saya nak baca ..

UTARA


ARKIB : 10/10/2014

'Pandai besi' semakin pupus

Saiful Hazrin Mazim tekun mengetuk besi panas di bengkelnya di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.

KUALA KANGSAR 9 Okt. - Perusahaan membuat golok daerah ini yang berpusat di Kampung Padang Changkat dekat sini mungkin pupus suatu hari nanti apabila generasi muda tidak berminat untuk mewarisi kemahiran yang menjadi warisan kebanggaan orang Melayu.

Ini menimbulkan persoalan adakah 'pandai besi' yang rata-ratanya sudah meniti usia emas merupakan pembuat golok terakhir di daerah ini?

Daripada berpuluh-puluh pembuat golok sebelum ini, hari ini cuma lima sahaja yang masih aktif dan jumlahnya terus berkurangan.

Mereka terus menjalankan perusahaan itu yang sudah menjadi darah daging sebagai punca rezeki sejak sekian lama.

Seorang pembuat golok, Mazim Abdul Jamil, 64, yang menyambung legasi bapanya dan merupakan generasi keempat yang mempunyai kemahiran 'pandai besi' juga bimbang kebolehannya akan berkubur.

Menurutnya, ini kerana tiada generasi muda yang berminat untuk menjadikan perusahaan itu sebagai kerjaya masa depan. Katanya, generasi hari ini tidak yakin bidang itu mampu memberikan pendapatan yang baik apatah lagi ilmu untuk memahirkan diri membuat golok memerlukan kesabaran yang tinggi kerana terpaksa menghadap bahang suhu panas untuk membakar besi.

"Bagi memastikan kemahiran ini tidak pupus, saya bersedia untuk memberikan tunjuk ajar menerusi bengkel khas cara-cara membuat pisau atau golok.

"Generasi muda sama ada dari daerah ini atau dari luar dialu-alukan untuk mempelajari kemahiran ini.

Sebahagian daripada beberapa jenis golok yang dihasilkan oleh usahawan terkenal di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak.

"Apabila sudah mahir dan banyak pengalaman, mereka diharapkan dapat mengembangkan lagi kemahiran ini supaya 'pandai besi' tidak pupus," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Perusahaan membuat golok di kampung lebih tertumpu dalam bidang membuat golok atau dikenali 'golok Perak', parang, tajak, keris, tombak dan lembing.

Mazim yang sudah terlibat dalam bidang tersebut sejak usia remaja berkata, dia mendapat tempahan bukan sahaja daripada kalangan rakyat biasa tetapi dari pihak istana, kerabat diraja, pemimpin negeri, orang kenamaan, pegawai dan kakitangan kerajaan juga dari luar negara.

"Saya meneruskan pekerjaan ini kerana permintaan tempahan yang tinggi juga kerana bantuan daripada anak saya yang nampaknya berminat untuk menyambung pekerjaan ini, sedangkan anak-anak saya yang lain memilih kerjaya lain.

"Dalam usia emas sebegini, saya cuma mampu menyiapkan tiga atau empat bilah golok setiap hari bergantung kepada saiz yang ditempah. Saya akan pastikan setiap golok yang dihasilkan berkualiti tinggi," katanya.

Sementara itu, anak Mazim, Saiful Hazrin, 25, memberitahu, dia meminati pekerjaan tersebut setelah melihat bapanya saban hari membuat golok. Menurutnya, dia mendapat banyak tunjuk ajar daripada bapanya dan kini mampu menyiapkan sehingga empat bilah golok sehari.

"Saya bercadang untuk menjadikan bidang ini sebagai kerjaya masa depan. Saya percaya bidang ini mampu memberikan pulangan yang memuaskan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

"Tambahan pula sekarang ada teknologi moden seperti dapur membakar, pemotong besi dan pencanai yang mempercepatkan kerja, tidak seperti dulu bergantung kepada kekuatan fizikal sepenuhnya," katanya.

Seorang lagi pengusaha, Azizam Mohd. Sharif, 64, yang sudah menjalankan perusahaan itu sejak 40 tahun lalu mengakui tidak ramai yang mahu menceburi kerja sebagai pembuat pisau dan golok.

Dia yang mewarisi kemahiran itu daripada arwah bapanya berharap dengan bantuan teknologi moden, generasi muda berani untuk menceburi perniagaan itu.

Menurutnya, dia mendapat bantuan peralatan seperti dapur elektrik, alat pemotong dan beberapa peralatan lain daripada Perbadanan Kraftangan Malaysia (PKM) yang meringankan bebannya.

Katanya, tempahan pisau dan golok masih mendapat sambutan daripada pelbagai agensi.

"Golok, parang dan senjata tradisional orang Melayu mendapat permintaan tinggi, tetapi disebabkan kekurangan tenaga mahir, tempahan tidak dapat diterima dalam skala besar," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:19
Asar 4:44
Maghrib 7:28
Isyak 8:43



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.