20 Januari 2019

UTUSAN MALAYSIA :: MUKA HADAPAN

01/06/2010
Perdana Menteri lancar buku The Three Swans

Perdana Menteri lancar buku The Three Swans


Najib Tun Razak dan Dr. Fawzia Abdullah (dua dari kiri) bersama tiga tokoh wanita dari kiri, Tun Rahah, Tun Suhailah dan Datin Fakriah pada majlis pelancaran buku Tree Swans di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 31 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan sebuah buku istimewa bertajuk The Three Swan yang mengisahkan perjalanan hidup bondanya, Tun Rahah Tan Sri Mohd. Noah dan dua ibu saudaranya iaitu Datin Fakhriah dan Tun Suhailah.

Buku terbitan MPH Group (M) Sdn. Bhd. (MPH) setebal 320 halaman itu ditulis oleh sepupu Perdana Menteri yang juga anak kedua Fakhriah, Datuk Dr. Fawzia Abdullah.

Lebih istimewa, majlis pelancaran buku yang dijual pada harga RM80 itu berlangsung dalam suasana yang meriah dengan kehadiran kira-kira 500 orang saudara mara terdekat Perdana Menteri daripada sebelah keluarga bondanya.

Najib dalam ucapannya turut menyifatkan pelancaran buku itu merupakan sesuatu yang amat bermakna dan berbeza dengan majlis seumpamanya yang pernah dihadiri beliau kerana ia membabitkan naskhah yang mendokumentasikan kehidupan tiga insan penting dalam keluarganya.

Beliau berkata, dalam skop yang lebih luas pula, buku berkenaan merupakan dokumen sejarah negara kerana ia berkisar kepada tiga tokoh wanita yang menyumbang kepada negara dengan cara tersendiri.

Katanya, sebagai isteri kepada tokoh-tokoh penting, mereka memberikan sokongan dari belakang tabir dan menumpahkan kasih sayang serta meredakan pengabdian suami masing-masing kepada negara.

"Kalau mengimbas kembali, buku ini menggambarkan sebahagian daripada perjalanan atau liku-liku sejarah negara sebelum merdeka.

"The Three Swans ialah tiga wanita yang menjadi isteri kepada pemimpin negara. Mereka juga melalui zaman keseronokan dan kesusahan, kisah mereka pastinya menjadi teladan kepada ibu-ibu di negara ini," katanya ketika melancarkan buku The Three Swans di sini hari ini.

Hadir sama Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Timbalan Pengerusi Yayasan Bukhary, Datuk Seri Ismail Yusof.

Fakhriah, Suhailah dan Rahah merupakan anak kepada yang Dipertua Dewan Rakyat pertama, Tan Sri Mohd. Noah Omar yang dibesarkan di kawasan pedalaman Muar, Johor.

Fakhriah yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu mendirikan rumah tangga dengan tokoh perkhidmatan awam dan ahli kanan Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdullah Ahmad manakala Suhailah berkahwin dengan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dan Rahah pula bertemu jodoh dengan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein

Sementara itu, Fawzia dalam ucapannya mengakui rakan dan ahli keluarga yang mendorongnya supaya menulis buku berkenaan.

"Ramai yang hairan bagaimana seorang bekas doktor gigi boleh menulis tetapi itu bukan alasan kerana saya amat rapat dengan ketiga wanita ini iaitu ibu saya, Datin Fakhriah dan kedua ibu saudara iaitu Chu (Tun Suhailah) dan Chik (Tun Rahah)," katanya.


TERKINI..


Arkib Bancian