17 Februari 2019

USATTACKONIRAQ :: RENCANA

23/04/2003
Kekesalan pascaperang

Kekesalan pascaperang

24/04/2003 5:04 p.m.

Oleh Khairol Anuar Masuan

Dunia sekarang sedang mentertawakan pemimpin Amerika Syarikat (AS) dan Britain, apabila jerat sekatan ekonomi yang dipasang mereka terbidas kepada muka sendiri. Sekarang kita boleh menjangkakan bahawa dana peperangan dan pembangunan semula Iraq adalah merupakan belanja hangus AS.

Penulis terbayang kepada kisah yang sering diceritakan semasa kecil dahulu apabila seekor anjing melepaskan tulang gonggongannya semata-mata ternampak bayangan tulang di air. Walhal, tulang itu kepunyaannya. Ini psikologi orang tamak selalunya rugi.

Terdengar pula desas-desus di Kongres AS dan Parlimen Britain tentang anggota kedua-dua dewan pembuat dasar itu yang berasa tertipu dengan helah George W. Bush dan Tony Blair. Mereka mula menyesali apabila secara membuta tuli menyetujui untuk negara mereka melancarkan perang ke atas Iraq.

Inilah padah orang yang terlalu cepat mempercayai perkhabaran. Bidasan yang terkena kepada mereka akan tercatat dalam lipatan sejarah bagi menunjukkan betapa tidak telitinya mereka dalam membuat keputusan.

Manakala rakyat AS dan Britain mula terasa bahawa mereka tidak lebih seperti bidak-bidak di papan catur oleh pemodal-pemodal AS. Mereka mula menyedari bahawa pemodal mereka berperang dengan hanya melaburkan sejumlah wang dan mengharapkan pulangan berlipat ganda.

Mereka pula berperang dengan terpaksa menghantar anak-anak mereka untuk dihantar pergi berperang dan menjadi mangsa peperangan. Mungkin inilah nasib si miskin AS.

Orang kulit hitam pula terpaksa makan hati kerana selama ini kerajaan Amerika memberi ribuan alasan ketiadaan dana untuk hal kebajikan mereka. Tetapi kali ini kerajaan mereka seolah-olah bermurah hati kepada penderitaan rakyat Iraq kononnya dan beria-ia membangunkan semula Iraq.

Mungkin sambutan Hari Martin Luther King tahun ini merupakan hari yang paling malang kepada warga kulit hitam AS.

Meskipun begitu, bagaimana pula psikologi rakyat Iraq. Selepas Perang Dunia Kedua, AS telah mengadakan Pelan Marshall yang membantu Eropah untuk bangkit semula. Pelan yang serupa juga akan dilaksanakan Iraq setelah mengetahui ia akan dipimpin secara sementara oleh orang yang sememangnya anti-Islam.

Penulis membayangkan bahawa rakyat Iraq akan bangkit setelah dikalahkan di dalam perang sebagaimana yang berlaku kepada Jerman, Jepun dan Itali. Ketiga-tiga negara ini mungkin telah serik dengan bahana peperangan dan selama lebih 60 puluh tahun kemudian mereka adalah pengeluar kereta yang disegani. Ini adalah sumbangan kepada dunia setelah mereka insaf. Mungkin kita sebagai umat Islam akan bangkit dengan lebih berjaya.

Penulis sangat berharap AS akan memberikan belanja hangus itu secepat mungkin dan diharapkan ia sebagai wang pampasan perang.

- Khairol Anuar Masuan, Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


TERKINI..


Arkib Bancian