19 Januari 2019

UTUSAN MALAYSIA :: MUKA HADAPAN

22/02/2009
Jangan tafsir undang-undang ikut ideologi politik

Jangan tafsir undang-undang ikut ideologi politik

TAIPING 21 Feb. - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar tidak boleh mentafsir undang-undang mengikut ideologi politik kerana ia boleh mencetuskan suasana tidak stabil dan huru-hara.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga Pengerusi Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) berkata, belum pernah terjadi di negara anggota Komanwel, seorang Speaker DUN menggantung ahli dewan selama 18 bulan di luar sidang seperti dilakukan Sivakumar.

Katanya, tindakan Sivakumar itu tidak mengikut peraturan kerana keputusan tidak dibuat di dalam sidang DUN dan tempoh penggantungan biasanya selama dua hari sahaja.

''Sebagai Pengerusi CPA, saya sangat kecewa dengan tindakan Speaker DUN Perak kerana ini telah mencemarkan sistem demokrasi negara, ini satu penyalahgunaan kuasa secara total.

''Kalau kita selaku pemegang jawatan menggunakan kuasa tidak ikut lunas undang-undang, inilah jadinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-120 Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Treacher Methodist di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Sivakumar menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir daripada menghadiri sidang DUN Perak selama 18 bulan manakala enam ahli Exconya selama 12 bulan berkuat kuasa serta-merta.

Tujuh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu dikenakan hukuman tersebut selepas didakwa menghina DUN kerana mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar dan Exco.

Mohd. Shafie berkata, sekiranya tindakan Speaker DUN Perak itu dianggap mengikut undang-undang, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga boleh mengambil tindakan sama terhadap Ahli Parlimen pembangkang.

''Kalau dia boleh lakukan, Tan Sri Pandikar juga boleh guna kuasa luar dewan untuk menggantung Lim Kit Siang selama 18 bulan, apa perasaan dia dan parti lain?

''Ini boleh dilakukan kerana kita tahu di Dewan Rakyat lagi berat perkataan yang diucapkan sehingga Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin memberi teguran supaya ada peradaban tetapi tidak disekat sampai 18 bulan," ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, apa yang berlaku di Perak bukanlah sesuatu yang baru kerana situasi sama pernah berlaku di Sabah pada 1994.

Katanya, pada masa itu Tun Sakaran Dandai dilantik menjadi Ketua Menteri menggantikan Datuk Joseph Pairin Kitingan tanpa melalui sidang DUN.

''Pengalaman saya sendiri di Sabah pada 14 Februari 1994, apabila saya menghantar surat ke istana untuk menyatakan Pairin tidak lagi mempunyai mandat untuk meneruskan kerjanya sebagai Ketua Menteri dan Yang Dipertua Negeri memanggil Tun Sakaran untuk mengangkat sumpah tiga hari selepas itu," katanya.

Terdahulu semasa berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-120 SMK (P) Treacher Methodist, Mohd. Shafie mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada sekolah tersebut untuk membaik pulih bangunan peninggalan penjajah itu.


TERKINI..


Arkib Bancian