saya nak baca ..

UTARA


ARKIB : 19/09/2013

Agar-agar kering masih popular

MOHAMAD Aliff Shahimi Che Me dan Noorzakiah Fadzilah Ahmad menunjukkan agar-agar kering yang dihasilkan mereka dalam pelbagai bentuk dan warna di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM 18 Sept. - Agar-agar kering merupakan sejenis manisan tradisional yang biasa disajikan ketika kenduri perkahwinan atau pada musim perayaan.

Meskipun tidak popular seperti kuih tradisional lain seperti baulu, bangkit, dodol dan ros, agar-agar kering masih lagi diminati oleh sebilangan masyarakat walaupun agak jarang didapati di pasaran.

Proses penghasilannya yang agak rumit antara faktor menjadikan perusahaan membuat agar-agar kering tidak ramai diceburi oleh golongan muda.

Namun berbeza bagi pasangan suami isteri dari Kampung Tanah Liat di sini yang memiliki kemahiran membuat agar-agar kering untuk tujuan komersial.

Mohamad Aliff Shahimi Che Me, 31, dan isteri, Noorzakiah Fadzilah Ahmad, 30, mula menceburi perusahaan membuat agar-agar kering sejak empat tahun lalu selepas melihat manisan tradisional itu mempunyai potensi luas untuk dikomersialkan.

Menurut Noorzakiah, idea menghasilkan agar-agar kering untuk tujuan perniagaan diperoleh selepas melihat suaminya yang gemar makan agar-agar kering sejak kecil.

"Nenek suami saya mahir buat agar-agar kering dan setiap kali pulang ke kampung, suami pasti akan mencarinya kerana dia memang suka makan agar-agar kering buatan nenek.

"Bermula dari situ saya terfikir untuk belajar buat agar-agar kering dan jual. Pembuatannya tidaklah rumit mana tapi perlukan kesabaran dan ketelitian supaya agar-agar kering itu menjadi dan tahan lama," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Katanya, terdapat tiga proses yang perlu dilakukan untuk menghasilkan agar-agar kering iaitu memasak agar-agar, memotong dan menyusun serta menjemur.

Noorzakiah berkata, bagi memastikan agar-agar kering dihasilkannya digemari semua lapisan masyarakat, beliau dan suami membuat beberapa perubahan daripada segi reka bentuk dan rasa.

"Orang dulu buat agar-agar kering satu rasa sahaja, tapi sekarang kami menghasilkannya dalam pelbagai perisa seperti oren, strawberi, laici, pandan, blueberry dan tropika.

"Kami juga pelbagaikan jenis potongan supaya kelihatan lebih menarik contohnya dalam bentuk kelopak bunga ros, petak dan cengkerang," ujarnya.

Agar-agar yang dihasilkannya juga tidak dijemur di bawah terik matahari sebaliknya dijemur menggunakan mesin khas hasil rekaan suaminya.

Penggunaan mesin tersebut perlu bagi memastikan agar-agar kering tidak terdedah kepada cuaca yang tidak menentu selain habuk dan debu.

Dalam pada itu Noorzakiah berkata, sejak memulakan perniagaan agar-agar kering empat tahun lalu, permintaan pelanggan terhadap produknya itu semakin meningkat.

Pada peringkat awal, dia hanya menghasilkan kira-kira 50 hingga 80 kilogram setiap bulan.

"Dahulu memang susah sikit kerana pernah ada warga emas yang datang membeli tidak percaya kami suami isteri yang buat kerana biasanya agar-agar kering ini dibuat oleh orang tua.

"Lama kelamaan permintaan semakin meningkat pada musim perkahwinan dan perayaan. Untuk Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini kami mendapat tempahan untuk 250 kilogram agar-agar kering daripada pelanggan.

"Saya guna blog dan Facebook sepenuhnya untuk pasarkan produk agar-agar kering saya atas nama Agar-Agar Kering Adam Shoppe dan syukur rangkaian pelanggan saya kini berkembang hingga ke Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Johor, Singapura dan Brunei," katanya.

Harga yang ditetapkan pada setiap sekilogram agar-agar kering tanpa perisa adalah RM25 manakala bagi yang mempunyai perisa pula RM28 sekilogram.

Mereka yang berminat dan ingin membuat tempahan boleh melayari Agar-Agar Kering Adam Shoppe di laman sosial Facebook atau blog.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.