23 Januari 2019
 
 
 

 

 

 BERITA 22/11/2001
Tengku Idris kini Sultan Selangor ke-9

Tengku Idris kini Sultan Selangor ke-9

KLANG 22 Nov. - Tengku Idris Shah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj hari ini dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor ke-9 dalam majlis penuh adat istiadat diraja di Balairung Seri Istana Alam Shah di sini.

Dengan pemasyhuran itu, Tengku Idris, 55, kini bergelar Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Pemasyhuran diadakan berikutan kemangkatan ayahanda baginda di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.

Istiadat pemasyhuran diraja itu bermula pukul 3 petang dengan Tengku Panglima Diraja Selangor selaku Ketua Istiadat Diraja, Tengku Sulaiman Shah; Tengku Aris Temenggong, Tengku Muhamad Yusuf Shah dan Orang Kaya To' Engku Maha Bijaya Hulu Langat, Datuk Abdul Rani Datuk Shamsuddin menyembah mengadap dan menyerahkan Keris Panjang Diraja kepada baginda.

Ini diikuti oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dengan diiringi Orang Kaya Maha Bijaya Sepang, Datuk Redwa Raja Tun Uda dan Tan Sri Mohd. Azmi Kamaruddin menyembah mengadap untuk membacakan perisytiharan pemasyhuran Sultan Selangor ke-9.

Perisytiharan pemasyhuran itu dibacakan oleh Dr. Khir antara lain menyebut pemasyhuran tersebut adalah di bawah 30 (2) Bahagian 1, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Selepas perisytiharan dibacakan, baginda mencabut Keris Panjang Diraja dan menciumnya sebagai tanda menerima perisytiharan tersebut.

Majlis kemudian diikuti laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali dari semua hadirin yang berada dalam Balairung seri disusuli dengan tembakan meriam 21 das.

Istiadat pemasyhuran diraja itu diadakan sebelum istiadat pemakaman ayahanda baginda di Makam Diraja di pekarangan Masjid Diraja Sultan Sulaiman di sini, 1.7 km dari istana.

Pemasyhuran penuh bersejarah itu meletakkan Tengku Idris Shah sebagai Sultan Melayu pertama menaiki tahta tanpa mempunyai permaisuri sejak negara mencapai kemerdekaan.

Istiadat itu diadakan di hadapan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Siti Aishah dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Majlis pemasyhuran itu turut dirakamkan secara langsung ke seluruh negara melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Dengan pemasyhuran itu juga, Dewan Diraja Selangor akan menetapkan tarikh tertentu untuk mengumumkan pelantikan Raja Muda Selangor yang baru.

Pemilihan baginda sebagai Sultan Selangor dibuat dalam mesyuarat Dewan Diraja Selangor malam tadi yang dihadiri oleh 20 anggota dewan termasuk Menteri Besar Selangor.

Sultan Sharafuddin mempunyai dua puteri, Tengku Zerafina, 31, dan Tengku Zatashah, 26, hasil perkahwinan pertama baginda dengan Raja Zarina Raja Zainal dari tahun 1968 hingga 1986.

Hasil perkahwinan baginda dengan Nur Lisa Abdullah dari tahun 1988 hingga 1997, baginda mempunyai seorang putera, Tengku Amir, 9 tahun.

Baginda merupakan putera sulung hasil perkahwinan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dengan bonda baginda, Raja Nor Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah.

Lain-lain adinda baginda melalui perkahwinan tersebut ialah Tengku Puteri Sofiah, Tengku Sulaiman Shah (Tengku Panglima Diraja Selangor), Tengku Puteri Seri Zanariah, Tengku Abdul Samad Shah (Tengku Panglima Besar), Tengku Puteri Arafiah dan Tengku Puteri Aishah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah diputerakan di Istana Jemaah (kini Kolej Islam Sultan Alam Shah) di sini pada 24 Disember 1945 dan merupakan anak raja yang berpengalaman dalam pentadbiran.

 
Tajuk-tajuk Berita
  • Seluruh negara beri penghormatan terakhir
  • Dimakamkan dengan penuh adat istiadat diraja
  • Almarhum mahu berehat, beramal ibadat
  • Kenangan wartawan Utusan dengan Almarhum
  • Almarhum sultan yang sangat popular- Muhammad
  • Dr Khir benar-benar terasa kehilangan Almarhum
  • Kesetiaan Kim Sai pada Almarhum Sultan Salahuddin
  • Almarhum disifatkan sebagai seorang yang pintar
  • Almarhum merupakan seorang penggemar burung
  • Tiada lagi nasihat dan gurauan Almarhum
  • Majlis tahlil di Masjid Sultan Suleiman
  • Selangor akan terus maju dan makmur
  • Kemangkatan Agong kehilangan besar buat pekerja
  • Penderhaka jika tidak beri cuti- MTUC
  • 20,000 rakyat berhimpun di Dataran Merdeka
  • Pelancong turut saksikan istiadat pengiringan jenazah Agong
  • Brunei kibar bendera separuh tiang tiga hari
  • Pemerintah yang mudah mesra dengan rakyat
  • Tengku Idris kini Sultan Selangor ke-9
  • Biodata Sultan Sharafuddin Idris Shah
  • Kerajaan Thai arah bendera berkibar separuh tiang
  • MAIK arah tahlil khas kerana pemangkatan
  • Buku ucapan takziah dibuka di Jakarta
  • Almarhum Agong diingati penduduk Sibu
  • Asam pedas ikan terubuk, masakan kegemaran Almarhum
  • Jenazah Almarhum tiba di Klang 2.05 petang
  • Tiada kesesakan sepanjang istiadat pengiringan
  • Satu lagi catatan sejarah terukir di Bangunan SAS
  • Jenazah Almarhum diberi penghormatan penuh ketenteraan
  • Jenazah Seri Paduka mulakan perjalanan ke Klang
  • Ribuan rakyat jelata beri penghormatan terakhir
  • Lebih 4,000 sertai sembahyang jenazah Yang di-Pertuan Agong
  • Jadual Istiadat pemakaman
  • Sultan Brunei ziarah jenazah Yang di-Pertuan Agong


  • © UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
    E-mail: [email protected]