22 Januari 2019
 
 
 

 

 

 RENCANA 21/11/2001
Sultan yang memecah tradisi kongkong institusi raja

Sultan yang memecah tradisi kongkong institusi raja

YANG di-Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, yang mangkat hari ini dalam usia 75 tahun, dikenang oleh rakyat sebagai raja yang memecah tradisi institusi raja di negara ini.

Selaku Sultan Selangor selama 41 tahun, baginda mengetepikan protokol dan bebas bergaul dengan rakyat dan media.

Ada kalanya, sikap mesra media baginda memeranjatkan pemberita yang membuat liputan acara rasminya kerana baginda melayan segala pertanyaan daripada mereka mengenai isu-isu semasa atau peribadi, terutama yang membabitkan negeri Selangor.

Keramahan dan sikap terbuka Sultan Salahuddin yang memecah tradisi yang mengongkong institusi raja di negara ini menjadikan diri Seri Paduka ketua negara yang amat disenangi dan disayangi oleh rakyat.

Sultan Salahuddin juga terkenal dengan sifat prihatin, rendah diri dan berjiwa rakyat selain tidak lokek dengan senyuman.

Tembok istana tidak pernah menghalang baginda mendekati dan menyelami hati rakyat.

Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mangkat pukul 11.57 pagi pada usia 75 tahun di Pusat Rawatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang di sini setelah gering selama dua bulan kerana komplikasi penyakit jantung.

Almarhum ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-11 pada 23 Sept 1999 untuk tempoh selama lima tahun menggantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang tamat tempoh sebagai ketua negara.

"Saya dibentuk untuk tidak bongkak dengan rakyat," titah Seri Paduka ketika diwawancara oleh akhbar Utusan Malaysia enam tahun lalu.

Masyarakat umum mengetahui keprihatinan Seri Paduka terutama terhadap penduduk luar bandar dan pedalaman selain sifat semula jadinya yang suka bergurau-senda dengan rakyat jelata.

Pada zaman mudanya, Seri Paduka sering melawat kawasan kampung dengan menaiki basikalnya di seluruh pelosok negeri Selangor termasuk Pulau Ketam dan Pulau Indah untuk meninjau masalah rakyat jelata.

Walaupun tidak mampu lagi berbuat demikian apabila usia Seri Paduka meningkat, kebajikan rakyat tetap bertakhta di hatinya. Seringkali dalam majlis tertentu, baginda sendiri menyampaikan terus masalah rakyat kepada kepimpinan negeri tanpa sebarang protokol selain diakui antara penyumbang buah fikiran utama ke arah kemajuan Selangor hingga diiktiraf sebagai negeri termaju.

"Saya akui saya sukakan rakyat. Itu adalah anugerah Allah yang paling saya hargai," kata baginda dalam temuramah dengan akhbar itu.

Baginda dengan bangga pernah bercerita mengenai keperitan hidupnya semasa zaman penjajahan Jepun apabila ayahandanya Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah dilucutkan jawatan sebagai Sultan Selangor oleh pemerintah Jepun dan digantikan oleh adinda baginda Sultan Musa Ghiatuddin.

Bagaimanapun, selepas Perang Dunia Kedua tamat, takhta pemerintahan Selangor dikembalikan kepada Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah.

"Saya makan ubi kayu bersama rakyat. Malah saya pernah menjaja ubi dari desa ke desa dan bercampur gaul dengan rakyat," titah baginda.

Salah satu cerita yang menarik mengenai baginda ialah keakraban perhubungannya dengan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman, yang disifatkannya sebagai kekandanya sendiri.

"Saya sayangkan Tunku. Kami berkenalan kerana sama-sama bersekolah. Malah saya pernah jadi pemandu dia, hantar Tunku ke sekolah. Saya juga pernah cuci kereta Tunku. Kami akrab sangat," titah baginda.

Pada temuramah dengan Utusan Malaysia itu, baginda bercakap mengenai ramai kawannya yang sudah meninggal dunia.

"Yang tinggal saya dan (bekas menteri Tan Sri) Khir Johari. Tinggal kami berdua sahaja. Kawan-kawan lain dah tak ada. Saya sedar masa untuk saya juga akan tiba," titah baginda.

Sebagai penaung adat istiadat dan hal ehwal agama Islam, baginda amat mengambil berat mengenai perkembangan agama di negeri itu dan tidak hairanlah baginda sanggup membiayai sendiri pembinaan beberapa masjid di negerinya.

