25 September 2018

UMNO2003 :: BERITA

21/06/2003
Jadikan ucapan penggulungan PM satu perangsang

Jadikan ucapan penggulungan PM satu perangsang

22/06/2003 12:07 a.m.

KUALA LUMPUR 21 Jun - Ahli-ahli UMNO harus menjadikan nasihat Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapan penggulungan terakhirnya sebagai perangsang untuk memastikan UMNO dan bangsa Melayu berjaya.

Perwakilan UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Al-Habshee berkata, kejayaan gemilang yang dicatatkan berpandukan nasihat Dr. Mahathir boleh menjadi hadiah paling berharga daripada orang Melayu kepada beliau yang akan bersara Oktober ini.

``Saya berharap semua ahli UMNO akan berusaha untuk mengukuhkan parti dan bangsa demi Dr. Mahathir yang telah banyak berkorban kepada kita,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan penggulungan Dr. Mahathir pada hari akhir Perhimpunan Agung UMNO Ke-54 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dr. Mahathir di dalam ucapan penggulungannya antara lain berkata, beliau percaya UMNO mampu berdiri teguh di bawah pimpinan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan mengambilalih jawatan beliau tidak lama lagi.

Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Mahadzir Mohd. Khir berkata, ucapan Presiden tegas dan berani dalam menyatakan keikhlasan hatinya untuk berundur dan menyerah pucuk pimpinan parti dan pemerintahan negara kepada Abdullah Oktober ini.

``Saya agak terharu apabila melihat beliau dapat menahan kesedihan dan mampu berinteraksi dengan semua perwakilan dengan baik meskipun itu ucapannya yang terakhir di Perhimpunan Agung Tahunan UMNO kali ini.

Perwakilan UMNO Bahagian Papar, Datuk Osu Sukam pula berkata, Dr. Mahathir ternyata berharap agar seluruh ahli UMNO supaya dapat menjadikan ucapannya sebagai pedoman perjuangan.

``Kita dapat merasakan bahawa ucapan Dr. Mahathir memberikan penekanan supaya semua ahli UMNO perlu meletakkan agama, bangsa, negara dan parti lebih daripada kepentingan diri sendiri yang harus menjadi pegangan perjuangan,''katanya.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Raub, Datuk Suhaimi Ibrahim menyifatkan ucapan Dr. Mahathir memang dinanti-nantikan oleh para perwakilan parti kerana mereka ingin tahu amanat penting yang bakal ditinggalkan oleh negarawan itu.

``Kesediaan Dr. Mahathir untuk mengundur diri secara sukarela seperti yang dinyatakannya membuktikan beliau seorang pemimpin yang berpegang teguh kepada prinsip bahawa sudah sampai masanya tampuk kuasa UMNO diserahkan kepada pemimpin lain dan inilah keagungan pemimpin yang wajar menjadi contoh,'' katanya.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Lipis, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, Dr. Mahathir jelas memperlihatkan kewibawaannya sebagai pemimpin yang unggul kerana ucapannya yang sentiasa membawa isu baru.

``Ucapannya juga perlu dihayati kerana ia mengandungi mesej yang jauh mendahului zaman bukan sahaja untuk parti, malah untuk kepentingan semua,''katanya.

Ahli Jawatankuasa Pemikir Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Shukri Mohamed pula berkata, ucapan Dr. Mahathir begitu padat dan mudah difahami supaya amanatnya bukan sahaja untuk ahli parti.

``Ucapan Dr. Mahathir tidak terlalu emosi, tetapi memberi kesan yang mendalam kepada seluruh rakyat sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran masa depan berkait dengan isu kepentingan pendidikan, keselamatan dan menjaga kesucian agama,''katanya.

Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Jins Shamsudin berkata, ucapan Dr. Mahathir amat bermakna dan harus dilihat secara serius sebagai pedoman untuk meneruskan perjuangan UMNO di masa akan datang.

``Amanat Dr. Mahathir bukan sahaja terhadap isu-isu UMNO, malah merangkumi isu ancaman dari dalam dan luar negara supaya kita semua perlu bersiapsedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan buruk pada masa depan,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Parit, Perak, Sharifah Fitri Syed kagum dengan ucapan Dr. Mahathir yang menyentuh hampir setiap isu yang dibahaskan oleh perwakilan.

``Walaupun Dr. Mahathir tidak menjawab semua persoalan yang dibahaskan tetapi beliau tetap menyentuh hampir semua isu dalam ucapannya.

Sementara itu veteran UMNO, Tan Sri Ghazali Shafie meminta semua pihak semua pihak mematuhi nasihat Presiden UMNO supaya boleh memenangi pilihan raya akan datang.

Wakil rakyat wanita pertama Negeri Sembilan, Datuk Siti Rahmah Kassim, pula menyifatkan ucapan Dr. Mahathir sebagai satu amanah besar untuk UMNO.

Siti Rahmah, 77, berkata, Dr. Mahathir telah meninggalkan satu amanah besar dan penting yang perlu direalisasikan oleh ahli-ahli UMNO.

``Ucapan Dr. Mahathir juga wajar dijadikan panduan dan perjuangan pemimpin UMNO dari masa ke semasa kerana ia meliputi semua aspek penting,'' katanya.

Ketua UMNO Cawangan Terentang itu yakin Abdullah dapat menyambung amanah Dr. Mahathir agar Melayu terus bersatu dan maju.

``Seperti Dr. Mahathir yakin Pak Lah dapat menerajui parti dan negara, kita juga yakin beliau dapat berbuat demikian,'' tambah beliau.

[Keputusan]


 

 

Utusan Melayu (M) Bhd.

46M, Jalan Lima Off

Jalan Chan Sow Lin,

55200 Kuala Lumpur.
E-mel:
[email protected]