21 Januari 2019
 
 
 

 

 

 BERITA 22/11/2001
Tiada lagi nasihat dan gurauan Almarhum

Tiada lagi nasihat dan gurauan Almarhum

KLANG 22 Nov. - Bermula semalam lebih 5,000 penduduk Pulau Indah di sini, tidak lagi mendengar kata nasihat, gurauan dan ramah mesra Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Menurut Penghulu Kampung Pulau Indah, Ruslan Akhyar, 45, sifat istimewa baginda itu akan terus menjadi ingatan abadi penduduk pulau berkenaan yang mendapat perhatian istimewa semasa hayat Almarhum.

Katanya, oleh kerana pulau berkenaan begitu istimewa kepada baginda, penduduk amat terasa kehilangan Almarhum.

``Kami menyedekahkan al-Fatihah kepada Almarhum Tuanku dan bermula malam esok Masjid Sultan Abdul Aziz akan mengadakan majlis tahlil dan bacaan al-Quran ekoran kemangkatan baginda,'' katanya ketika ditemui di Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah di sini hari ini.

Beliau berharap pengganti baginda dapat meneruskan kesinambungan sikap prihatin terhadap pulau itu supaya lebih maju pada masa akan datang.

Menurut beliau, tumpuan istimewa terhadap pulau itu terbukti apabila Almarhum membina sebuah masjid dengan pembiayaan sendiri sebanyak RM5 juta.

Katanya, masjid itu yang dinamakan Masjid Sultan Abdul Aziz mula dibina pada 1997.

Katanya, apabila siap kira-kira dua tahun kemudian, Almarhum merasmikannya pada 8 Mac 1999.

Yang istimewanya, kata Akhyar, Almarhum turut menanggung pembayaran gaji kakitangan masjid termasuk gaji imam, bilal, siak serta bil elektrik dan air.

Sejak itu katanya, Almarhum sering berangkat menunaikan sembahyang Jumaat di masjid berkenaan.

``Sejak adanya masjid itu, Almarhum juga tidak pernah ketinggalan menunaikan sembahyang Aidiladha di situ dan mengadakan korban dua tiga ekor lembu, ''katanya.

Menurut beliau, sebelum pembinaan masjid berkenaan, penduduk pulau berkenaan yang lebih 90 peratus beragama Islam terpaksa bersesak menunaikan sembahyang berjemaah di sebuah masjid yang hanya boleh memuatkan antara 200 dan 300 orang.

Namun pada 1997, atas keprihatinan Almarhum, baginda mengilhamkan pembinaan sebuah masjid baru dan sebuah kawasan di Kampung Perigi Nenas telah dipilih sebagai tapak masjid baru berkenaan.

Katanya, pada masa ini terdapat empat kampung di pulau berkenaan meliputi kira-kira 500 buah rumah dan 300 lagi keluarga di kawasan perumahan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.

Akhyar berkata, kampung-kampung tersebut ialah kampung Perigi Nenas, Kampung Sungai Kembung, Kampung Telok Nipah dan Kampung Sungai Pinang.

Sementara itu seorang penduduk pulau berkenaan, Shoib Abdul Rauf,73, menyifatkan Almarhum sebagai seorang yang lemah-lembut dan suka bergaul.

``Tuanku juga mengambil berat dan prihatin dengan pulau ini mungkin kerana ia mempunyai kaitan sejarah dengan keluarga baginda,'' katanya.

Menurut beliau, penduduk Pulau Indah sebenarnya dibawa masuk dari beberapa daerah di tanah besar oleh nenda kepada Almarhum pada sekitar 1940-an.

Ini kerana, katanya, pada masa itu tidak ramai penduduk di pulau berkenaan sehinggalah 100 orang generasi pertama berpindah ke sana dan meneroka kawasan baru.

Justeru itu, katanya, tidak hairanlah Pulau Indah mendapat tumpuan istimewa baginda sehingga ke akhir-akhir hayatnya.

Seorang lagi penduduk, Mukhlas Umar, 57, berkata, penduduk pulau tidak akan melupai baginda terutama apabila ketibaan Hari Raya Aidiladha.

Beliau yang kini bertugas sebagai pengawal keselamatan di Masjid Sultan Abdul Aziz berkata, sejak kewujudan masjid itu, baginda tidak pernah lupa membuat korban semasa sambutan Aidiladha.

Rohim Yahya, 28 juga berpendapat bahawa Almarhum memang rapat dengan rakyat.

``Baginda tidak akan kelihatan lagi untuk menghadiri sebarang majlis di sini buat selama-lamanya,'' katanya.

 
Tajuk-tajuk Berita
  • Seluruh negara beri penghormatan terakhir
  • Dimakamkan dengan penuh adat istiadat diraja
  • Almarhum mahu berehat, beramal ibadat
  • Kenangan wartawan Utusan dengan Almarhum
  • Almarhum sultan yang sangat popular- Muhammad
  • Dr Khir benar-benar terasa kehilangan Almarhum
  • Kesetiaan Kim Sai pada Almarhum Sultan Salahuddin
  • Almarhum disifatkan sebagai seorang yang pintar
  • Almarhum merupakan seorang penggemar burung
  • Tiada lagi nasihat dan gurauan Almarhum
  • Majlis tahlil di Masjid Sultan Suleiman
  • Selangor akan terus maju dan makmur
  • Kemangkatan Agong kehilangan besar buat pekerja
  • Penderhaka jika tidak beri cuti- MTUC
  • 20,000 rakyat berhimpun di Dataran Merdeka
  • Pelancong turut saksikan istiadat pengiringan jenazah Agong
  • Brunei kibar bendera separuh tiang tiga hari
  • Pemerintah yang mudah mesra dengan rakyat
  • Tengku Idris kini Sultan Selangor ke-9
  • Biodata Sultan Sharafuddin Idris Shah
  • Kerajaan Thai arah bendera berkibar separuh tiang
  • MAIK arah tahlil khas kerana pemangkatan
  • Buku ucapan takziah dibuka di Jakarta
  • Almarhum Agong diingati penduduk Sibu
  • Asam pedas ikan terubuk, masakan kegemaran Almarhum
  • Jenazah Almarhum tiba di Klang 2.05 petang
  • Tiada kesesakan sepanjang istiadat pengiringan
  • Satu lagi catatan sejarah terukir di Bangunan SAS
  • Jenazah Almarhum diberi penghormatan penuh ketenteraan
  • Jenazah Seri Paduka mulakan perjalanan ke Klang
  • Ribuan rakyat jelata beri penghormatan terakhir
  • Lebih 4,000 sertai sembahyang jenazah Yang di-Pertuan Agong
  • Jadual Istiadat pemakaman
  • Sultan Brunei ziarah jenazah Yang di-Pertuan Agong


  • © UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
    E-mail: [email protected]