17 Februari 2019

USATTACKONIRAQ :: RENCANA

22/04/2003
Mencari laporan perang seimbang

Mencari laporan perang seimbang

22/04/2003 5:26 p.m.

Oleh SALASIAH ABD. WAHAB

PERANG Amerika-Iraq yang berlaku bukan saja dilihat sebagai usaha menghapuskan kerajaan Iraq dan Saddam Hussein semata-mata tetapi juga mengheret kita kepada satu bentuk `peperangan media' iaitu antara media Barat dan media Muslim.

Media Barat, misalnya CNN dikatakan banyak memihak kepada Amerika Syarikat (AS) dan negara sekutunya dengan membuat laporan yang `menang' hanya AS, sementara Iraq dilihat dan diperlekehkan sebagai kuasa yang mempunyai senjata konvensional, lemah dan kalah. Media Barat melalui radio dan televisyen mulai membunuh kebenaran dan keadilan ketika membuat laporan.

Objektif dalam pemberitaan mulai ditolak ke tepi. Siapa yang kuat, dia menguasai berita.

Ketidakadilan pemberitaan bukan saja memuatkan kebencian masyarakat Islam tetapi juga memualkan sekelompok wartawan media Barat yang menjadi `saksi mata' perang tersebut.

Pemecatan Peter Arnett oleh NBC adalah kerana muncul dalam wawancara di televisyen Iraq; Phil Smucker, wartawan Christian Science Monitor dihalau keluar dari perbatasan Kuwait ketika melakukan siaran setelah tentera marin AS menuduhnya menyiar maklumat sensitif tentang lokasi tentera, begitu juga dengan koresponden Fax News, Geraldo Rivera dihalau keluar dari Iraq kerana alasan yang sama.

`Terkeluarnya' Arnett dan Rivera merupakan perlawanan keras terhadap arus besar yang mengalir di media-media utama AS yang menyokong sentimen perang. Rakyat AS memang sedang sensitif terhadap media yang dianggap `tidak patriotik'.

MSNBC terpaksa menangguhkan talk show Phil Donahue setelah menerima `memo' daripada pihak atasan yang mengatakan Donahue sentiasa menampilkan tokoh-tokoh yang antiperang, anti-Bush dan skeptik terhadap motif perang AS; Kurt Haughlie, seorang wartawan dan kolumnis Huron Daily Tribune, dipecat dari akhbar tersebut kerana tulisannya bernada antiperang.

Sejak kebelakangan ini hampir semua media AS termasuk stesen televisyen tidak dibenarkan menayangkan tentera AS yang mati atau yang ditawan. Begitulah sikap pemerintah AS yang bukan saja tidak adil kepada Iraq bahkan kepada rakyatnya sendiri dalam soal-soal pemberitaan yang adil.

`Kemelut' pemberitaan di AS memang sudah dijangkakan kerana peranan media cukup besar, bukan setakat menyokong bahkan mampu `memainkan' sentimen massa.

Dalam konteks media Muslim, kita sudah sedia maklum akan ketidakadilan pemberitaan itu. Upaya jaringan televisyen satelit Al-Jazeera untuk membuat laman internet berbahasa Inggeris digagalkan oleh penggodam yang menyokong AS. Al-Jazeera dijangka akan melancarkan kembali laman internetnya dalam bahasa Inggeris pada pertengahan April.

Para wartawan televisyen itu juga hilang kebenaran untuk membuat liputan di Bursa Saham New York. Upaya mendapat tempat liputan alternatif di Bursa NASDAQ juga gagal dengan alasan tegas menyebut tayangan tawanan perang AS oleh Al-Jazeera menjadi alasan larangan tersebut.

Sebenarnya erti penulisan dan pemberitaan yang adil telah berubah sejak 20 Mac 2003 malah sejak 11 September 2001 lagi. Oleh itu, masyarakat wartawan Islam haruslah memiliki kekuatan pemberitaan dan penulisan termasuklah yang kreatif dan deskriptif yang tersendiri tatkala berada dalam masa peperangan supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan.

Usaha kerajaan menghantar kumpulan wartawan Malaysia membuat liputan perang AS-Iraq merupakan langkah yang bijak ke arah pemberitaan yang lebih adil.

Namun usaha-usaha ini belum mencukupi dan haruslah disokong dengan usaha penyegaran tulisan yang lebih luas yang melibatkan penulisan esei, kreatif termasuklah penerbitan dalam konteks setempat di samping mencari jalan keluar kepada pergantungan yang keterlaluan kepada pemberitaan dan penulisan daripada media utama Barat.

Kesedaran

Berbekal kesedaran ini, Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) mengambil inisiatif awal dengan mengajak masyarakat untuk melihat dan membentuk perspektif kreatif dan non-kreatif di samping memperkukuhkan kedudukan penulisan keislaman dalam melihat penulisan semasa dan pascaperang AS-Iraq melalui satu seminar yang akan diadakan di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 24 April 2003.

Seminar yang dianjurkan oleh KALAM dengan kerjasama DBP itu merupakan seminar pertama yang berbentuk sedemikian yang dianjurkan oleh sebuah persatuan penulis di Malaysia.

Seminar akan membincangkan dua tema besar iaitu Kedudukan Penulisan Semasa dan Pascaperang yang menampilkan pembicara seperti Datuk Dr. Ismail Ibrahim, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan; Prof. Datuk Dr. Firdaus Abdullah, Pengerusi Utusan Publications and Distributors.

Manakala tema kedua bertajuk Memantapkan Pemikiran Umat Islam Melalui Penulisan Semasa dan Pascaperang yang akan dibicarakan oleh Datuk Seri Zaini Mohd. Said, Prof. Datuk Muhammad Abu Bakar dan Jaafar Abd. Rahim.

Kedua-dua tema ini amat relevan dalam usaha untuk menampilkan penulisan perspektif tempatan serta bagaimana sewajarnya untuk kita menangkis pemberitaan media Barat yang manipulatif.

Seminar ini terbuka kepada orang ramai dan penyertaan boleh dimajukan kepada Setiausaha Seminar, Hilmi Ramli (012-6862340), atau Hamdi Yusof (013-6696748, 016-3472726).


TERKINI..


Arkib Bancian