saya nak baca ..

TIMUR


ARKIB : 17/10/2014

Nelayan buktikan semangat di laut

ORANG ramai memenuhi kawasan pinggir pantai bagi menunggu ketibaan bot-bot yang menamatkan perarakan terbesar dunia di Kemaman, baru-baru ini. UTUSAN/Mukhatar A. Rahman

KEMAMAN 16 Okt. Awal Januari tahun lalu, ketika Mustafa Abdul Rahman singgah di sebuah warung di pinggir Kuala Kemasik, sambil minum petang bersama-sama rakan-rakan, pengusahanya, Pak Jak,70, turut serta bersembang selepas menghantar pesanan.

Perbualan teralih kepada deretan bot di jeti berhampiran dan kehidupan nelayan menarik perhatian Pak Jak yang sudah sekian lama tidak turun ke laut setelah memilih untuk berniaga kecil-kecilan kerana faktor usia.

Dia mengemukakan pandangannya kepada Mustafa,59, dikenali sebagai Haji Pa Kemasik yang merupakan Pegawai Khas kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman.

"Kenapa kita sekali-sekala tak buat satu program yang boleh orang `pandang' kepada orang ke laut (nelayan). Tentang kerja kita cari rezeki dan hasilnya untuk manfaat semua orang di mana sahaja.

"Banyak juga yang kerajaan bantu untuk kita ubah nasib sendiri, dari bot dan enjin, subsidi minyak dan bantuan bulanan, di samping hal berkaitan keluarga. Kita boleh tunjuk terima kasih dengan cara kita kepada negara. Kita berarak di laut, bawa bendera," kata Pak Jak yang diulang oleh Mustafa.

Kata-kata itu melekat dalam ingatan Mustafa yang kemudiannya memanjangkan kepada Ahmad Shabery yang ternyata cukup tertarik dan sedia membantu sekiranya nelayan sepakat untuk bersama-sama menjadikan cadangan tersebut sebagai suatu kenyataan.

Justeru Mustafa diminta menyelaraskan usaha itu dengan mengajak penyertaan menyeluruh masyarakat nelayan di daerah ini dan juga Dungun dengan sasaran pelaksanaan pada musim sambutan Bulan Kemerdekaan.

Bagi Mustafa, semangat yang ditunjukkan oleh masyarakat nelayan amat luar biasa dan akhirnya pada 1 September tahun lalu, sejumlah 278 bot bersama-sama 1,000 nelayan dengan kibaran 5,000 Jalur Gemilang menyertai perarakan sejauh 55 kilometer.

Ahmad Shabery Cheek (tiga dari kiri) menerima sijil pengiktirafan daripada wakil Guinness World Records, Fortuna Burke (tiga dari kanan) di Dataran Kemaman, baru-baru ini.

Perarakan itu mencipta sejarah dengan catatan dalam Malaysia Book of Records sebagai perarakan terbesar bot di negara ini yang mendorong Ahmad Shabery mencadangkan program yang lebih besar agar masyarakat nelayan, Terengganu dan negara turut menempa nama di peringkat dunia.

Bagi Ahmad Shabery, langkah itu pastinya menarik tumpuan media antarabangsa dan secara tidak langsung mampu memberi impak yang besar dari sudut pelancongan.

Tarikh yang ditetapkan 13 September lalu dan sekretariat yang dibentuk memikul tanggungjawab lebih sukar bagi mengumpulkan sekurang-kurangnya 900 buah bot dan pada masa yang sama menarik penglibatan sektor swasta menyokong pembiayaan program itu.

"Setelah hampir setahun mengatur perancangan, menjelang tarikh tersebut, pihak sekretariat menerima pengesahan 1,500 bot untuk turut serta dan ini buatkan kami menggaru kepala, apabila ramai yang mulai rasa kecewa dengan jumlah penyertaan dihadkan agar tidak melibatkan lebih banyak kos.

"Bagi tidak mengecewakan ramai nelayan, kita tingkatkan jumlahnya dan pada tarikh yang ditetapkan, sejumlah 1,180 bot nelayan dengan kibaran 12,000 Jalur Gemilang dari Kuala Dungan ke Kuala Kemaman sejauh 78 kilometer, mencipta sejarah sebagai perarakan terbesar bot dunia," ujar Mustafa.

Dengan penyertaan lebih 6,000 nelayan, khususnya dari Dungun dan Kemaman, di samping yang berlepas dari Sungai Ular, Chendor dan Cherating Pahang, program itu mengatasi rekod yang dicatatkan di Sungai Thames London pada tahun 2012 yang melibatkan 670 bot ketika itu.

Bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57, `Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta', golongan nelayan membuktikan dengan kesepakatan dan semangat, mereka ternyata mampu mengukir nama untuk negara dengan cara sendiri.

Kejayaan tersebut telah disahkan oleh wakil Guinness World Records, Fortuna Burke, sekali gus mengatasi rekod yang pernah dicatatkan di Sungai Thames pada 2012 sempena kejohanan sukan Olimpik.

Perarakan dilepaskan oleh Pegawai Pembangunan Daerah Dungun, Datuk Din Adam pada pukul 7 pagi di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Daerah di Kuala Dungun dan tiba di Kuala Kemaman kira-kira pukul 12.30 tengah hari dengan disambut oleh Ahmad Shabery bersama hampir 15,000 penduduk.

Ketika bercakap kepada pemberita dalam majlis sambutan di Dataran Kuala Kemaman, Ahmad Shabery berkata, melalui program yang digerakkan oleh kementeriannya, sambutan yang diberikan oleh golongan nelayan sangat membanggakan.

Beliau yang ternyata begitu teruja bersama-sama masyarakat dengan gambaran mengagumkan dengan perarakan menyusuri sepanjang pinggir pantai itu menyifatkan betapa nelayan menunjukkan semangat untuk bersama menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang melatari suasana di laut.

"Golongan nelayan negara ini juga menunjukkan rasa bangga menjadi nelayan dan hari ini mereka mahu membuktikan bagaimana mereka cintakan negara Malaysia kepada dunia," katanya.

Apa yang diperlihatkan buat kali kedua oleh golongan nelayan bukannya merupakan yang terakhir, namun mendorong suatu perancangan festival tahunan dengan pendekatan baharu termasuk pertandingan perahu tradisional di samping pameran dan jualan yang berkaitan dengan laut.

Bagi Mustafa, ini bakal direncanakan bukan sekadar suatu program biasa menghabiskan rutin kegiatan tahunan tetapi yang bakal memberikan identiti denganh tarikan tersendiri dan Dataran Kuala Kemaman sedang dipersiapkan sebagai lokasi penganjuran.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zuhur 1:07
Asar 4:15
Maghrib 7:09
Isyak 8:18



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.