Lazim bagi baginda untuk menunaikan solat Jumaat di masjid yang berlainan setiap minggu bagi membolehkan baginda berjumpa dengan rakyat di seluruh pelosok Selangor.

Antara begitu banyak masjid, masjid yang menjadi kegemaran baginda ialah Masjid Sultan Abdul Aziz yang terletak di Kampung Perigi Nenas di Pulau Indah, yang dahulunya dikenali sebagai Pulau Lumut.

Baginda menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha di masjid ini dan membiayai sendiri sebanyak RM1.6 juta daripada kos RM5 juta untuk membina masjid itu.

Sultan Salahuddin pernah bertitah: "Saya rasa kita tak boleh fikir untuk jadi kaya sahaja. Jangan lupa bersyukur kepada Allah. Anehnya, ada orang sekarang kerjanya nak jadi kaya sahaja."

Dalam satu temuramah dengan The Star selepas pembedahan jantung di Amerika Syarikat pada 1995, baginda bercakap tentang bagaimana dekatnya baginda dengan kematian.

"Saya diberitahu jika saya tidak sempat dirawat dalam masa yang sepatutnya, saya mempunyai peluang tipis untuk hidup. Itulah bagaimana dekatnya, macam mati hidup semula," titah baginda.

Semasa bercuti ke Orlando, Florida, pada tahun sebelumnya, baginda mengalami serangan sakit jantung dan menjalani pembedahan di sebuah hospital dan berada di hospital itu selama dua bulan.

"Pembedahan itu mengambil masa 10 jam. Itu belum habis lagi kerana kemudiannya doktor memberitahu saya yang saya juga mengalami kanser usus dan perlu menjalani 36 rawatan radiasi," titah baginda.

Sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-11 mengikut sistem raja berperlembagaan yang menetapkan bahawa seorang daripada sembilan raja Melayu akan bergilir-gilir menjadi Yang di-Pertuan Agong untuk penggal lima tahun, Sultan Salahuddin merupakan yang istimewa.

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata Rabu bahawa Seri Paduka adalah kawan baik beliau dan telah bekerja rapat dengannya.

Beliau berkata, Sultan Salahuddin merupakan Yang di-Pertuan Agong yang sangat aktif dan telah melawat pelbagai tempat, jabatan dan kementerian boleh dikatakan setiap hari.

"Saya tahu Seri Paduka tidak begitu sihat kerana telahpun menjalani pembedahan jantung dan komplikasi lain. Tetapi Seri Paduka bertegas bahawa baginda seharusnya menjalankan tugasnya sebagai Yang di-Pertuan Agong," kata Dr Mahathir selepas mengumumkan kemangkatan Seri Paduka melalui RTM.

Baginda mempunyai 10 putera dan puteri daripada tiga isteri.

Dengan isteri pertama yang juga sepupu baginda, Raja Nor Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah, baginda dikurniakan tiga putera dan empat puteri iaitu Tengku Idris Shah yang merupakan Raja Muda Selangor, Tengku Puteri Sofiah, Tengku Sulaiman Shah (Tengku Panglima Diraja Selangor), Tengku Puteri Seri Zanariah, Tengku Abdul Samad Shah (Tengku Panglima Besar Selangor), Tengku Puteri Arafiah dan Tengku Puteri Aishah.

Bersama isteri kedua, Cik Mahiran, baginda dikurniakan seorang putera, Tengku Ahmad Shah manakala dengan isteri ketiga Tengku Ampuan Rahimah Almarhum Sultan Abdul Aziz dikurniakan dua puteri iaitu Tengku Puteri Nor Marina dan Tengku Puteri Nor Zihan.

Pada 3 Mei 1990, Sultan Salahuddin mengahwini Siti Aishah Abdul Rahman yang kemudian bergelar Cik Puan Besar Selangor sebelum seterusnya dilantik menjadi Tengku Permaisuri Selangor dan kemudian menjadi Raja Permaisuri Agong. Mereka tidak dikurniakan anak.

Sultan Salahuddin gemar menghabiskan masa lapang dengan bermain golf dan bersiar-siar dengan kereta vintaj.

Kemangkatan Sultan Salahuddin ketika memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong mengulangi sejarah. Ayahanda baginda Sultan Hisamuddin Alam Shah yang dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 14 April 1960 mangkat semasa tempoh perkhidmatan pada 1 Sept 1960. - Bernama

 
Tajuk-tajuk Berita
  • Tengku Idris Shah berpengalaman luas
  • Salasilah kesultanan Selangor mulai 1756
  • Kebajikan rakyat di hati Tengku Idris


  • © UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
    E-mail: [email protected]