17 Februari 2019

USATTACKONIRAQ :: RENCANA

21/04/2003
Strategi baru pertahanan perlu dicipta

Strategi baru pertahanan perlu dicipta

21/04/2003 7:43 p.m.

Kekalahan dan kejatuhan kerajaan Saddam sekali lagi menunjuk bagaimana kuasa tentera Amerika Syarikat (AS) dengan peralatan perang yang berteknologi tinggi dapat melumpuhkan rantaian perintah tentera Iraq. Terlumpuhnya rantaian perintah ini dan tersekat bantuan dan sokongan seperti peluru dan peralatan perang yang lain melumpuhkan tentera Iraq untuk bertahan. Hinggakan pada detik masa yang terakhir pun, Menteri Penerangan kerajaan Saddam Hussein mahu memberi gambaran bahawa Baghdad akan menjadi kubur tentera bersekutu. Semua ini kita lihat adalah amaran kosong saja. Sekali lagi AS menunjukkan kuasa ketenteraannya yang boleh bertindak secara sewenang-wenangnya untuk menjatuhkan mana-mana rejim yang tidak disukainya.

Setelah menawan Iraq, manakah bukti senjata kimia dan biologi yang dulunya digembar-gemburkan dan menjadi asas menggulingkan rejim Saddam? Amatlah sedih melihat rakyat awam Iraq mati disebabkan oleh satu dakwaan yang maya. Amat betul dikatakan peperangan ini peperangan maya. Kita melihat sidang akhbar Iraq yang maya yang berkali-kali menyangkal bahawa Baghdad telah ditawan.

Kalau dulu semasa Presiden Bill Clinton, perdagangan digunakan untuk memaksa negara lain mengikut telunjuk AS atas nama hak asasi manusia, kini negara kecil dipaksa mengikuti telunjuk AS bukan saja dengan kuasa ekonomi tetapi juga ketenteraan. Adakah AS kini kuasa terulung yang berniat jahat? Adakah selepas Iraq, AS akan bertukar menjadi kuasa baik hati? Inilah pertanyaan yang sedang dipertimbangkan oleh seluruh rakyat dunia termasuk rakyat di AS sendiri.

Untuk negara kecil seperti Malaysia, kita perlu memikir semula strategi pertahanan kita dalam senario baru ini. Dalam senario ini nampaknya diplomasi sudah ditukar dengan kuasa ekonomi ataupun kuasa ketenteraan. Jadi sekiranya kita masih lagi ingin mengambil pendirian yang kritikal, kita mestilah memperkukuhkan jati diri ekonomi dan sedikit sebanyak pertahanan.

Singapura mengambil polisi pertahanan yang agresif dan mempunyai peralatan yang moden seperti AWAC dan jet-jet pejuang terkini buatan AS. Mereka juga mempunyai industri avionics yang baik. Polisi pertahanan Singapura ialah untuk menonjolkan kekuatan ketenteraan yang akan menggerunkan musuh. Kelakuan ini ialah seperti binatang bisa yang berwarna-warni untuk memasyhurkan kepada binatang lain yang ingin memakannya bahawa ia berbisa.

Untuk jati diri, kita juga mestilah mula memupuk penyelidikan dan industri pertahanan tempatan. Ini supaya kita tidak bergantung kepada pembekal peralatan tentera Barat untuk alat ganti dan boleh mengubahsuai peralatan tersebut. Peperangan kini adalah satu peperangan teknologi tinggi dan banyak menggunakan komputer dan perisian untuk mengesan musuh dan memusnahkan sasarannya.

Teknologi pertahanan kini diperlukan untuk mengelirukan pengesanan atau menyembunyikan sasaran daripada intipan satelit dan pesawat udara musuh. Sistem komunikasi juga perlu dikaji untuk mengelirukan intipan satelit yang `memukat' semua jenis komunikasi. Peperangan kini bukan saja bergantung kepada bom tetapi juga kepada intipan elektronik. Intipan inilah yang membolehkan menyasarkan bom ke tempat strategik yang menyebabkan tumbangnya rejim Saddam.

Untuk membina jati diri, pertahanan kita mestilah mengikuti jejak negara-negara seperti Afrika Selatan, India dan China yang melabur untuk membina penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan sendiri. Walaupun kita tidak mungkin ingin menyelidik mengenai peperangan biologi ataupun kimia, tetapi kita mestilah menyelidik mengenai cara mengatasi serangan ini sama ada untuk pengetahuan tentera kita ataupun orang awam. Kita mesti membina keupayaan untuk mengatasi segala bentuk serangan baik dari segi senjata konvensional ataupun yang tidak. Sekiranya kita tidak bersedia kita akan mendedahkan tentera dan orang awam kepada pelbagai senjata canggih yang boleh digunakan ke atas kita.

Patut diingatkan, sebagai contoh sekiranya berlaku peperangan nuklear atau biologi faktor utama penyebaran radioaktif dan juga kuman biologi ialah angin ataupun air. Jadi walaupun negara kita bukan menjadi medan peperangan, terdapat kemungkinan besar bahan radioaktif atau kuman tersebut akan dibawa oleh angin monsun barat daya atau timur laut ke negara kita. Keadaan ini akan berlaku sekiranya medan peperangan itu berlaku di benua India ataupun Asia Timur. Jadi amatlah penting untuk kita mempunyai maklumat dan ramalan cuaca seperti arah dan laju angin untuk mengambil langkah penebatan yang berkesan.

Selain itu seperti dalam alam semula jadi, binatang yang lemah sering menggunakan alam sekitar untuk bersembunyi atau bersekongkol dengan binatang berbisa sebagai pelindung. Satu lagi taktik ialah bergerak secara kumpulan seperti yang dilakukan oleh seladang dan kerbau. Jadi dari segi ini kita mestilah menyelidik cara untuk menyembunyi kekuatan tentera kita daripada dikesan oleh pelbagai cara pengintipan dan mempertingkatkan lagi kemahiran peperangan elektronik kita.

Kita perlu melabur untuk membina R&D pertahanan dan melatih saintis-saintis muda kita di institusi pengajian tinggi supaya menceburi bidang penyelidikan pertahanan.

Kita juga mestilah pandai berkawan dengan negara kuasa sederhana seperti China, India dan juga negara-negara Kesatuan Eropah (EU). Selain itu, amatlah penting rakyat negara ini bersatu dan mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi. Seperti kenyataan saya di dalam kongres mahasiswa baru-baru ini, sekiranya kita menghadapi peperangan, bom dan peluru yang akan menghujani kita tidak akan mengenali sama ada kita ini penyokong mana-mana parti politik atau suku kaum. Kita mestilah mempertahankan tanah air sebagai satu bangsa.

Jadi amatlah penting kita mula mengukuhkan kerjasama untuk mengatasi masalah polarisasi kaum dan menerap perasaan cintakan tanah air kepada semua warganegara. Cinta ini perlulah timbul dari hati dan perlu mengatasi jurang parti politik dan kaum. Inilah integrasi kaum yang menjadi perjuangan pemimpin negara sejak dari Tunku Abdul Rahman kepada Dr. Mahathir Mohamad.

- Prof. DR AZIZAN ABU SAMAH ialah Penyelaras Projek Antartika Malaysia.


TERKINI..


Arkib Bancian