13 November 2018

News (English)
Galeri Foto
Jadual
Pasukan
Cakap
Banci Bola
Wallpaper
Games
Berita Sukan
Sports News
Piala Dunia'98
Fakta
 
 
 

:: BERITA SUKAN

Nasril pilih ATM sasar peluang aksi ke skuad negara

Nasril pilih ATM sasar peluang aksi ke skuad negara

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
[email protected]

KUALA LUMPUR - Nasril Nourdin tidak kisah dengan status Liga Perdana milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) asalkan dia mendapat peluang yang lebih banyak untuk bermain selaku penjaga gol utama pasukan baru bola sepaknya itu.

Bekas penjaga gol kedua Selangor musim 2009 ini juga mahu kembali menyarung jersi negara yang menjadi penyebab dia memilih untuk menyertai ATM bagi persaingan Liga M musim depan yang bermula pada 9 Januari.

Ditemui pada majlis menandatangani kontrak dengan pasukan bimbingan Razali Alias ini di ibu kota, kelmarin, katanya: "Saya mahu lebih kerap bermain dalam kesebelasan utama. Di Selangor musim ini, saya cuma bermain tiga kali dalam Liga Super, sekali pada Piala FA dan dua perlawanan Piala Malaysia. Ia tidak cukup bagi saya.

"Mungkin itu juga dah jadi rezeki Hamsani Ahmad (kerap dipilih sebagai penjaga gol utama Selangor) tetapi saya melihat, jika hanya selalu di bangku simpanan, sukar bagi jurulatih negara menilai prestasi seseorang untuk dipanggilnya ke kem latihan," katanya.

Nasril yang juga bekas pemain Perak, merupakan salah seorang daripada lima pemain kelahiran negeri itu yang tampil memperkuatkan ATM dengan sasaran tinggi pengurusannya, bergelar juara Liga Perdana 2010 dan menyertai Liga Super 2011.

Menyertai pemain tinggi lampai berusia 23 tahun ini ialah Khalid Jamlus, V. Saravanan, Chan Wing Hoong dan Danial Fadzly Abdullah selain bekas bek tengah negara yang pernah mewakili Johor, Melaka, Selangor, Sabah dan PKNS - Ahmad Tharmini Saiban.

Bagi Nasril, status liga bahagian dua itu juga bukan penghalang besarnya untuk menunjukkan prestasi membanggakan dan memikat jurulatih negara kerana jika pasukan ATM turut menyerlah, ia pasti mampu menarik perhatian banyak pihak.

Katanya: "Yang penting ialah pasukan bermain cemerlang dan mencatat keputusan yang bagus, tidak kiralah dalam divisyen Super, Perdana atau di mana pun, jurulatih skuad negara akan menyedarinya.

"Saya masih muda dan tidak mahu mensia-siakan bakat yang ada ini di bangku simpanan lagi. Lagipun saya berpeluang berguru dengan bekas penjaga gol negara, Rashid Hassan dalam ATM dan percaya, dapat berjaya dengan pasukan ini."

Nasril turut terlepas mewakili skuad Bawah 23 Malaysia ke Sukan SEA Laos bulan depan walaupun sebelum ini kerap membarisi skuad kebangsaan dalam beberapa tugasan antarabangsa antaranya Pestabola Merdeka dan Piala Antara Benua.

Sementara itu, Saravanan, 31, yang mencari haluan baru dengan ATM setelah UPB-MyTeam mengumumkan pengunduran daripada Liga M, menganggap satu kesempatan terbaik buatnya dalam mengembalikan sentuhan jaringannya.

"Musim ini, tidak sampai 10 gol pun saya jaringkan dalam ketiga-tiga Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dengan UPB-MyTeam. Teruja juga dapat bergandingan dengan Khalid di ATM dan ia seperti mengulangi gandingan kami di Perak dulu.

"Saya tidak berasa sudah terlalu tua untuk menjaringkan gol lagi malah saya terkenangkan bagaimana gandingan kami berjaya membawa Malaysia mara ke separuh akhir Piala Tiger 2004 dengan menewaskan Thailand 2-1," katanya.

 

Sumber: UTUSAN ONLINE

 

Piala Dunia 2002 Utusan Online | Utusan Melayu (M) Berhad Kuala Lumpur | E-mel: [email protected]