18 Januari 2019
 
 
 

 

 

 BERITA 21/11/2001
Yang di-Pertuan Agong Sultan Salahuddin mangkat

Yang di-Pertuan Agong Sultan Salahuddin mangkat

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Yang di-Pertuan Agong ke-11, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj mangkat di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang di sini hari ini.

Seri Paduka yang berusia 75 tahun mangkat pada pukul 11.57 pagi.

Kemangkatan Seri Paduka diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menerusi siaran televisyen dan radio tengah hari ini.

Perdana Menteri mengisytiharkan seluruh negara berkabung tujuh hari mulai hari ini dan kerajaan meminta semua pihak mengibarkan bendera separuh tiang sepanjang tempoh itu.

Selepas pengumuman tersebut stesen radio dan televisyen menyiarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Esok pula diisytiharkan cuti umum bagi membolehkan rakyat menziarahi serta sembahyang jenazah dan mengadakan majlis-majlis tahlil.

Serentak itu, Dr. Mahathir menyatakan semua majlis rasmi kerajaan yang dijadualkan hari ini dan esok dibatalkan bagi menghormati kemangkatan Almarhum.

Seri Paduka dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), pusat perubatan berkenaan sejak Ahad lalu, sekembali dari menjalani rawatan di Singapura.

Seri Paduka sebelum ini menerima rawatan kesihatan hampir dua bulan di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

Di Singapura, pada 6 Oktober lalu, Seri Paduka menjalani satu pembedahan kecil yang melibatkan seramai 14 pakar termasuk tiga daripadanya rakyat Malaysia.

Almarhum meninggalkan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Siti Aishah yang dikahwininya pada 3 Mei 1990.

Acara rasmi terakhir yang dihadiri oleh Seri Paduka ialah Majlis Penutup Sambutan Hari Kebangsaan ke-44 peringkat kebangsaan di Dataran Bandar Sibu pada 16 September lalu.

Sultan Salahuddin ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 23 September 1999 dan kemudian mengisytiharkan Tengku Idris Shah sebagai Pemangku Raja Selangor.

Seri Paduka menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Pengkalan Batu, Klang, pada tahun 1934.

Pada tahun 1936, Sultan Salahuddin melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar hingga Disember, 1941 apabila meletus Perang Dunia Kedua.

Setelah tamat peperangan, pada tahun 1947, Seri Paduka melanjutkan pelajaran di School of Oriental and African Studies, University London selama dua tahun.

Sekembalinya ke tanah air, Sultan Salahuddin berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Pelatih Jabatan Ukur Negeri Selangor dan kemudiannya dilantik sebagai Nazir Sekolah selama lapan bulan.

Pada tahun 1952, Seri Paduka mengikuti kursus jangka pendek di dalam Ketumbukan Askar Melayu di Port Dickson selama enam bulan dan ditauliahkan ``Queen Commission'' dengan menyandang pangkat Kapten dan kemudian Mejar.

Sultan Salahuddin telah dilantik sebagai Tengku Laksamana Selangor pada 1 Ogos 1946 dan sebagai Raja Muda Selangor pada 13 Mei 1950.

Apabila Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj mangkat pada 1 September 1960, Sultan Salahuddin telah dilantik sebagai Sultan Selangor pada 3 September 1960 dan ditabalkan sebagai Sultan pada 28 Jun 1961.

 
Tajuk-tajuk Berita
  • Seluruh negara beri penghormatan terakhir
  • Dimakamkan dengan penuh adat istiadat diraja
  • Almarhum mahu berehat, beramal ibadat
  • Kenangan wartawan Utusan dengan Almarhum
  • Almarhum sultan yang sangat popular- Muhammad
  • Dr Khir benar-benar terasa kehilangan Almarhum
  • Kesetiaan Kim Sai pada Almarhum Sultan Salahuddin
  • Almarhum disifatkan sebagai seorang yang pintar
  • Almarhum merupakan seorang penggemar burung
  • Tiada lagi nasihat dan gurauan Almarhum
  • Majlis tahlil di Masjid Sultan Suleiman
  • Selangor akan terus maju dan makmur
  • Kemangkatan Agong kehilangan besar buat pekerja
  • Penderhaka jika tidak beri cuti- MTUC
  • 20,000 rakyat berhimpun di Dataran Merdeka
  • Pelancong turut saksikan istiadat pengiringan jenazah Agong
  • Brunei kibar bendera separuh tiang tiga hari
  • Pemerintah yang mudah mesra dengan rakyat
  • Tengku Idris kini Sultan Selangor ke-9
  • Biodata Sultan Sharafuddin Idris Shah
  • Kerajaan Thai arah bendera berkibar separuh tiang
  • MAIK arah tahlil khas kerana pemangkatan
  • Buku ucapan takziah dibuka di Jakarta
  • Almarhum Agong diingati penduduk Sibu
  • Asam pedas ikan terubuk, masakan kegemaran Almarhum
  • Jenazah Almarhum tiba di Klang 2.05 petang
  • Tiada kesesakan sepanjang istiadat pengiringan
  • Satu lagi catatan sejarah terukir di Bangunan SAS
  • Jenazah Almarhum diberi penghormatan penuh ketenteraan
  • Jenazah Seri Paduka mulakan perjalanan ke Klang
  • Ribuan rakyat jelata beri penghormatan terakhir
  • Lebih 4,000 sertai sembahyang jenazah Yang di-Pertuan Agong
  • Jadual Istiadat pemakaman
  • Sultan Brunei ziarah jenazah Yang di-Pertuan Agong


  • © UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
    E-mail: [email protected]