantauan, dan semoga kerja-kerja tersebut dapat disiapkan mengikut jadual untuk membantu Parti dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya.

Tidak boleh dinafikan bahawa semangat yang berkobar-kobar untuk mencapai kemenangan, serta azam yang kuat untuk mempertahankan kerusi-kerusi Barisan Nasional, dan memenangi semula kerusi-kerusi yang telah terlepas ke tangan pembangkang, tidak akan menjamin kejayaan yang dihasratkan. Sungguhpun semangat dan azam itu, akan dapat mendorongkan sokongan yang padu, kepada calon-calon Barisan Nasional.

Yang sama pentingnya, jika tidak lebih pentingnya ialah gerak kerja yang dirancang dengan teliti, serta yang dijalankan secara serius dan teratur, di peringkat akar umbi, seperti di peringkat Ketua 10 dan pemantau pengundi.

Bagi Pergerakan Wanita UMNO inilah prioriti utama tugas-tugas, sehingga ke masa selesai Hari Pengundian. Kerja-kerja ini sewajarnya tidak perlukan publisiti atau apa-apa gimik. Bahkan ia memerlukan elemen rahsia dalam strateginya.

Dalam masa-masa yang terdekat ini, segala usaha Pergerakan Wanita UMNO di semua peringkat mesti menjurus kepada matlamat membantu UMNO dan Barisan Nasional mencapai kemenangan cemerlang, dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang. Semua aktiviti hendaklah dengan matlamat tersebut, dan mesti releven di peringkat akar umbi. Masa tidak mengizinkan Pergerakan Wanita UMNO menjalankan aktiviti-aktiviti sampingan yang tidak berkaitan dengan Pilihan Raya, atau yang semata-mata untuk publisiti.

Sebagai komponen terbesar dalam UMNO, dengan lebih separuh ahli-ahli parti, Pergerakan Wanita UMNO akan terus mempunyai tanggungjawab dalam menjadi penggerak jentera Pilihan Raya di peringkat pengundi.

Insya Allah, Pergerakan Wanita UMNO akan terus laksanakan tanggungjawab dan tugas ini dengan sebaik mungkin.

Para Perwakilan Sekelian,

Syukur Alhamdulillah, semasa parti mengadakan Mesyuarat Perwakilan Tahunan di semua peringkat, semuanya berjalan lancar, dan hari ini kita mengadakan Perhimpunan Perwakilan Wanita dengan baik. Saya tegaskan hakikat ini kerana negara dan dunia juga, telah dikejutkan dengan satu wabak penyakit virus, yang belum pernah dialami, yang diberi nama SARS.

Fenomena ini adalah gejala baru dunia yang telah mengalami banyak perubahan. Sekarang telah, dan akan terus muncul, jenis-jenis penyakit, dan jangkitan baru, yang belum pernah ujud, kesan daripada perubahan-perubahan dalam persekitaran. Dan, seperti dengan SARS, manusia belum bersedia untuk menangani penyakit-penyakit tersebut, dan kajian-kajian dan penyelidikan masih diteruskan untuk mengenal pasti punca dan rawatannya.

Syukur Alhamdulillah Malaysia telah dapat menangani masalah SARS dengan baik, dan, dengan kerjasama serantau, masalah SARS telah dapat dikawal.

Dalam konteks ini peranan masyarakat sendiri adalah penting, untuk mempastikan persekitaran kehidupan yang bersih dan terkawal, supaya tidak menjadi punca apa-apa jangkitan dan penyakit. Bagi Pergerakan Wanita UMNO, ini merupakan sebahagian dari tugas memberi penerangan dan penjelasan, terutama kepada golongan wanita, supaya dapat dipupuk, di Malaysia, budaya hidup yang mementingkan kebersihan dalam semua aspek.

Bersyukur kita ke Hadrat Allah kerana negara kita tidak sampai ke tahap yang memerlukan kita memakai topeng menutup hidung dan mulut untuk mencegah jangkitan SARS. Jika keadaan tidak terkawal pasti para perwakilan sekelian terpaksa diberi topeng putih sebagai sebahagian daripada pakaian seragam Perwakilan Wanita UMNO hari ini !

Para Perwakilan Sekelian,

Sebagai umat Islam di Malaysia, kita harus bersyukur atas segala nikmat yang telah kita perolehi daripada negara kita Malaysia. Kita masih dapat menyaksikan bagaimana umat Islam di negara-negara lain masih belum terbela nasib mereka.

