23 Jun 2018

UMNO2003 :: BERITA

21/06/2003
Dr M akhiri ucapan penggulungan dengan penuh keceriaan

Dr M akhiri ucapan penggulungan dengan penuh keceriaan

22/06/2003 12:07 a.m.

KUALA LUMPUR 21 Jun - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengakhiri ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO terakhir beliau selaku Presiden UMNO dalam suasana penuh keceriaan.

Ucapan penggulungan Dr. Mahathir selama satu jam itu dipenuhi dengan nasihat, pesanan dan jenaka sehinggakan para perwakilan di dalam dewan mengikuti setiap ucapannya dengan penuh penghayatan.

Ia sekali gus menolak ramalan ramai pihak sebelum ini bahawa Dr. Mahathir akan mengakhiri ucapan penggulungannya dengan suasana yang penuh emosional seperti yang berlaku pada perhimpunan tahun lalu.

Malah, sepanjang ucapan beliau yang juga boleh diikuti secara langsung di televisyen, Dr. Mahathir kerap mengingatkan para perwakilan dengan kata-kata yang menyuntik semangat di kalangan mereka.

Adakalanya Dr. Mahathir memecah keheningan dewan dengan gelak ketawa di kalangan para perwakilan apabila ucapannya diselitkan dengan jenaka politik serta cerita jenaka rakyat yang penuh dengan teladan.

Suasana di dewan itu juga tidak sunyi dengan tepukan gemuruh di kalangan para perwakilan apabila ucapan Dr. Mahathir menyelar sikap pemimpin-pemimpin Pas yang menggunakan Islam untuk kepentingan sendiri.

Apa yang pasti, Dr. Mahathir berjaya mewujudkan keceriaan di kalangan perwakilan sehinggakan mereka (perwakilan) telah lupa bahawa ucapan tersebut merupakan yang terakhir buat beliau selaku Presiden.

Malah di saat-saat akhir ucapan beliau, suasana di dalam dewan itu bertukar menjadi sunyi sepi dan penuh nostalgia apabila Dr. Mahathir mendeklamasikan sajak yang berunsur nasihat dan pesanan.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob berkata, Dr. Mahathir berjaya mengawal dirinya dan diri perwakilan dengan ucapan yang penuh amanat untuk menguatkan parti.

``Kita bersyukur Dr. Mahathir berjaya mengawal dirinya. Beliau tidak menangis. Kalau beliau menangis lagi mungkin ada pemerhati yang histeria dan seperti biasa isi kandung ucapan beliau ialah menguatkan parti,'' katanya.

[Keputusan]


 

 

Utusan Melayu (M) Bhd.

46M, Jalan Lima Off

Jalan Chan Sow Lin,

55200 Kuala Lumpur.
E-mel:
[email protected]