saya nak baca ..

SUKAN TEMPATAN


ARKIB : 06/09/2013

Resipi kita yang julang Korea

ZABIDI SHARIFF

KUALA LUMPUR - Kejayaan Korea Selatan membenam Malaysia dan Indonesia selain juara dunia, Thailand 3-0 untuk menjuarai Siri Super Istaf 1 di New Delhi, India, Ahad lalu, datangnya daripada 'benih' yang disemai persatuan sepaktakraw negara Asia Timur itu sejak lebih sedekad lalu.

Kekalahan kepada Korea Selatan itu juga bukanlah perkara baharu kerana dalam acara beregu, mereka pernah mengejutkan Malaysia pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thai 2009 dan separuh akhir berpasukan 2010 dan 2012 di Chiang Mai dan Bangkok, Thailand.

Dalam dua tempoh pada 1997 dan 2002 hingga 2003, Korea Selatan mengimport seorang jurulatih Malaysia, Rauzan Masri untuk mendapatkan 'resipi' asas sepaktakraw sebelum menambah ramuannya dengan membawa masuk Haris Abdul Rahman pula menjelang Sukan Asia Doha 2006.

"Saya tidak terkejut dengan kejayaan mereka sekarang kerana saya pernah berkata kepada seorang pegawai persatuan sepaktakraw Korea, lebih kurang 10 tahun lalu bahawa mereka bakal menewaskan Malaysia dalam tempoh berkenaan.

"Malah, selepas tiga bulan saya mengajar Korea, mereka sudah memenangi gelaran divisyen tiga Piala Raja Thai di Nakhonsawan dan divisyen dua Piala Isa dan ada di antara anak buah saya itu kini menyandang jawatan sebagai pegawai Persatuan Sepaktakraw Korea Selatan (KSTA).

"Pada 2001, tiga profesor universiti dari Korea Selatan datang ke Malaysia untuk mendapatkan khidmat saya lagi tanpa saya minta, malah memberitahu bahawa persatuan mereka sanggup menaikkan gaji dan melantik saya sebagai Pengarah Teknikal Sepaktakraw di sana.

"Hasilnya (selain kejayaan Siri Super dan Piala Raja Thai), saya diberitahu sekarang sudah ada 12 kelab profesional dan 12 kejohanan sepaktakraw setiap tahun di Korea Selatan yang jauh berbeza dengan di sini," katanya kepada Utusan Malaysia tanpa bermaksud untuk bermegah dengan pencapaian tersebut.

Rauzan, 60, pesara tentera yang pernah melatih Malaysia memenangi pingat gangsa bulatan Sukan Asia Bangkok 1998 dan skuad kebangsaan dari 1999 hingga 2001, berkata, tugasnya di Korea Selatan bukan sekadar sebagai jurulatih malah membentuk hubungan seperti bapa-anak dengan pemain mereka.

"Selepas saya kembali ke Malaysia, hubungan seperti keluarga angkat itu masih terjalin dan ada beberapa pemain mereka yang turut pernah saya bawa tengok pertandingan sepaktakraw di kampung-kampung kita, datang dan menginap di rumah saya, malah berhari raya dengan berbaju Melayu bersama.

"Saya bersikap profesional walaupun pernah dipanggil ke Kedutaan Malaysia dan dipersoalkan seorang pegawai di situ, mengapa mengajar Korea semua ilmu sepaktakraw kita, nanti kita pula dikalahkannya," katanya.

Bagi bekas pelibas atau apit kanan negara, Zabidi Shariff, kekalahan anak buah Jamaluddin Hassan di New Delhi akan terus berulang pada banyak kejohanan antarabangsa dan mungkin Sukan SEA, Disember ini selagi dasar atau sistem latihan skuad kebangsaan sekarang yang diamalkan dan tidak ditukar atau diberikan sentuhan idea baharu.

Kata pemenang pingat emas Sukan Asia Hiroshima 1994 ini: "Saya tengok Korea pun (menerusi siaran langsung TV) bukanlah bagus mana pun. Mereka hanya bermain corak mudah sepaktakraw. Tiada taktik yang istimewa. Sepatutnya kita yang kerap mengagungkan diri pelopor sukan ini, lebih maju daripada mereka.

"Kalau kita mahu ubah keputusan seperti itu, maka sistem latihan mahupun pertandingan kena turut berubah. Ini mungkin 'idea bodoh' tetapi saya cadangkan satu pertandingan khas siapa pemain apit yang boleh melibas atau merejam paling tinggi. Begitu juga bagi tekong dan pengumpan, mereka kena ada pengkhususan.

"Secara automatiknya, pemain yang ke pertandingan ini, bakal mampu menukar sistem latihan mereka untuk memenanginya. Jika tidak, hasil yang kita semai dengan sistem sejak 10 tahun lalu itulah yang akan terus dituai seperti dalam Siri Super itu. Selain Thailand, mana lagi negara yang kita tidak pernah kalah. Myanmar? Indonesia? Korea Selatan? Laos."

Namun bekas jurulatih skuad pemenang Piala Raja Thai 1985, Hassan Sulaiman berkata, sudah sampai masanya para jurulatih negara meletakkan jawatan masing-masing sekarang kerana kekalahan itu (Siri Super) amat mengaibkan.

"Apa lagi dan berapa lama yang mereka hendak tunggu jika pasukan negara asyik kalah. Jika orang ini tiada ilmu kejurulatihan sepaktakraw, mana datangnya nadi permainan pasukan? Siapa ketua jurulatih negara sebenarnya dan boleh berikan arahan kepada pemain (ketika timeout)? Jamaluddin atau Nordin Sabaruddin (penolong)?

"Adakah sebab Nordin itu bekas pemain handalan negara dan pernah menang emas Sukan SEA dan Sukan Asia, maka Jamaluddin yang tiada pencapaian sebegitu pula kena berikan laluan kepadanya? Tidak hairanlah kalau pemain kita yang lemah psikologi ini pula mudah tertekan dan menggelabah bila diasak Korea," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:01
Zohor 1:23
Asar 4:27
Maghrib 7:25
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.