Sengketa di Timur Tengah semakin memuncak, dan rakyat Palestin masih dinafikan negara mereka sendiri. Israel terus angkuh kerana kekejaman mereka terus menerus mendapat "endorsement" dan sokongan kuasa besar seperti Amerika Syarikat. Tetapi, negara-negara Islam tidak bersatu dalam memberi pembelaan untuk rakyat Palestin.

Keganasan atau terrorisme telah mula dijadikan alasan untuk apa jua tindakan kuasa-kuasa besar, ke atas mana-mana pihak. Sungguhpun membanteras keganasan sememangnya dasar dan langkah yang sewajarnya, tetapi ia tidak boleh diterima sebagai alasan untuk menceroboh mana-mana Negara, atau bertindak dengan campur tangan ke dalam urusan negara-negara lain.

Malaysia telah mendahului banyak negara-negara lain dalam usaha membanteras gejala-gejala ekstremis dan pelampau, yang, jika tidak dibendung, mempunyai potensi untuk keganasan.

Rakyat perlu sentiasa sedar akan hakikat ini, dan menyokong Kerajaan dalam tindakan membanteras mana-mana gejala ekstremis, yang berpotensi untuk bertindak militan, lebih-lebih lagi apabila usaha-usaha pihak-pihak ekstremis itu mempunyai unsur-unsur keagamaan, yang lazimnya mudah menarik minat dan perhatian.

Bahkan di kebanyakan negara, pihak-pihak pelampau dan militan telah menggunakan elemen-elemen agama untuk menarik penyokong-penyokong, dan agama digunakan untuk memberi kredibiliti kepada perjuangan mereka, yang sebenarnya mempunyai agenda-agenda tertentu.

Di Malaysia, pembangkang telah sekian lama menggunakan agama untuk mencapai matlamat agenda politik mereka, ada penyokong-penyokong yang tidak dapat mengasingkan antara perjuangan menegakkan syiar Islam, dengan memperalatkan agama untuk matlamat politik.

Pemesongan ini mesti dijelaskan, supaya orang-orang Islam tidak terpedaya, dan tidak dapat mengenal yang mana satu simbol agama, dan yang mana pula simbol politik.

Ini penting, kerana, dalam masa Pilihan Raya, ada orang-orang Islam yang memberi undi mereka kepada pembangkang, semata-mata kerana ditakut-takutkan tentang neraka, dan memilih syurga, dan dikelabui pemikiran mereka tentang Islam dan politik.

Dalam keadaan di mana tahap kematangan politik belum tinggi, amat mudah dipengaruhi ahli-ahli masyarakat dengan menggunakan pendekatan yang bercorak agama, kerana jika Islam disamakan dengan menyokong sesebuah parti, maka mereka yang mudah terpengaruh, akan memberi sokongan. Apatah lagi, kalau fahaman sedemikian diasuh semenjak kecil, melalui saluran-saluran seperti sekolah-sekolah agama rakyat, yang dinaungi oleh pihak-pihak tertentu, seperti pembangkang.

Maka perlulah diawasi bahawa dalam sistem pendidikan formal dan tidak formal, awam atau swasta, gejala-gejala untuk menyulami fahaman-fahaman dan unsur-unsur politik yang memecah belah, dan yang menyemai bibit-bibit pelampau, dan kesempitan minda, tidak menular dan berakar umbi.

Sistem pendidikan di negara mesti terus dibersihkan daripada gejala-gejala tersebut, supaya generasi muda dapat benar-benar dididik dan diasuh, untuk menjadi aset kepada masyarakat dan negara.

Para Perwakilan Sekelian,

Dasar mengutamakan meritokrasi dalam pemilihan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi, telah pun dilaksanakan, dan diharap ini mendorong para pelajar untuk memberi tumpuan kepada kebolehan-kebolehan masing-masing, dan tidak kepada layanan istimewa yang dituntut sebagai hak.

Sebenarnya, meritokrasi ialah bertujuan membudayakan kecemerlangan, dan menjadikan kebanggaan dengan keupayaan dan kebolehan diri, sebagai pendorong usaha setiap warga negara, terutama orang-orang Melayu dan Bumiputera.

