25 September 2018

UMNO2003 :: BERITA

21/06/2003
Mokhzani syukur tiada usul minta PM terus sandang jawatan

Mokhzani syukur tiada usul minta PM terus sandang jawatan

22/06/2003 12:07 a.m.

KUALA LUMPUR 21 Jun - Anak Perdana Menteri, Datuk Mokhzani Mahathir bersyukur apabila tiada perwakilan mengemukakan usul yang meminta bapanya, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad terus memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Beliau juga pernah secara peribadi meminta beberapa pihak yang menyuarakan hasrat meminta Dr. Mahathir terus menerajui negara dengan mengemukakan usul sedemikian pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini supaya tidak berbuat demikian.

``Alhamdulillah, semuanya telah selesai dan itu cara terbaik untuk ayahanda saya berundur,'' katanya ketika ditemui di akhir perhimpunan itu hari ini.

Beliau yang juga Bendahari UMNO Kedah berkata, UMNO kini berada dalam keadaan mantap dengan jumlah keahlian yang tinggi manakala proses peralihan kuasa pula berjalan lancar.

Katanya, semua perwakilan dapat mendengar sendiri bagaimana pembahas serta ketiga-tiga Naib Presiden UMNO menyatakan sokongan penuh mereka kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

``Saya rasa itu cara paling baik memberikan penghormatan kepada ayahanda saya, tidak menjadikan perhimpunan kali ini sebagai majlis yang emosional sekali,'' katanya.

Menurut Mokhzani, ini membolehkan semua pihak dapat merayakan 22 tahun kepimpinan Dr. Mahathir sebagai Presiden UMNO dan meraikan Abdullah sebagai bakal presiden yang baru dalam suasana yang meriah.

[Keputusan]


 

 

Utusan Melayu (M) Bhd.

46M, Jalan Lima Off

Jalan Chan Sow Lin,

55200 Kuala Lumpur.
E-mel:
[email protected]