18 Disember 2014
 
 
 

 

 

 BERITA 22/11/2001
Biodata Sultan Sharafuddin Idris Shah

Biodata Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Sultan Selangor ke-9, Sultan Sharafuddin Idris Shah diputerakan pada 24 Disember 1945 di Istana Jemaah, Klang hasil pernikahan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan Raja Nor Saidatul Ehsan Tengku Badar Shah.

Tengku Idris, 55, yang merupakan putera sulung Almarhum mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur pada tahun 1950 dan kemudian berpindah ke St. John's Institution, Kuala Lumpur.

Pada tahun 1960, baginda melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah Hale School di Perth, Australia.

Baginda seterusnya menyambung pelajaran di Kolej Langhurst di Surrey, Britain pada tahun 1964.

Sekembalinya dari Britain, Tengku Idris menimba pengalaman dalam bidang pentadbiran dengan menyertai perkhidmatan awam kerajaan, antaranya di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Daerah Kuala Lumpur dan pejabat Polis Kuala Lumpur.

Ketika berusia 15 tahun baginda telah diisytiharkan sebagai Raja Muda iaitu pada 3 September 1960. Upacara pelantikan rasmi sebagai Raja Muda Selangor yang kelapan bagaimanapun diadakan pada tahun 1970 dalam satu majlis yang penuh istiadat di Istana Alam Shah, Klang.

Tengku Idris kemudian dilantik sebagai Pemangku Raja Selangor pada 24 April 1999, berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-11.

Baginda telah bernikah dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal pada tahun 1968 dan dikurniakan dua orang puteri, Tengku Zerafina (1969) dan Tengku Zatashah (1973).

Bagaimanapun, jodoh baginda berdua berakhir pada tahun 1986. Tengku Idris kemudian bernikah dengan Puan Nur Lisa Idris binti Abdullah, seorang rakyat Amerika Syarikat pada tahun 1988.

Hasil pernikahan tersebut baginda dikurniakan seorang putera, Tengku Amir pada tahun 1990.

Bagaimanapun, sekali lagi jodoh baginda berakhir pada Jun 1997.

Sultan Sharafuddin Idris Shah ditauliahkan sebagai Komander Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia pada 27 Ogos 1998.

Pentauliahan dibuat sebagai mengiktiraf kegigihan baginda mengelilingi dunia selama 644 hari mulai 4 Februari 1995 dengan menaiki kapal layar peribadinya, Jugra.

Kisah pengalaman baginda mengelilingi dunia tersebut telah disiarkan eksklusif secara bersiri oleh akhbar Mingguan Malaysia.

Baginda juga telah mendapat sijil pengiktirafan daripada `The Malaysia Book of Records' kerana menggunakan kereta antik, Ford Model B untuk mengembara sejauh 16,000 kilometer dari Peking ke Paris selama 43 hari pada tahun 1997.

Tengku Idris hari ini dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor berikutan kemangkatan ayahanda baginda semalam.

Dengan pemasyhuran itu, Tengku Idris Shah, kini bergelar Sultan Sharafuddin Idris Shah.

 
Tajuk-tajuk Berita
  • Seluruh negara beri penghormatan terakhir
  • Dimakamkan dengan penuh adat istiadat diraja
  • Almarhum mahu berehat, beramal ibadat
  • Kenangan wartawan Utusan dengan Almarhum
  • Almarhum sultan yang sangat popular- Muhammad
  • Dr Khir benar-benar terasa kehilangan Almarhum
  • Kesetiaan Kim Sai pada Almarhum Sultan Salahuddin
  • Almarhum disifatkan sebagai seorang yang pintar
  • Almarhum merupakan seorang penggemar burung
  • Tiada lagi nasihat dan gurauan Almarhum
  • Majlis tahlil di Masjid Sultan Suleiman
  • Selangor akan terus maju dan makmur
  • Kemangkatan Agong kehilangan besar buat pekerja
  • Penderhaka jika tidak beri cuti- MTUC
  • 20,000 rakyat berhimpun di Dataran Merdeka
  • Pelancong turut saksikan istiadat pengiringan jenazah Agong
  • Brunei kibar bendera separuh tiang tiga hari
  • Pemerintah yang mudah mesra dengan rakyat
  • Tengku Idris kini Sultan Selangor ke-9
  • Biodata Sultan Sharafuddin Idris Shah
  • Kerajaan Thai arah bendera berkibar separuh tiang
  • MAIK arah tahlil khas kerana pemangkatan
  • Buku ucapan takziah dibuka di Jakarta
  • Almarhum Agong diingati penduduk Sibu
  • Asam pedas ikan terubuk, masakan kegemaran Almarhum
  • Jenazah Almarhum tiba di Klang 2.05 petang
  • Tiada kesesakan sepanjang istiadat pengiringan
  • Satu lagi catatan sejarah terukir di Bangunan SAS
  • Jenazah Almarhum diberi penghormatan penuh ketenteraan
  • Jenazah Seri Paduka mulakan perjalanan ke Klang
  • Ribuan rakyat jelata beri penghormatan terakhir
  • Lebih 4,000 sertai sembahyang jenazah Yang di-Pertuan Agong
  • Jadual Istiadat pemakaman
  • Sultan Brunei ziarah jenazah Yang di-Pertuan Agong


  • © UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
    E-mail: online@utusan.com.my