Jika meritokrasi menjadi tanda aras apa-apa pencapaian, maka akan ujud generasi-generasi baru warganegara, dan generasi-generasi baru Melayu dan Bumiputera, yang tidak mahu diberi apa-apa layanan istimewa, tetapi, sebaliknya, lebih bangga, dengan kebolehan sendiri untuk bersaing, dalam keadaan yang sama, dengan kaum-kaum lain, termasuk masyarakat antara bangsa. Generasi ini akan mempunyai minda dan mindset global, berdayasaing atau kompetitif, serta, mempunyai ketahanan yang tidak mudah dihakis.

Adalah wajar, dalam jangka panjang orang-orang Melayu dan Bumiputera, menjadikan meritokrasi sebagai tanda aras atau benchmark, supaya dapat dikikis unsur-unsur budaya meminta diberi layanan khas, dan bergantung kepada "tongkat ekonomi" atau "economic crutches". Kita telah menyaksikan ramai anak-anak muda Melayu dan Bumiputera, yang telah berjaya dalam bidang masing-masing bukan kerana diberi layanan istimewa, tetapi, semata-mata, kerana mereka telah berusaha gigih dalam suasana sedia ada yang sememang menggalakkan, dan mendorongkan kejayaan.

Tidak ada apa kurangnya pada orang-orang Melayu, dan Bumiputera. Bahkan bagi orang-orang Melayu, agama kita menganjurkan supaya menuju kepada kejayaan, dan menitik beratkan usaha yang gigih. Suasana dalam tahun-tahun 60-an dan 70-an, memang tidak mendorongkan penglibatan Melayu dan Bumiputera secara berkesan, dalam bidang-bidang dinamis negara. Jelas Dasar Ekonomi Baru telah mengubah suasana tersebut.

Sekarang orang-orang Melayu dan Bumiputera sendiri mesti memanfaatkan suasana yang mendorongkan kejayaan itu, dan berbangga dengan kejayaan yang dihasilkan daripada keupayaan dan kebolehan mereka sendiri. Inilah generasi Malaysia, termasuk Melayu dan Bumiputera yang akan menjadi teras negara untuk merealisasikan Wawasan 2020.

Para Perwakilan Sekelian,

Mesyuarat parti di semua peringkat pada kali ini merupakan kali terakhir, di bawah kepimpinan Presiden Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Jelas bahawa jasa beliau kepada Agama, Bangsa dan Negara tidak ternilai. Bahkan beliau telah juga menyumbang bakti kepada negara-negara sedang membangun, dan negara-negara Islam di dunia.

Kita berbangga mempunyai Pemimpin Negara yang juga diiktiraf sebagai pemimpin bertaraf antara bangsa, dan pemimpin yang diterima oleh rakyat dan Kerajaan negara-negara lain.

Telah banyak pesanan-pesanan beliau kepada kita dalam lebih dua dekad beliau memimpin. Negara telah semakin maju, kukuh dan bertaraf global.

Beliau telah menempa banyak kejayaan untuk kita dan untuk negara. Kepimpinan beliau telah disokong oleh Perkhidmatan Awam, oleh Barisan Nasional dan oleh UMNO. Dan kepimpinan beliau telah diterima dan disanjung oleh rakyat sekian lama.

Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah membawa Malaysia ke tahap yang dibanggakan sekarang.

Sangat penting kita berusaha membina seterusnya atas landasan kukuh yang telah dibina itu. Sangat penting kita terus berusaha merealisasikan semua visi yang telah beliau gambarkan, menuju ke hala status negara maju. Kita perlu menangkan sekali lagi, dengan cemerlang, Barisan Nasional, dalam Pilihan Raya yang akan datang, supaya usaha Kerajaan, di bawah kepimpinan baru, untuk menghasilkan pembangunan komprehensif negara, dapat diteruskan.

Sebagaimana kita telah beri sokongan dan kerjasama kepada Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, begitulah juga kita harus berikan kepada penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kesetiaan kita kepada negara dicerminkan oleh sokongan kuat dan ikhlas kepada pucuk pimpinan.

Patah Tumbuh, Hilang Berganti ......

Kesinambungan kepimpinan menjamin berterusannya perjuangan untuk Agama, Bangsa dan Negara.

Sekian, Selamat Bersidang.

[Keputusan]


 

 

Utusan Melayu (M) Bhd.

46M, Jalan Lima Off

Jalan Chan Sow Lin,

55200 Kuala Lumpur.
E-mel:
online@utusan.com.my