23 Jun 2018

UMNO2003 :: BERITA

21/06/2003
Jangan gentar kepada Pas: Dr Mahathir

Jangan gentar kepada Pas: Dr Mahathir

22/06/2003 12:07 a.m.

KUALA LUMPUR 21 Jun - Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata anggota UMNO tidak harus merasa rendah diri untuk menentang Pas kerana UMNO memperjuangkan Islam yang sebenar.

Perdana Menteri berkata: "Jangan takut kepada orang yang berserban dan berjubah yang kononnya kuat Islamnya...yang memakai ketayap putih pun ada yang merogol orang (melakukan dosa)."

Walaupun penampilan orang UMNO tidak menyerupai seorang ulama dan parti itu tidak menggunakan nama Islam, UMNO memperjuangkan Islam dan anggota parti itu tidak kurang Islamik, kata Presiden UMNO ketika menggulung perbahasan di perhimpunan agung parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perdana Menteri yang berucap panjang lebar mengenai ancaman Pas, berkata anggota parti perlu memberikan lebih fokus bagi mengatasi masalah-masalah yang ditimbulkan oleh Pas akibat salah tafsir ajaran Islam dan fahaman sempit mereka.

Mengikut sejarah, katanya penubuhan Pas dahulu direstui penjajah British kerana parti itu bertujuan untuk melemahkan orang Melayu yang sudahpun bernaung di bawah UMNO pada ketika itu.

"Mereka (penjajah) tidak bertanya kepada Raja-raja Melayu sama ada mereka memberi kebenaran kepada penubuhan parti Pas sedangkan Raja-raja itu bertanggungjawab mengenai soal agama," katanya.

Katanya, taktik yang sama digunakan oleh penjajah bagi memecah-belahkan masyarakat Islam di India dengan mengiktiraf ajaran Ahmad Qadiani, yang mengaku sebagai nabi, sebagai salah satu fahaman Islam.

Penjajah juga mengamalkan taktik serupa di Pakistan untuk memecah-belahkan umat Islam di negara itu, kata beliau.

Dr Mahathir berkata orang Melayu khususnya UMNO perlu menolak Pas kerana perjuangannya telah lari daripada ajaran Islam.

"Saya tidak faham mengapa penyokong Pas masih boleh menerima pemimpin mereka yang terang-terang mengatakan tuhan mencarut dan samseng," katanya.

Dr Mahathir mencabar mana-mana ulama untuk membuktikan bahawa tuhan memiliki sifat-sifat seperti yang didakwa oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menyentuh mengenai hukum hudud yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dr Mahathir berkata: "Kita tidak merasa bersalah menolak hukum hudud Pas kerana ia merupakan hudud Pas, bukan Islam."

Katanya, hudud Islam tidak berbeza-beza sedangkan hudud Pas berbeza antara negeri Kelantan dan Terengganu.

Mengikut ajaran Islam, perkara yang paling penting dalam menghukum ialah keadilan tetapi dalam hudud Pas terdapat banyak ketidakadilan termasuk terhadap wanita yang menjadi mangsa rogol.

Katanya, mangsa rogol mengikut hukum hudud Pas perlu mempunyai empat saksi daripada kalangan orang yang baik-baik untuk membuktikan tuduhan itu.

"Jika empat saksi melihat sahaja seorang wanita dirogol dan tidak menolongnya, adakah mereka ini dianggap orang yang tidak berdosa (kerana membiarkan wanita itu dirogol) dan layak menjadi saksi?" katanya.

Di bawah hukum Pas juga, mangsa rogol sebaliknya menjadi tertuduh sekiranya tidak dapat mengemukakan empat saksi, katanya.

Pada zaman sekarang banyak kaedah saintifik untuk membuktikan dakwaan seseorang itu dirogol termasuk ujian DNA ke atas darah dan air mani, katanya.

Dr Mahathir berkata undang-undang Pas itu menunjukkan bahawa pemimpin Pas termasuk pemangku presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidaklah pandai mengenai undang-undang Islam seperti yang mereka dakwa.

Beliau berkata walaupun UMNO memperjuangkan Islam, tetapi ia tidak mahu menggunakan nama Islam seperti yang dilakukan oleh Pas.

"Perdana Menteri Turki (Recep Tayyip Erdogan) semasa melawat ke negara ini baru-baru ini memberitahu saya, partinya tidak memakai nama Islam kerana takut jika parti melakukan kesalahan orang akan menyalahkan Islam," katanya. - Bernama

[Keputusan]


 

 

Utusan Melayu (M) Bhd.

46M, Jalan Lima Off

Jalan Chan Sow Lin,

55200 Kuala Lumpur.
E-mel:
[email protected]