23 Jun 2018

UMNO2003 :: BERITA

21/06/2003
Orang Melayu diingatkan jangan ambil jalan mudah

Orang Melayu diingatkan jangan ambil jalan mudah

22/06/2003 12:07 a.m.

KUALA LUMPUR 21 Jun - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, dalam ucapan terakhirnya pada Perhimpunan Agung UMNO, berpesan supaya orang Melayu tidak mengambil jalan mudah kerana langkah itu akan menyebabkan negara tergadai.

Amanat beliau yang turut mencakupi pelbagai perkara lain, telah menyuntik semangat dan keyakinan baru kepada ahli-ahli dan para pemimpin UMNO untuk meneruskan perjuangan parti.

Malah, Dr. Mahathir sendiri yakin UMNO akan menyapu bersih semua kerusi dalam pilihan raya umum akan datang jika ahli-ahli dapat menunjukkan semangat taat setia kepada Presiden seperti yang ditunjukkan sepanjang Perhimpunan Agung kali ini.

``Saya yakin jika semangat ini dapat dikekalkan apabila sampai pilihan raya nanti, kita akan sapu bersih,'' tegasnya yang merujuk kepada pengakuan para pemimpin yang akan akur kepada keputusan yang akan dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila menjadi Perdana Menteri, berhubung Timbalannya.

Ucapan penggulungan Presiden UMNO yang akan berundur Oktober ini setelah memimpin parti selama 22 tahun, menjadi tumpuan di dalam dan di luar Dewan Merdeka, PWTC, serta di seluruh negara apabila ucapan bersejarah itu disiarkan secara langsung oleh televisyen.

Dewan Merdeka penuh sesak dengan perwakilan dan pemerhati manakala di luar dewan, skrin-skrin litar tertutup dikerumuni oleh ribuan ahli UMNO dan orang ramai.

Tidak seperti semasa menyampaikan ucapan dasarnya kelmarin yang terpaksa bergelut menahan air mata, Dr. Mahathir mengakhiri ucapan penggulungannya selama 70 minit dengan nada tenang dan penuh keyakinan.

Ucapan beliau diakhiri dengan 11 rangkap pantun yang sarat dengan amanat, yang mencerminkan kecintaan beliau kepada UMNO, parti yang selamanya memayungi bangsa Melayu dan negara.

Pantunnya itu diakhiri dengan rangkap yang menyatakan kesediaan beliau untuk terus menabur jasa kepada parti selepas bersara.

``Izinkan saya beredar pergi'

Memberi ruang kepada pemuda'

Melupai UMNO tidak sekali'

Terus berjuang walaupun bersara.''

Selesai sahaja berucap, para pemimpin Majlis Tertinggi terus bersalaman dengan Dr. Mahathir, diikuti oleh para perwakilan. Orang ramai di luar dewan turut menunggu dan berebut-rebut untuk menyatakan terima kasih kepada pemimpin mereka itu.

Dalam amanatnya, Dr. Mahathir mengingatkan orang Melayu bahawa membina negara sehingga ke tahap sekarang tidak semudah orang Melayu hilang kuasa dahulu.

``Sejarah kita menunjukkan betapa mudahnya kita mencari jalan mudah, dan akhirnya hilang kuasa,'' katanya.

Mengimbau kejayaan negara, Perdana Menteri berkata, Malaysia sudah sampai ke tahap yang membolehkannya mampu untuk menolong umat Islam di negara lain.

``Kita mampu untuk bercakap dengan terus terang, mengkritik walaupun mereka adalah orang yang lebih berkuasa daripada kita,'' jelasnya sambil mengingatkan lagi bahawa semuanya itu mengambil masa dan susah, bukannya mudah.

``Tetapi kalau kita ambil jalan mudah, percayalah, negara kita akan tergadai pada orang lain,'' katanya lagi.

Sebab itu, katanya, beliau selalu menegur orang Melayu yang kadang kala suka mencari jalan mudah dan sebaliknya mereka perlu mencari jalan yang baik, walaupun tidak mudah.

Dr. Mahathir merujuk kepada kehadiran penjajah British dengan menawarkan kesenangan dengan cara mudah kepada raja-raja Melayu dahulu seperti `istana besar, Rolls Royce dan payung kuning' telah membawa kepada penjajahan yang begitu mudah.

Pada zaman ini pula, kata Perdana Menteri, wujud cara mudah untuk senang termasuklah menjual peluang yang diperoleh tanpa perlu berusaha lebih.

Akhirnya, kata beliau: ``kita hilang kedudukan kita.''

Oleh itu, pesan Dr. Mahathir, mencari cara yang baik yang boleh memberi pengetahuan dan kebolehan kepada diri amat bermakna kerana ia akan membawa kejayaan.

``Lambat sikit tak apa. Tunggulah, sabarlah. Innallah Hamaa Sabbirin (Sesungguhnya Allah itu bersama-sama orang yang sabar). Agama kita menyuruh kita sabar.''

Setelah 22 tahun menerajui parti dan kerajaan, Dr. Mahathir menyatakan masanya sudah tiba untuk menyerahkannya kepada kepimpinan baru.

Beliau mengulangi kenyataannya semasa menjelaskan tindakannya untuk berundur tahun lepas bahawa ibunya sering berpesan supaya `berhenti makan ketika tengah sedap'.

Katanya, beliau melangkah pergi ketika `UMNO gagah berdiri.'

Penghargaan kepada jasa Dr. Mahathir kepada parti dan negara dapat dihayati sepanjang perbahasan dan penggulungan pada pelbagai peringkat - Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri sehingga perhimpunan agung parti - yang bermula Rabu lepas.

Daripada wakil UMNO negeri, Pengerusi-pengerusi Perhubungan UMNO negeri sehinggalah barisan ahli Majlis Tertinggi, Naib-Naib Presiden serta Timbalan Presiden, kesemuanya tidak lupa merakamkan terima kasih ke atas jasa dan pengorbanan Dr. Mahathir memimpin negara dan parti dengan jayanya.

[Keputusan]


 

 

Utusan Melayu (M) Bhd.

46M, Jalan Lima Off

Jalan Chan Sow Lin,

55200 Kuala Lumpur.
E-mel:
[email protected]